Pengajaran Dari Nipah

Bercakap tentang penularan wabak koronavirus di Wuhan, China membuatkan saya teringat kepada peristiwa yang sama pernah melanda Malaysia lebih 20 tahun lalu.

Malaysia juga, pernah berdepan dengan virus baru yang tidak pernah diketahui sebelum ini dan meragut ratusan nyawa.

Ianya bermula pada tahun 1998 apabila seorang pesakit dimasukkan ke hospital di Perak atas sebab satu penyakit misteri. Apa yang bermula dari hanya demam panas, sakit kepala dan loya berubah menjadi kehilangan orientasi dan kecelaruan mental. Ia seterusnya disusuli dengan encephalitis, gejala keradangan otak yang mengakibatkan pesakit akhirnya lumpuh atau koma.

Kesilapan Kerajaan

Reaksi awal pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia ketika itu ialah mengklasifikasikan virus ini sebagai Japanese Encephalitis (JE), sejenis virus yang boleh berjangkit kepada manusia dari hos seperti burung liar dan babi melalui gigitan nyamuk Culex. Sangkaan awal ini dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya keradangan otak yang mirip kepada encephalitis tadi dan juga beberapa kes susulan yang berlaku di Sungai Nipah, sebuah kawasan perkampungan berdekatan Port Dickson di Negeri Sembilan yang merupakan pusat ternakan babi.

Respon awal kerajaan untuk menyekat penularan virus adalah dengan memberikan vaksin JE kepada mereka yang berisiko dijangkiti. Namun tidak ada tanda-tanda vaksin tersebut berkesan mencegah penyakit, malahan apa yang lebih menghairankan ialah jangkitan dari manusia kepada manusia turut berlaku, sesuatu yang sebenarnya tidak wujud dalam kes virus JE. Pada masa sama, angka kes dan kematian terus meningkat di sebalik usaha kerajaan melakukan semburan di kandang babi untuk membunuh nyamuk Culex yang disyaki pembawa virus JE tadi.

Namun kajian oleh dua orang pakar berjaya menemukan bahawa virus yang menular di Malaysia pada ketika itu berbeza dengan virus JE. Ia juga turut menjelaskan kenapa pemberian vaksin JE atau penyemburan ke atas nyamuk Culex tidak memberikan kesan langsung dalam mengekang penularan wabak tersebut. Kedua pakar tersebut, Dr Chua Kaw Beng (yang menemui virus tersebut) dan Dr Tan Chong Tin (yang terlibat dalam merawat pesakit) bagaimanapun mendapati ada sesuatu yang unik tentang wabak ini.

Jangkitan hanya berlaku kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Maka cabaran utama adalah untuk mengenal pasti hos yang membawa virus tersebut sehingga berjangkit kepada manusia. Dr Chua yang bertekad untuk menyelesaikan teka-teki ini telah menyeludup virus tersebut secara rahsia apabila beliau ditugaskan pergi ke Centers for Disease Control (CDC) di Amerika Syarikat, sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal penyakit berjangkit kononnya atas tugasan mengkaji nyamuk Culex.

Ujikaji di sana mengesahkan bahawa virus yang dijumpai ini sebenarnya adalah sesuatu yang belum pernah ditemui sebelum ini. Sejenis paramyxovirus, ianya mudah berjangkit dan kerap ditemui di kalangan haiwan ternakan. Maka terbuktilah usaha kerajaan ketika itu dengan memberikan vaksin JE dan membasmi nyamuk Culex melalui semburan tidak akan membawa apa-apa penyelesaian terhadap wabak yang melanda.

Faktor di atas, dan juga faktor tidak ada individu beragama Islam yang dijangkiti serta penularan banyak berlaku di Sungai Nipah yang merupakan pusat ternakan babi membawa kepada satu kesimpulan. Virus yang baru ditemui ini berjangkit kepada manusia melalui hosnya iaitu babi yang diternak.

Maka penyelesaian yang tepat ialah, musnahkan semua babi yang ada.

Pembantaian Babi

Kerajaan pantas bertindak setelah dimaklumkan dengan punca sebenar wabak. Bukan lagi ratusan atau ribuan, malahan jutaan ekor babi terpaksa dimusnahkan melalui pelbagai cara. Kesuntukan masa demi memastikan wabak virus Nipah dapat dikekang segera memaksa pihak berkuasa bertindak drastik.

Kaedah awal yang dilakukan dengan menembak babi memakan masa, tenaga dan wang (untuk peluru). Membanjirkan kandang babi dengan air dan kemudian mengalirkan arus elektrik untuk merenjat babi juga terlalu perlahan dan sukar. Solusi akhir membawa kepada operasi mengorek liang lahad besar dan kemudian menolak babi menggunakan jentolak masuk ke dalam lubang tersebut yang kemudiannya akan disimbah dengan minyak, dibakar hidup-hidup atau dikambus dengan tanah begitu sahaja.

Ia adalah pembantaian babi pada skala besar yang tidak dapat dibayangkan. Penternak babi yang telah meninggalkan ladang mereka kerana arahan kuarantin tidak tahu menahu tentang operasi pembantaian ini. Hanya selepas wabak berjaya dibendung dan Sungai Nipah diisytiharkan selamat untuk penghuninya pulang, barulah mereka mendapati kawasan ladang babi yang sebelum ini luas terbentang telah menjadi padang jarak padang tekukur.

Industri ternakan babi Malaysia yang pada tahun 1999 merupakan antara industri ternakan babi terbesar di Asia Tenggara lumpuh serta merta. Pembantaian babi menghapuskan bekalan baik untuk konsumsi tempatan atau pasaran eksport. Sentimen ketika itu juga akibat wabak tersebut membuatkan pengguna mengelak dari memakan daging babi, membuatkan daging babi tidak laku dan harganya jatuh merudum.

Tetapi ada kesan positif dari tragedi ini. Industri ternakan babi Malaysia melalui proses pemodenan yang pesat dan ladang-ladang babi kini diuruskan secara lebih teratur dan terjaga. Sistem ternakan yang ketinggalan zaman, padat dan tidak bersih kini diganti dengan sistem yag lebih efisien dan bersih, manakala babi yang diternak pula lebih terjaga dari segi pemakanan dan suntikan vaksin.

Virus Nipah

Virus yang baru ditemui ini dinamakan Nipah, bersempena nama tempat ianya kali pertama muncul iaitu Sungai Nipah. Virus Nipah bukanlah berasal dari babi sebenarnya, tetapi dibawa oleh kelawar. Faktor kemusnahan hutan dan penternakan babi yang dijalankan di kawasan perladangan atau dusun membuatkan kelawar dan babi menghuni habitat yang sama. Perpindahan hos dari kelawar kepada babi berlaku apabila babi yang diternak memakan sisa makanan kelawar, contohnya buah-buahan yang jatuh ke tanah.

Penternakan babi yang dijalankan pada skala industri juga bermakna babi-babi diternak secara padat dalam ruang yang sempit, memudahkan pula proses perpindahan virus dari seekor babi kepada babi yang lain. Akibatnya kebanyakan babi di Sungai Nipah menjadi hos pembawa virus Nipah, dan ianya berjangkit kepada manusia terutama di kalangan golongan penternak dan ahli keluarga mereka. Virus Nipah juga jauh lebih berbahaya dari virus JE kerana keupayaannya untuk berpindah atau berjangkit dari seorang manusia kepada manusia yang lain.

Tidak ada vaksin untuk mencegah virus Nipah dan tidak ada ubat yang boleh merawat mereka yang telah dijangkiti virus ini. Faktor ini menjadikan virus Nipah antara virus yang merbahaya dan boleh mencetuskan pandemik (epidemik pada peringkat global) seperti yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Angka kes ketika virus Nipah menular di Malaysia ialah 513 dengan 398 kematian, atau 77.6% fatality rate.

Selain dari babi dan penularan yang berlaku di Malaysia, virus Nipah juga pernah melanda India dan Bangladesh dengan jangkitan berpunca terus dari kelawar, kebanyakannya melalui buah yang telah dimakan kelawar atau minuman todi yang tidak diproses dengan betul.

Pengajaran Buat Malaysia

Insiden virus Nipah memberikan pengajaran yang bermakna buat kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Di sebalik kelewatan mengenal pasti punca sebenar dan kesilapan dalam pencegahan dan rawatan, satu pengajaran yang berguna buat Malaysia ialah tentang bagaimana mengurus dan mengawal penularan wabak penyakit yang mungkin akan melanda Malaysia sekali lagi di masa hadapan.

Banyak perubahan dan penilaian semula dibuat oleh pihak kerajaan kesan dari virus Nipah. Pengalaman berdepan dengan wabak penyakit dan virus yang belum pernah ditemui sebenarnya adalah berguna untuk siap siaga negara dalam berdepan situasi yang sama.

Pengalaman ini juga meletakkan Malaysia di tangga ke-18 dunia dalam kesiap siagaan berdepan pandemik global untuk penyakit berjangkit. Maka, adalah penting untuk rakyat Malaysia menanam sepenuh keyakinan terhadap keupayaan kerajaan, kementerian kesihatan dan kepakaran petugas-petugas kesihatan kita di semua peringkat dalam berdepan wabak terbaru iaitu 2019-nCoV atau lebih dikenali sebagai koronavirus Wuhan ini.

Kita telah berjaya mengatasi Nipah, tidak mustahil dengan kemahiran yang ada kita juga akan berjaya mengharungi ancaman terbaru ini.

Komen