Jangan jadi seperti gunting, jalannya lurus tapi ia memisahkan; sebaliknya jadilah seperti jarum, tajam menusuk tapi ia menyatukan.
Ungkapan di atas sangat sesuai dijadikan pedoman apa lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan di waktu situasi politik negara yang kucar-kacir ini.
Dengan sekian banyaknya barisan, pakatan atau perikatan melibatkan pelbagai parti politik, tidak mustahil akan ada yang menjadi gunting dan ada pula yang menjadi jarum. Ada yang tampak lurus dan terus jalannya tapi niatnya hanya mahu memisahkan. Ada juga yang tajam menusuk lagi menyakitkan tapi niatnya adalah menyatukan.
Persoalannya siapa gunting dan siapa jarum?
Gunting?
Ada satu parti setahun jagung yang riuhnya sekampung. Di media sosial mereka gah konon membawa arus perubahan dan bakal menjadi kuasa ketiga dalam politik negara. Di kalangan anak muda yang baru layak mengundi mereka mendakwa sebagai wakil yang memahami dan beraspirasi membawa suara anak muda.
Slogan yang kerap dilaungkan adalah jalan terus dan lurus. Perancangannya rapi, penampilannya pula segak. Dengan setiap pihak baik kawan atau lawan mereka bertegur sapa dan bermesyuarat. Hingga akhirnya kita kabur adakah parti setahun jagung ini sebenarnya boleh dianggap kawan atau dikira lawan.
Walau bukan sebahagian dari khemah Pakatan Harapan (PH), mereka tetap menyelit di segenap ruang dan peluang, mengalahkan UPKO yang tentu sah memang rakan komponen PH. Di Sabah dahulu mereka tampil berkempen walau tidak bertanding. Di Melaka pula mereka tampil mahu bertanding tapi kemudian tarik diri konon tidak ditawarkan kerusi. Di Johor, mereka akhirnya bertanding selepas berjaya merunding kerusi, enam atau sembilan kerusi semuanya.
Tetapi selepas berunding dan diberikan kerusi, dengan tidak semena parti setahun jagung ini menggigit PH dengan mainan media sosial yang mereka kuasai. Terus kita bertanya apa niat dan tujuan sebenar mereka.
Apa lagi mengambil kira ini bukan sekali dua tapi sudah berkali-kali. Sebelum dihadiahkan kerusi lagi mereka sudah menjolok sarang tebuan, seperti mempertikai hasil kerja salah seorang ADUN PH atau mempersenda Anwar Ibrahim sebagai calon PM dan langkah PH menandatangani MOU bersama kerajaan.
Lalu tidak salah untuk kita bertanya apa niat dan tujuan mereka. Adakah parti setahun jagung ini berbaik-baik demi mengemis kerusi dan menumpang jentera PH, tapi kelak selepas menang nanti akan berubah nada mengikut arus politik semasa?
Atau, adakah kehadiran parti setahun jagung ini tidak lebih dari sekadar menjadi gunting yang dikiaskan dalam ungkapan di atas? Jalannya lurus dan terus, tampilnya segak dan kemas tapi hasilnya memisahkan?
Bukan apa, sudah jelas ternampak tindak-tanduknya lebih kepada memisahkan silaturrahmi yang sedia terbina dalam PH. Kehadirannya sudah pun memporak-peranda PH hingga parti komponen di dalamnya bergaduh sesama sendiri kerana tergoda dengan janji dan tawaran dari parti setahun jagung ini.
Ya, parti setahun jagung yang dimaksudkan itu adalah MUDA. Siapa lagi?
Jarum?
Ada pula satu parti, umurnya bukan lagi setahun jagung tapi tidaklah setua UMNO atau PAS atau DAP. Pun begitu peranannya besar dalam dunia politik kita biar pun parti ini kerap dimomokkan yang ia hanya dibina sekitar persona seseorang.
Tindak-tanduk parti ini kerap menyakitkan. Seperti jarum yang menusuk, pedihnya tidak terkata. Maka tidaklah sedikit rakan-rakan yang terasa sakit hati ibarat mereka dianggap lawan tetapi di sebalik itu semua, parti yang satu ini juga menjadi jarum yang menjahit ukhuwah dan perpaduan bagi menyatukan rakyat yang peduli melawan koruptor dan kleptokrat.
Begitulah bagaimana PKR diibaratkan seperti jarum. Keputusan parti itu untuk bertanding di Johor menggunakan logo sendiri, dilihat mementingkan diri sendiri dan menyakitkan hati. Namun jika diamati, PKR sendirilah yang merisikokan diri kerana masih bereksperimen ketika PRU15 semakin hampir.
Tapi ada asasnya kenapa pemilihan logo masih menjadi pertikaian. Logo PH yang asal sudah tercalar akibat pengkhianatan BERSATU dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH. Kita semua tahu singkatan PH itu sendiri sudah menjadi sindiran Pakatan Hancing dan begitulah juga logo PH.
Di dalam sengketa dalaman PH (yang sebenarnya sudah merebak keluar), PKR kerap dituduh ego dan berlagak abang besar. Ia satu tuduhan yang tidak berlaku adil. Ego PKR jika benar ianya lebih kepada mengikat perpaduan PH. Lagak abang besar jika wujud ianya tidak lebih dari niat menasihat dan memberi pedoman bagi kesinambungan PH. Bukankah PKR yang menjadi jarum mengikat DAP dan PAS satu masa dahulu, dari zaman Barisan Alternatif hingga ke Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, walaupun PAS sudah tiada dan tempatnya diganti oleh AMANAH?
Seperti ungkapan di atas, PKR ibarat jarum yang menyatukan. Tusukan jarum memang menyakitkan tapi itulah caranya menjahit perpaduan.
Gunting Atau Jarum?
Melihat kepada kemelut yang melanda PH ketika fasa berkempen PRN Johor belum pun bermula, adalah penting untuk persoalan gunting atau jarum dijawab segera.
Ya, jarum menyakitkan. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar jika PH mahu kekal relevan dan bangkit selepas berkali-kali tewas dalam beberapa siri pilihan raya. PRU15 sudah tidak jauh dan PRN Johor berkemungkinan medan tempur terakhir sebelum ibu segala perang bermula.
Gunting, walau jalannya lurus dan terus tetapi hadirnya akan hanya memisahkan PH. Untuk terus membuka pintu khemah kepada parti gunting setahun jagung itu akan hanya membuatkan rakan-rakan PH terpisah lebih jauh dan penyudahnya akhir riwayat.
Juga jangan kita lupa ada banyak perumpamaan lagi berkait gunting dalam bahasa. Gunting dalam lipatan untuk musuh dalam kumpulan yang tidak disedari, atau gunting makan di ujung untuk pihak yang diam-diam buat kerja bagi mencapai tujuan yang dicitakan.
Berhati-hatilah dengan gunting si MUDA.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.