Patutkah Kita Memberi Rawatan Percuma Kepada Warganegara Asing?

Menurut statistik tahun 2017, jumlah hutang bil perubatan bagi warganegara asing adalah sebanyak RM50.7 juta. Saya yakin, angka ini semakin bertambah pada tahun 2022 dan saya sangat berminat untuk mengetahui statistik terbaru. Hutang-hutang ini disebabkan oleh warganegara asing yang masuk ke Malaysia secara haram.

Di Sabah termasuklah tempat saya, golongan yang berhutang ini termasuklah juga penduduk tanpa status kewarganegaraan, pemegang kad UNHCR dan golongan pelauh (sea gypsies) selain daripada warganegara asing yang masuk secara haram.

Selaku pegawai perubatan dan juga aktivis kemanusiaan, saya sering berada di persimpangan apabila berdepan dengan isu ini. Ia adalah isu tentang kemanusiaan dan hak-hak penduduk tempatan dalam menerima rawatan.

Sebagai doktor dan aktivis kemanusiaan, saya percaya bahawa memelihara nyawa manusia adalah satu kewajipan yang mesti dipertahankan tidak kisahlah mereka itu warganegara tempatan atau asing. Dalam erti kata lain, apabila mereka datang ke hospital meminta bantuan kerana berada dalam keadaan kritikal maka rawatan harus dimulakan tanpa mengambil kira faktor kewangan. Maksudnya, bagi sahaja rawatan yang diperlukan tanpa mengira berapa-berapa sahaja kos yang diperlukan. Contohnya, pesakit yang datang dalam keadaan tenat akibat jangkitan paru-paru serta memerlukan rawatan high-end termasuklah ventilator dan ubat-ubatan yang sangat mahal (mencecah ribuan ringgit untuk sekali rawat).

Namun demikian, dilema timbul apabila pesakit ini datang kerana penyakit yang tidak kritikal. Contohnya patah tangan biasa yang boleh sembuh dengan cara imobilasi, sakit batu karang dalam pundi kencing yang menimbulkan gejala kesakitan tetapi tidak membunuh nyawa, cirit-birit yang boleh dirawat dengan rawatan simptomatik dan sebagainya.

Jika kesemua kes bukan kritikal ini dirawat secara percuma, ia sekaligus menimbulkan masalah kepada pesakit warganegara Malaysia secara tidak langsung. Golongan tersebut tidak membayar cukai dan ini menyebabkan kerajaan tidak mendapat pulangan wang untuk menampung kos kesihatan yang tinggi.

Dalam banyak artikel kesihatan, ada dijelaskan bahawa adalah mustahil untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu atau berkualiti tinggi dan pada masa yang sama mempunyai kos yang murah.

Melihat kepada situasi pengurusan kesihatan di negara kita, kos rawatan untuk pesakit warganegara di Jabatan Kecemasan masih kekal dengan harga seringgit dan merangkumi hampir semua jenis prosedur diagnostik dan terapeutik. Bererti, kerajaan telah menanggung subsidi yang tersangat banyak untuk menyediakan rawatan kepada penduduk Malaysia. Namun, adakah negara kita juga perlu menampung kos perubatan yang terlalu tinggi untuk penduduk bukan warganegara Malaysia?

Jika tidak, ia tanggungjawab siapa?

Komen