Perihal Doktor Kontrak

Ketika sedang mengunyah makanan tengah hari dalam keadaan penuh selesa di pusat kuarantin, Dorsett Grand Subang, saya menerima berita sedih bahawa salah seorang kenalan saya yang merupakan seorang doktor kontrak di Jabatan Kecemasan, Hospital ‘Isketambola’ telah meletakkan jawatan.

Saya terkesima dan rasa sangat sedih dengan berita ini.

Walaupun saya menghadapi cabaran di sepanjang perjalanan untuk mengambil peperiksaan, ia tidak langsung setara dengan beban kerja yang dialami beliau dan rakan-rakan yang berjuang melawan pandemik.

Sejak isu hospital viral timbul, saya menerima banyak keluhan dari doktor junior berkenaan penderitaan yang mereka hadapi. Saya sekadar mampu menjadi seorang pendengar dan memberikan sokongan kepada mereka.

Kenalan saya ni seorang doktor yang baik. Dia telah bertungkus-lumus melawan pandemik sejak ia bermula. Tapi sayangnya, dia berdepan dengan masa depan yang tidak menentu kerana kontraknya bakal tamat.

Kejadian diburukkan dengan penularan virus yang luar biasa sejak kebelakangan ni.

Dia berkata kepada saya,

“Aku mentally physically emotionally at the edge. The cries for help was not heard!”

Bilik hotel yang sejuk berhawa dingin tiba-tiba jadi sejuk yang mencengkam tubuh dan menimbulkan rasa sakit pada hati. Ada satu perasaan tidak nyaman menikam sanubari saya. Saya terkesima! Saya yakin beliau tidak berbohong sekalipun Menteri dan pihak atasan berkata sebaliknya.

Saya diberitahu bahawa tidak kurang dari 15 pegawai perubatan kontrak telah meletakkan jawatan. Ini satu angka yang sangat menakutkan apatah lagi krisis Covid-19 belum berakhir. Tapi, siapa yang sanggup berjuang mempertahankan kebajikan mereka? Orang-orang yang bersuara diugut dengan tindakan tatatertib bahkan ada yang dipanggil pihak polis atas dakwaan menimbulkan kekecohan.

Saya sangat terkilan kerana saya tahu bahawa kenalan saya ini berbakat untuk menjadi seorang doktor pakar yang baik di masa depan. Negara kehilangan satu bintang yang bersinar. Bintang itu kehilangan cahayanya dan menghilang di dada angkasa yang gelap-gelita. Siapa yang mampu menjadi penyuluh jalan untuk kita melangkah?

Isu doktor kontrak sebenarnya amat dekat dengan saya. Adik saya sendiri merupakan seorang doktor kontrak yang pernah dijanjikan jawatan tetap dalam kerajaan. Saya sangkakan, isu tersebut telah selesai dan beliau telah pun mendapat jawatan tetap. Saya agak geram pada mulanya apabila mendapat perkhabaran bahawa beliau telah berhenti kerja. Saya benar-benar berharap agar beliau dapat menyambung pengajian untuk menjadi seorang doktor pakar kanak-kanak. Rupa-rupanya janji diserap ke jawatan tetap beberapa tahun lalu tidak pernah ditunaikan.

Sebelum saya bertolak ke luar negara, adik saya kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan pulang menghadiri kursus yang ditetapkan oleh majikan baru beliau. Keretanya mengalami total loss dan tangan dominannya patah riuk hingga memerlukan pembedahan. Dia terpaksa melupakan minatnya bermain tenis dan terpaksa berdoa agar kecederaannya cepat sembuh. Adat bekerja di masa sekarang; jika sudah tidak berguna, boleh dibuang.

Namun demikian, isu pokok hari ini adalah tentang ketidakadilan yang diterima oleh para doktor muda kita. Mereka telah bekorban jiwa, tenaga dan masa demi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara. Soalnya, bagaimana pula dengan kebajikan mereka?

Jika isu pekerja kontrak tidak diselesaikan, kita akan menghadapi masalah kekurangan doktor pakar di masa hadapan. Ia akan menjejaskan Sistem Kesihatan negara kita. Sampai bila kita mahu melihat satu demi satu doktor perubatan kontrak berhenti kerja?

Komen