Parti Agama Yang Kelaku Seperti Tiada Beragama

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Parti Islam Se-Malaysia atau singkatannya PAS. Kenapa ia disingkat menjadi PAS dan bukannya PIS tidaklah diketahui secara sahih. Satu lagenda yang kerap disebut ialah akronim PAS itu muncul dari singkatan parti tersebut dalam tulisan Jawi iaitu ڤاس yang membawa kepada sebutan ‘pas’. Ia kini dimomokkan oleh kebanyakan orang sebagai membawa maksud Parti Ahli Syurga (kerana ahlinya yakin masuk syurga) atau Parti Ajaran Sesat (kerana kesesatan yang dibawa oleh parti itu).

Di Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti politik yang menggunakan agama sebagai ideologi. Tidak cukup dengan itu, PAS juga menggunakan perkataan Islam sebagai sebahagian dari namanya. Ketika tiadanya parti Buddha, Kristian, Hindu atau Rastafari di negara ini, kita ada PAS sebagai parti agama Islam.

Sebagai sebuah parti agama, kekuatan PAS di Malaysia tertumpu di kawasan luar bandar dan Malay Heartland seperti bahagian utara dan kawasan pantai timur Semenanjung. PAS paling lama memerintah di Kelantan, berterusan sejak tahun 1990 sehingga kini. PAS juga pernah mentadbir Terengganu dan Kedah, serta pernah menjadi gabungan dalam kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor; lazimnya sebagai rakan minoriti.

Kelebihan PAS jelas adalah di kawasan pengundi majoriti Melayu luar bandar. Ini bukanlah bermakna PAS tidak mampu mempengaruhi pengundi Melayu bandar atau terpelajar, tetapi selepas krisis perpecahan PAS pada tahun 2015 yang menyaksikan kelompok moderat dan profesional dalam PAS keluar dari parti; pengaruh PAS semakin ketara hilang di kawasan bandar.

Senario ini yang mengubah PAS kembali kepada retorik Melayu-Islam mereka ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH). Selepas gagal menjadi king maker dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS mengambil keputusan menjalin hubungan dengan UMNO di bawah payung Muafakat Nasional (MN). MN sebenarnya tidak lebih dari sekadar gerakan politik berpaksikan idea hegemoni Melayu-Islam. Soal bangsa dan agama dijadikan agenda utama PAS dan UMNO dalam MN bagi menggugat kerajaan pelbagai bangsa PH.

Namun penyertaan PAS dalam MN adalah lebih kepada usaha mendapatkan kuasa, bukannya demi bangsa dan agama. Ini terbukti jelas apabila Langkah Sheraton berlaku dan BERSATU keluar dari PH untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang. PAS tanpa segan silu mendukung idea kerajaan pintu belakang ini yang digelar sendiri oleh PAS sebagai kerajaan tebuk atap.

Maka apa yang berlaku ialah kisak klasik lebai kahwin dua. Walaupun bersama UMNO dalam MN, PAS tanpa segan silu juga memilih untuk bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional. Keduanya dibuat dengan alasan demi Melayu-Islam, sama seperti lebai suka memberi alasan ikut sunnah Nabi setiap kali ditanya kenapa mahu berpoligami. Hal jika satu pihak tersakiti atau di pihak yang lain cemburu adalah hal kecil. Yang penting lebai makan keliling.

Tetapi masih bukan sedikit yang terus percaya dengan omongan lebai. Bahkan UMNO dan BERSATU pun masih ikut setia bersama PAS ibarat para isteri yang tidak suka poligami, tapi masih mahu bersuami. Mungkin seperti para isteri itu, UMNO dan BERSATU terpaksa kekal setia kerana hanya dengan PAS mereka kekal terjamin dan terus disokong oleh kelompok Melayu-Islam.

Untuk PAS, kebergantungan ini membuatkan mereka ‘naik sheikh’. Apa lagi bila ianya disulami dengan pangkat, kuasa dan wang ringgit untuk lebai-lebai PAS yang sedap duduk di kerusi empuk menteri, senator dan lembaga pengarah GLC semuanya hasil dari ‘scheme of things’ yang dianuti oleh Perdana Menteri. Jika dahulu kuasa PAS hanya sekadar memerintah Kelantan, kini mereka ‘sedap’ merasai kuasa hingga ke seluruh pelusuk negara.

Maka tidak hairanlah kopiah di kepala lebai sudah habis terbang melayang. Kereta lama ditukar dengan kereta Mercedes baharu dan gaji yang sudah beribu dinaikkan menjadi ribuan lagi semuanya kerana demi menjamin efisiensi perkhidmatan lebai PAS sebagai wakil rakyat. Ini semua berlaku di Kelantan di saat rakyatnya yang wala’ mengundi PAS setiap 5 tahun, diberitahu oleh para lebai bahawa bekalan air bersih akan hanya wujud 90% di negeri itu menjelang tahun 2030. Untuk sementara waktu ini, bersyukurlah masing-masing kerana dapat minum air teh dari kepala paip.

Dan semua ini berlaku di saat balak terus ditebang untuk wang dan air yang ada disalirkan untuk penanaman pokok durian berskala besar di tanah yang balaknya sudah habis ditebang.

Beragamakah perangai yang begini?

Tidak cukup dengan itu, PAS walaupun parti Islam tetapi ia masih merasakan berhak untuk bercakap tentang agama lain. Maka dengan kuasa yang ada, tanpa rasa gentar lebai PAS berhujah dalam dewan yang mulia yakni Dewan Rakyat bahawa kitab Injil yang ada hari ini sudah korup kerana ianya ‘dipesongkan’ dan ‘diubah’. Persetankan jika kenyataan sebegitu boleh mengguris perasaan penganut agama Kristian, terutama di Sabah dan Sarawak kerana lebai PAS selaku lelaki dengan dua isteri boleh buat apa sahaja atas nama bangsa dan agama. Bagi PAS, mereka berhak bersuara kerana merekalah insan pilihan Tuhan untuk menyampaikan yang ‘benar’.

Dan walaupun selepas mengguris perasaan penganut agama Kristian, PAS dengan bangga masih boleh mendapatkan jawatan ADUN di Sabah secara lantikan kemudian dengan berani memberikan cadangan mahu menukar nama Sarawak kepada Sarawak Darul Hana. Semua ini boleh dibuat PAS kerana mereka ada kuasa, dan sokongan dari isteri bermadu iaitu UMNO dan BERSATU.

Adakah perangai sebegini ciri mereka yang tiada beragama?

Sedapnya PAS menunggang bangsa dan agama, sampaikan di Kedah mereka berani mengugut seperti Zionis Israel untuk menyekat Sungai Muda dari terus mengalirkan bekalan air mentah ke Pulau Pinang, negeri yang diletak di bawah pentadbiran DAP. Tidak mengapa jika sumber air itu rahmat Tuhan yang percuma untuk hambanya tanpa mengira apa warna kulit, kepercayaan agama atau pegangan politik. Di mata lebai PAS, sumber air itu milik mereka dan hak mereka untuk melakukan apa sahaja. Seperti Yahudi Zionis, lebai PAS percaya mereka bangsa terpilih yang boleh berbuat apa sahaja di muka bumi Tuhan ini.

Pun begitu semua yang dilakukan PAS ini tidaklah sehebat dengan apa yang berlaku di Perak. Walaupun kerap mendabik dada sebagai parti yang memperjuangkan Melayu-Islam, PAS sebaliknya derhaka kepada Paduka Seri Sultan Perak dengan enggan datang mengadap walaupun sudah dititahkan untuk berbuat demikian. Dari sekadar mahu menjadi king maker ketika PRU14, PAS kini berperangai seperti king setelah sedap mendapat kuasa. Bagi lebai PAS, jika mereka ingkar titah sultan itu tidak mengapa, asalkan jangan parti lain seperti DAP. Dalam PAS, ingkar mereka bukan khianat atau derhaka, tetapi semuanya dibuat atas nama Melayu-Islam.

Begitulah bagaimana PAS sedap bermain naratif Melayu-Islam, tetapi selepas mendapat habis semuanya dilanggar oleh mereka sendiri. Jika dahulu PAS mahu haramkan arak, kini mereka selesa untuk mengatakan arak adalah hak bukan Islam. Bukanlah hendak mengatakan ianya salah, tetapi sekadar menunjukkan betapa hipokritnya PAS yang dahulu menjadikan isu arak sebagai isu perkauman dan keagamaan tetapi kini setelah berkuasa, berubah nadanya 180 darjah.

Maka penyudahnya kita tertanya-tanya, dimanakah Islam pada nama Parti Islam Se-Malaysia atau PAS ini? Adakah nama Islam itu diangkat selayaknya sebagai agama yang menjerumus ke arah kebaikan, atau dijadikan keldai tunggangan untuk lepas PAS berbuat apa sahaja mengikut nafsu mereka sendir?

Seperti berjalan ke Turki konon membawa pulang pelaburan berbilion ringgit tetapi sudahnya melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan di saat pandemik COVID-19.

Mungkin di kalangan lebai PAS, mereka benar-benar percaya maksud PAS itu adalah Parti Ahli Syurga lalu mereka mendapat lesen besar untuk berbuat sesuka hati. Sedang kita semua tahu PAS itu lebih kepada Parti Ajaran Sesat dan mereka tidak lebih dari sekadar parti agama yang kelaku seperti tiada beragama.

Komen