“Kita mesti berani mengodam, mengetok, meruntuh, merobah segala yang lapok, memotong, memperbaharui dengan yang lebih elok, mengikut panduan sebenar-benar petunjuk, timbang sendiri tidak mengikut telunjuk.”
Za’ba
NEGARA GILA merupakan sebuah analogi untuk negara yang terumbang-ambing hala tujunya akibat dipimpin oleh elit politik yang lemah, gagal, jahat, bodoh dan sombong. Akhirnya komplot berlaku antara negara dan kapitalis. Tugas yang sepatutnya diuruskan negara telah digadaikan kepada si kapitalis lalu menunjukkan negara itu tidak lagi mengambil tahu tentang kesengsaraan masyarakatnya kerana mahu menjaga persekongkolan dengan kapitalis-kapitalis. Negara membenarkan kesengsaraan dan kerosakan. Negara menjadi kleptokratik.
Segala jenis pemikiran yang tidak logik dan melawan hukum berkembang secara terus-terusan tanpa ada kawalan. Masyarakatlah yang menerima kesan besar atas perilaku ini dan akhirnya duduk dalam sebuah negara yang serba-serbi aturannya gila. Hari demi hari keadaan menjadi semakin parah. Kebodohan tersebar di depan mata malah merata-rata. Sehinggakan membuat perilaku baik dianggap jenayah dan melakukan perilaku jahat itu ditanggapi benar. Bersuara menolak kejahatan ditangkap, mendiamkan diri malah menyokong kejahatan disoraki dan diangkat sebagai wira.
Kekata seperti kemanusiaan, progresif, inklusif, keadilan, kesamarataan, keselesaan dijadikan sebagai pemanis mulut bukan tindakan. Seharusnya perkataan ini disebarkan dengan perilaku supaya masyarakat berasa yakin, dilindungi dan dipelihara dari segala ketidaktentuan yang berlaku kini, namun akhirnya meleset. Negara gila itu terkandung beberapa ciri yang boleh diperhatikan. Apa yang lebih gila, ketika segala kegilaan melanda dari ulama sampailah ke ahli akademik tidak mengambil posisi dengan serius untuk mengkritik atau menghalang mahupun memberdaya masyarakat mengenai buruknya persekongkolan ini sehingga boleh meragut maruah dan martabat manusia.
Ciri-Ciri Negara Gila
Negara gila itu dimulai dengan ciri demokrasi yang tempang. Demokrasi yang baik adalah demokrasi yang membangkitkan kesedaran nurani. Demokrasi tidak pernah bertindak untuk kesenangan sebahagian kelompok saja. Malah sekiranya demokrasi digunakan bagi merebut kekuasaan sudah tentu akan mengubah falsafahnya menjadi tirani ataupun diktator. Demokrasi seharusnya mempromosikan kemanusiaan bukan memusnahkan.
Demokrasi sepatutnya bertindak atas suara masyarakat dan derita mereka, kerana demokrasi tidak memerlukan keuntungan tetapi kemanusiaan. Generasi muda tidak diajar dengan serius tentang kepentingan masyarakat demokratik, malah mereka dihidangkan dengan peristiwa-peristiwa yang melawan hukum demokrasi. Moral dalam demokrasi tidak dititikberatkan, apakah ini tidak gila namanya? Akhirnya lahirlah pemimpin yang tamakkan kuasa dengan melacurkan demokrasi.
Apabila demokrasi tempang akan mewujudkan undang-undang lucu. Umpama ekor mengejar kepala ia tiada berkesudahan. Sepertinya hukum hutan, segalanya di bengkok dan dipecahkan sesuka hati mereka. Segala yang salah segala yang benar hanyalah menjadi barang mainan mereka. Lihatlah bagaimana perlembagaan dibelok-belokkan mengikut kepentingan mereka. Bagi orang ramai mereka diperuntukkan untuk menurut bagi elit yang bersekongkol mereka membenarkan dan mengiakan segala kejahatan. Bilang saja penipu, perogol, perompak, penyamun semuanya diketepikan atas semangat kawan. Jangan risau kalau ada yang bersalah, kuncu-kuncu mereka akan hadir mempertahankan segala kesalahan dengan menggunakan perlembagaan, mahkamah, institusi, kajian tempang untuk menjustifikasikan kesalahan mereka walaupun selalunya tidak masuk akal. Lihatlah bagaimana Dewan Rakyat menjadi tempat longgokan penjenayah yang setiap hari kononnya berjuang untuk hidup masyarakat di belakang pula menyamun tak sudah.
Negara gila juga akan berhadapan autoriti-autoriti yang saling melindungi satu sama lain atas tindakan jenayah mereka. Di depan masyarakat mereka berceramah betapa busuknya rasuah. Mereka mengugut masyarakat biasa yang mahu melakukannya, tetapi di dalam organisasi sendiri banyak hal-hal yang tidak beres tidak mahu diselidiki. Mereka menggubal undang-undang untuk melawan rasuah, tetapi mereka sendiri yang melanggarnya di depan mata masyarakat. Bagaimana integriti mahu dipertahankan?
Setiap hari berita tentang ketirisan berlaku dari sebesar-besar projek negara seperti pembangunan ke arah projek mega tanpa memikirkan apa faedah yang dapat diperoleh oleh masyarakat, lebih teruk dampak bencana yang didedahkan sehingga mengancam keselamatan dan kedamaian alam. Sehinggalah pada sekecil-kecil rasuah dalam komuniti seperti membayar wang untuk melepaskan diri daripada kesalahan lalu lintas dan mencuri peruntukan bakul makanan untuk si miskin.
Ciri seterusnya negara ditadbir umpama syarikat. Konon berbangga mempunyai barisan profesional dan teknokrat dalam mengepalai kepimpinan negara tetapi akhirnya menjadi duri dalam daging. Dialah yang paling beriya-iya yang mahu menswastakan semuanya pada pihak korporat, atas alasan lebih efisien dan lebih produktif. Sedangkan itulah jalan mudah untuk bersekongkol supaya dapat menjana keuntungan individu dan pemodal dengan lebih cepat dan lebih mewah.
Bila mahu membangun polisi, subsidi yang belanjanya untuk masyarakat awam dan miskin berdalih itu dan ini, disukat-sukat, ditapis sehingga betul-betul kecil dengan alasan untuk memastikan ekonomi terus bergerak. Tetapi sebenarnya mahu memelihara pihak pemodal dengan idea kapitalisnya supaya walaupun dunia dalam kerugian, mereka tetap dapat menjana untung walaupun sebesar biji guli. Jangan biarkan pekerja mendapat untung walaupun sebesar butir pasir. Biar bantuan sampai perlahan asalkan untuk mereka pantas berjalan.
Ciri negara gila juga apabila penguasa membengis apabila adanya kelompok yang menuntut mahukan jawapan, mahukan keadilan dan mahukan kebajikan. Apabila kelompok ini ke hadapan menuntut hak apa yang sepatutnya seorang manusia seharusnya dapat maka mereka harus pula berdepan dengan polis. Yang diadu tidak disiasat yang mengadu pula menjadi batu hentaman. Kelompok kayangan dilindungi sebaik mungkin tiada SOP yang wajib untuk mereka semuanya boleh direka-reka mengikut masa dan sesuai dengan keadaan mereka tetapi bila masyarakat awam yang lakukan mahu dicari sampai ke lubang cacing, diseksa fizikal dan mental semahunya.
Inilah ciri negara gila
Banyak lagi kalau dikira
Siapa yang sedar fahamkan warga
Demokrasi diperkukuh itulah ubatnya

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.