Nasihat Kepada Orang Beragama Mengenai Ateis

Keagamaan semakin menipis dalam dunia, dipacu dengan pemikiran rasionalisme berbanding falsafah, menolak pandangan dogmatik agama. Dalam pertambahan orang yang meninggalkan agama atau orang yang langsung dilahirkan tanpa keluarga yang mempercayai Tuhan, ada juga antara mereka yang mempunyai agama masih menolak kemaraan kebiagamaan lantas tanpa kita sedari, kelak akan berlakunya pertembungan kumpulan manusia yang mempercayai Tuhan dengan mereka yang biagama. Pertembungan ini mempunyai beberapa persamaan dengan pertembungan antara tamadun Timur dan Barat seabad yang lepas.

Pertembungan ini akan mencipta persoalan baru, memandangkan orang beragama masih memegang majoriti penduduk dunia, yakni bagaimana sebenarnya kita mengimbangi dinamik antara dua kumpulan manusia ini. Jelas sekali, untuk meleraikan kekusutan ini, kita perlu bertanya, mengapa ketuhanan tidak lagi mendapat tempat dalam hati mereka.

Sudah tentu, bagi mereka yang beragama, agama sekurang-kurangnya dapat memberikan keamanan kepada diri mereka. Mengetahui dengan sepenuh keimanan bahawa adanya Tuhan dan tiap-tiap bahagian hidup mempunyai matlamat, hatta jika ditimpa musibah yang mustahil untuk dituntut di sini, keadilan mutlak semestinya akan datang pada hari yang kemudian. Keagamaan mencipta suatu pandangan hidup, menyerahkan diri kepada kuasa yang lebih besar. Tulisan ini saya khaskan kepada warga beragama kerana pada tulisan yang lepas, saya telah membincangkan hal ini melalui sudut pandang kebiagamaan. Bagaimana seorang yang beragama mesti mendekati kebiagamaan, oleh itu kepada mereka yang mempunyai keraguan dalam hati, adakah kepercayaan ini dapat meredakan kegusaran sedia ada?

Bagi saya, punca ada sebahagian daripada kita meninggalkan agama ada tiga;

  1. Keraguan mengenai rahmat Tuhan, atau Problem of Evil.
  2. Meragui kewujudan Tuhan berdasarkan kayu ukur empirikal.
  3. Keraguan terhadap keseluruhan rakitan keagamaan, seperti mengapa orang beragama tidak melakukan apa yang diajarkan agama.

Ketiga-tiga punca ini mempunyai perbezaan yang halus, serta kegusaran mereka adalah benar. Tetapi kebanyakan daripada agamawan hanya mengecap kebiagamaan semata-mata sebagai usaha untuk menghina agama atau institusi agama. Tidak dinafikan, bahawa kebanyakan daripada warga biagama menggunakan retorik yang tidak enak didengar, malahan menghina Tuhan (atau tuhan-tuhan), tetapi ia tidak menjadi sebab untuk kita berlaku sama seperti apa yang mereka lakukan malahan memukul rata semuanya  begitu. Banyak juga biagamawan Barat yang mempertahankan Islam daripada tohmahan Kristian pelampau. Bahkan, dalil yang biasa kita dengar mengenai hukuman bunuh kepada murtad oleh Abu Bakar as-Siddiq sebenarnya adalah disebabkan warga yang murtad mengancam keselamatan Madinah melalui peperangan.

Pertama, keraguan mengenai rahmat Tuhan muncul disebabkan persoalan kepada jika Tuhan Maha Baik, mengapa masih ada kekejaman dan kesedihan wujud dalam dunia ini? Pihak terpelajar dalam agama akan bingkas menjawab bahawa ketika dunia ini diciptakan, Tuhan dengan kudratnya mengizinkan manusia untuk mempunyai kebebasan memilih, dan dalam kebebasan memilih itu, manusia mempunyai kebebasan juga untuk memilih kejahatan. Hatta, jika tertimpanya sebuah ujian seperti anak kecil yang menghidap kanser, ianya patut dilihat sebagai ujian dan rahmat Tuhan menyelamatkan anak kecil itu daripada kezaliman dunia yang dilakukan sendiri oleh manusia. Namun, bagi mereka yang kurang mempunyai kefahaman agama dalam diri, kecelakaan yang menimpa akan bingkas mempersoalkan rahmat Tuhan kerana nipisnya pengetahuan mereka dalam ilmu akidah. Kesedihan yang mereka rasa adalah kesedihan yang benar, mungkin lara dalam hati itu telah mengaburi pandangan kepada hakikat dunia bertuhan.

Seterus, dalam kebangkitan ilmu sains, sudah menjadi seperti candu dalam ketagihan kita untuk mengetahui hakikat kewujudan melalui sudut pandang empirikal. Cendekia saintifik mempunyai keinginan yang mendalam untuk merungkai segala rahsia alam, dan persoalan untuk membuktikan samada Tuhan untuk wujud ataupun tidak akan dicuba oleh cendekia ini. Walaupun dalam akidah Ahli Sunnah telah menggariskan dengan nyata bahawa Tuhan mustahil untuk diukur melalui alat-alat duniawi kerana Tuhan adalah berbeza dengan ciptaannya, beberapa agama dan akidah lain tidak memiliki kecanggihan falsafah ini. Seringkali, ketuhanan disamakan dengan gambaran antropomorfisme, Tuhan yang memiliki jasad seperti manusia, mempunyai kedudukan, mempunyai keinginan manusiawi seperti dalam agama Hindu serta Kristian. Gambaran antropomorfisme ini mencipta kemustahilan bagi Tuhan malahan mendedahkan Tuhan sebagai salah satu zat yang boleh diperhatikan oleh kaedah saintifik. Kegagalan sains untuk membuktikan Tuhan yang berzat duniawi adalah diibaratkan seperti ingin menyimpan perasaan kasih sayang dalam botol makmal secara harfiah. Maka ramai cendekia sains akan meninggalkan agama dek kemustahilan ini.

Seterusnya, mungkin sebab ini adalah sebab terbesar mengapa orang meninggalkan agama, adalah keraguan orang terhadap rakitan keagamaan. Tidak dinafikan lagi, terdapat banyak contoh yang boleh diberikan mengenai hal ini, terutamanya ada sesetengah manusia yang melakukan kezaliman atas nama agama. Kisah-kisah dalam dijumpai mengenai betapa ramai manusia menyeleweng wang kutipan gereja, sami-sami yang bermewah-mewah menggunakan harta kuil, serta imam-imam yang gagal menyalurkan bantuan kepada fakir. Tindakan manusia-manusia ini menimbulkan syak wasangka kepada kebenaran rakitan yang diusulkan oleh Tuhan. Ramai benar orang yang bergantung harap kepada agama, tetapi ketua-ketua agama mengkhianati kepercayaan mereka. Sedih sekali, bagi pemerhati, penganut agama-agama ini masih bergantung harap kepada mereka walaupun dizalimi di depan mata. Kelakuan penzalim ini mengukir gambaran bahawa agama itu adalah candu untuk orang yang lemah, menghidupkan kezaliman atas kebutaan yang lemah.

Ketiga-tiga sebab ini mesti diambil berat oleh agamawan, kerana sebab ini merupakan bukti bahawa tidak semestinya penganut biagama ingin merosakkan akar dan kesucian agama. Kerap sekali, dalam sudut pandang mereka, apa yang mereka lakukan adalah demi menegakkan keadilan sejati, ingin membebaskan manusia dari terus ditipu. Menempelak mereka, dan mencuba untuk membisukan mereka terus menjadi bukti bagi mereka sebagai gambaran bahawa agama ini secara asasnya kejam dan menidakkan keupayaan manusia untuk berfikir. Justeru, tindakan sewajarnya bagi agamawan adalah menyediakan wadah perbincangan dan penerangan mengenai agama. Menguraikan segala salah faham mengenai agama, jika sekalipun mereka enggan menerima, ia akan mengukuhkan kedudukan agama sebagai agama yang mencintakan keamanan dan perbincangan.

Kemudian, agamawan juga perlu mengambil berat kepada bagaimana sesetengah penganut mereka bertindak. Menutup mata kepada kezaliman yang dilakukan atas nama Tuhan akan mengurangkan kredibiliti agama itu sendiri. Dalam apa-apa cara sekalipun, penipuan dan penyelewengan perlu diperangi oleh agamawan, kerana akar agama adalah bertindak melawan kezaliman dan untuk memenangkan keadilan. Jika dibiarkan, maka siapa sebenarnya yang merosakkan agama? Sungguh jika agamawan berusaha memadamkan mereka yang mempergunakan agama, orang awam akan melihat tiada sebab untuk meragui agama.

Sebenarnya, perbezaan antara agamawan dan biagamawan hanyalah perbezaan fikiran yang mempunyai sumber yang sama, yakni dalam pencarian keadilan hakiki. Jika persefahaman dapat dijalinkan dengan rapi, maka kedua-dua belah pihak ini akan mendapati lebih banyak persamaan berbanding perbezaan yang dicanang. Jangankan hanya fikiran berbeza, darah pula ditumpahkan.

Komen