Pakatan Ini Pakatan Kita, Pakatan Ini Pakatan Derita

Bulan Januari yang sudah, saya berkesempatan hadir ke majlis pelancaran buku biografi saudara Lim Kit Siang berjudul Lim Kit Siang: Malaysian First tulisan Kee Thuan Chye. Seperti lazimnya mana-mana majlis pelancaran buku, akan ada sesi soal jawab bersama para hadirin.

Saya sempat mengajukan soalan kepada saudara Lim berkisar DAP dan MUDA (dalam majlis pelancaran itu, antara jemputan majlis adalah Pengerusi MUDA Perak). Soal saya, dengan hadirnya MUDA dalam politik negara serta pelaksanaan Undi 18, adakah DAP akan memansuhkan sayap pemuda parti bagi menjadikan ianya lebih demokratik dan terbuka demi menarik sokongan anak muda?

Soalan ini saya ajukan kerana ada satu pemikiran bahawa dalam era politik yang menjadi semakin muda, parti yang masih mempunyai sayap pemuda berisiko dilihat ortodoks dan menyekat potensi anak muda untuk naik dalam kepimpinan parti.

Pakatan Derita

Minggu-minggu yang sudah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dan proses agihan kerusi bermula, adalah minggu-minggu yang sukar buat Pakatan Harapan (PH) pada pandangan saya.

Ketika blok politik lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak berdepan sebarang masalah, PH pula dilanda krisis agihan kerusi. Bezanya kali ini krisis tersebut bukanlah di kalangan parti komponen di dalam PH sendiri (yang sebenarnya adalah satu lumrah, kerana di dalam PH tiada konsep ‘abang besar’ penentu segala tidak seperti di dalam BN yang ada UMNO).

PH telah pun selesai berunding sebagai satu blok politik dengan persetujuan bahawa kerusi-kerusi DUN Johor akan diagihkan dengan PKR mendapat 20 kerusi, AMANAH (20) dan DAP (16). Kesemua kerusi yang ditandingi oleh BERSATU semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diagihkan di antara tiga parti komponen ini.

Tetapi krisis yang melanda PH timbul apabila sebuah parti baharu, MUDA muncul sebagai ‘rakan strategik’ untuk merundingkan agihan kerusi dari PH pula.

Di sini kesilapan besar PH yang membawa kepada krisis blok politik itu. Dimana rundingan sepatutnya dibuat antara dua pihak, MUDA dan PH; ia sebaliknya dilakukan secara berasingan dengan MUDA berunding bersama AMANAH dan DAP dalam satu rundingan dan kemudian dengan PKR dalam rundingan yang lain.

Kenapa perlu ada dua rundingan berasingan tidak diperjelaskan dengan baik.Dan walau apa pun alasan yang boleh diberikan PH tentang kenapa perlu ada dua rundingan berasingan ini, di mata pemerhati luar ia tetap terlihat seperti wujudnya ketidaksefahaman dalam merangka idea ‘khemah besar’ PH.

Ketidaksefahaman ini akhirnya mencetuskan perbalahan apabila AMANAH menyerahkan kerusi DUN N41 Puteri Wangsa kepada MUDA. Kerusi ini dilihat sebagai kerusi paling selamat PH di kalangan enam kerusi yang diberikan kepada MUDA oleh AMANAH dan DAP.

Puteri Wangsa dimenangi oleh BERSATU pada PRU14 dengan majoriti besar sebanyak 24,959 undi walaupun ia menyaksikan pertembungan lima penjuru yang turut melibatkan calon UMNO dan PAS. Seperti semua kerusi yang dimenangi PH melalui BERSATU ketika PRU14 dahulu yang diagihkan antara tiga parti komponen PH, kerusi Puteri Wangsa telah diamanatkan kepada AMANAH.

Namun apabila AMANAH bertindak menyerahkan Puteri Wangsa kepada MUDA, ia menimbulkan perdebatan kenapa kerusi yang dianggap selamat itu perlu diserahkan kepada parti di luar PH? Apa lagi bila timbul pula cakap-cakap mengatakan PKR sebenarnya telah mengidamkan Puteri Wangsa tetapi akhirnya beralah kepada AMANAH dalam rundingan dalaman PH, hanya untuk kerusi itu kemudiannya diberikan kepada parti lain.

Keretakan dalam PH semakin ketara apabila rundingan kerusi antara MUDA dan PKR berlanjutan tanpa mencapai kata sepakat. Ia menimbulkan tanda tanya kenapa rundingan dengan AMANAH dan DAP mudah dimuktamadkan, tetapi tidak dengan PKR. Spekulasi kemudian timbul tentang kerusi yang ditawarkan PKR bukanlah apa yang MUDA idamkan.

PKR akhirnya memutuskan untuk menamakan semua 20 calon di kerusi miliknya sekaligus memberi isyarat rundingan kerusi dengan MUDA telah menemui jalan buntu. Sedang MUDA pula bertindak mendakwa tawaran take it or leave it oleh PKR bukanlah satu bentuk rundingan tetapi paksaan dan tidak menolak bakal berlakunya pertembungan dengan PKR di beberapa kerusi dalam PRN Johor kelak.

Kita tidak memerlukan kemahiran analisis politik yang tinggi untuk faham bahawa selaku parti di luar PH, MUDA sebenarnya perlu akur dengan apa yang boleh ditawarkan oleh PH. Rundingan agihan kerusi adalah sesama parti komponen PH, dan MUDA walaupun selaku ‘rakan strategik’ perlu sedar bahawa kepentingan parti komponen PH dan kebajikan ahlinya perlu menjadi perkara utama. MUDA bukannya seperti UPKO yang walaupun hanya bertapak di Sabah tetapi adalah merupakan parti komponen PH yang sah.

Prinsip ‘khemah besar’ PH adalah idea yang baik tetapi ia perlu mengambil kira seandainya kolaborasi dengan parti luar memberikan kesan yang baik atau buruk untuk PH sendiri. Jangan kerana teruja dengan yang muda, nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong pula habis berciciran.

Hakikatnya dalam menghadapi PRN Johor ini, PH telah pun mundur ke belakang dan kini ketinggalan berbanding BN atau PN. Rundingan dengan parti luar yang dibuat berasingan, penyerahan kerusi selamat serta kegagalan rundingan MUDA-PKR berserta ugutan MUDA untuk bertembung dengan PH sebenarnya langsung tidak memberikan kelebihan strategik yang dicari.

Sebaliknya, Pakatan Harapan kini dilihat ibarat pakatan derita akibat keghairahan meraikan pihak luar. Prinsip ‘khemah besar’ yang dicanangkan gagal menarik penyatuan parti pembangkang di bawah satu kesatuan. Yang sebaliknya berlaku ialah parti-parti dalam PH dipermainkan hingga timbul rasa kurang selesa sesama sendiri akibat kacau-bilau yang dicetuskan MUDA.

Kita tidak boleh menafikan, sejak bubarnya DUN dan sepanjang persediaan untuk PRN Johor ini blok PH adalah yang paling tergugat. Walaupun pucuk pimpinan kerap memberikan jaminan ukhuwah dalam PH masih kukuh, di kalangan akar umbi sudah timbul syak wasangka sesama komrad. Dukacita sekali semua rasa tidak senang ini ditimbulkan oleh pihak luar yang datang sopan merunding kerusi dan kerjasama dengan AMANAH dan DAP, tetapi berlagak handal menutut kerusi dan kepatuhan dari PKR.

Bukankah ini sama sifatnya seperti gunting, seperti yang ditulis sebelum ini dalam satu artikel lain di laman ini?

Lalu apa jawapan saudara Lim pada soalan saya ajukan di awal artikel tadi?

Jawapan saudara Lim kepada soalan saya adalah, DAP akan mengekalkan sayap pemuda malahan mungkin akan melahirkan sayap-sayap lain bagi menarik lebih banyak sokongan serta keahlian.

Ia bukanlah jawapan yang saya cari. Dalam era politik baharu dengan pengundi muda seawal umur 18 tahun berduyun-duyun cakna politik, jika saya yang jadi pengundi muda pastilah pilihan saya bukannya parti bersayap pemuda yang tampak eksklusif, berstruktur dan monopolistik, yang teraju utamanya tetap orang tua yang akan terus beralasan “orang muda perlu tunggu giliran, timba pengalaman terlebih dahulu”. Yang bila saya tandatangani borang keahliannya, akan disuruh masuk ke sayap pemuda dulu kerana masih mentah.

Setidaknya itulah yang saya fikir dalam pemikiran pengundi muda hari ini.

Mungkin ada betulnya. Apatah lagi apabila bahang PRN Johor makin terasa, salah satu alasan kenapa AMANAH dan DAP bekerjasama dengan MUDA adalah kononnya kerana parti baharu itu mampu membuatkan pengundi baharu dan muda di Johor rasa teruja.

Maka apalah gunanya sayap pemuda parti sendiri jika tidak mampu menarik undi pengundi baharu dan muda?

Benarlah ini pakatan derita.

Komen