Mimpi Basah Ke Oscar

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Sasaran ke Oscar ialah sasaran palsu malah mungkin boleh menjadi sasaran bersifat scam. Lebih perit apabila sasaran berkenaan bukan bersifat penting dan baik untuk industri secara besar-besaran.

Oscar tidak boleh dijadikan matlamat ulung, kerana itu bukan sebab kita membikin filem.

Malah selain Oscar terdapat lebih banyak festival filem utama yang harus kita berikan perhatian tetapi soal penyertaan ke festival antarabangsa ini juga bukanlah matlamat bidang perfileman, bukan juga matlamat induk industri perfileman.

Penyertaan ke festival filem antarabangsa mungkin satu matlamat pemasaran, matlamat komersial dan matlamat pengantarabangsaan produk dan komoditi filem kita.

Jadi ini menjadikannya sebagai matlamat sebahagian kecil atau sebahagian besar. Kita sendiri menentukannya sama ada ia besar atau kecil.

Matlamat terpenting kita ada tiga.

Pertama kita seharusnya memperkaya karya filem sendiri sehingga menimbulkan perasaan bangga dan sokongan komersial terhadap karya filem sendiri. Sehingga kini sokongan terhadap filem tempatan di panggung wayang masih kecil dan terpecah-pecah.

Keadaan ini berlaku kerana dua keadaan. Pertama masalah kekontangan idea dalam kandungan filem di Malaysia. Filem-filem tempatan yang baik kurang dihasilkan dan jika dihasilkan pun sambutannya masih terpencil dan tidak memberikan pulangan.

Jadi sudah tentu perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah mengukuhkan program pengukuhan idea pembikin dan penulis filem.

Penyertaan di festival antarabangsa hanya menjadi berharga jika filem tempatan menerima sokongan di panggung wayang sendiri. Selagi hal ini tidak berlaku, selagi itu kita masih belum berjaya.

Program pengantarabangsaan sebenarnya bukan semata-mata bermatlamatkan Oscar, ia juga harus digunakan sebagai sebahagian cabang pengupayaan kapasiti pembikin filem.

Misalnya menghantar pembikin filem melanjutkan pengajian ke sekolah-sekolah filem utama dunia. Maksudnya geran bukan semata-mata untuk membikin filem, tetapi geran juga adalah untuk pembikin filem melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ia boleh disalurkan kepada pembikin-pembikin filem berpotensi besar.

Kita sebenarnya harus meraikan filem-filem pendek yang dibikin ramai pembikin filem muda. Malah pihak berkuasa perfileman negara ini mungkin terlepas pandang, jika mahu beradu di Oscar, kategori filem pendek adalah yang paling harus diberikan perhatian. Mengapa di dalam kepala kita selalu ada yang hebat-hebat dan yang besar-besar sahaja? Mengapa kita selalu melupakan kisah-kisah kecil yang berpotensi besar diangkat untuk memberikan perasaan yang kita mahukan?

Ini sebahagian hal.

Matlamat kedua ialah pembangunan penonton. Ini boleh dilakukan melalui pemerkasaan semula Kelab Seni Filem di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Filem dijadikan kegiatan kokurikulum bersifat campuran antara akademik dan keseronokan.

Modul dan bahan tontonan untuk Kelab Seni Filem ini disediakan oleh FINAS melalui dukungan pembikin, pengkritik dan ahli akademik dalam bidang filem.

Kemudian sesi latihan untuk guru-guru diadakan dan aktivitinya boleh diadakan pada setiap Rabu ketika waktu kegiatan kokurikulum.

FINAS dan KPM bekerjasama menyediakan laporan menilai keberkesanan program ini.

Penonton yang dibangunkan sejak muda akan memiliki daya dan kemahiran penontonan lebih baik serta mempunyai sense of appreciation lebih tinggi terhadap karya.

Masalah pembangunan penonton ini wajar dilihat secara teliti kerana ini juga berkait dengan matlamat ketiga iaitu pembangunan arkib filem yang komprehensif.

Malaysia memerlukan arkib filem yang lengkap dan ia bukan sekadar stor sebaliknya menjadi one stop centre dalam membuka ruang untuk penyelidikan filem, menjalankan kerja-kerja restorasi filem-filem tempatan, menjalankan kegiatan penghargaan filem seperti merayakan ulang tahun filem-filem signifikan, membuat sesi tayangan dan perbincangan secara berkala, menganjurkan pameran-pameran perfileman tempatan dan antarabangsa, menganjurkan program-program pendedahan filem dan bengkel-bengkel berkaitan khusus untuk golongan kanak-kanak, remaja dan mereka yang berminat dalam kelompok tertentu serta yang terakhir menyediakan ruang penjualan buku, bahan tayangan (DVD, Blu-Ray) dan memorabilia filem.

Ini ialah tiga matlamat asas untuk menjayakan industri filem dan contoh yang aku nyatakan adalah contoh-contoh mudah. Ia mungkin dapat dikembangkan dengan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan.

Pelaksanaan setiap matlamat ini dengan strategi yang tepat akan memurnikan kedudukan filem di negara kita. Malah apa jua festival akan memandang tinggi kepada kita jika kita mempunyai budaya perfileman yang hebat seperti ini.

Selain itu ada tiga lagi langkah yang perlu diambil segera oleh badan berkuasa filem di Malaysia dan kalau ia dapat dilakukan, pasti ramai yang akan memberikan tabik hormat.

Pertama menerbitkan katalog filem Malaysia dengan maklumat terkini. Katalog ini lengkap dengan maklumat filem seperti tajuk, tahun terbitan, pengarah, pelakon, penulis, penerbit, sinopsis, anugerah dimenangi, poster serta beberapa gambar babak.

Kedua mewujudkan slot Filem Malaysia di TV RTM dan tayangkan filem-filem berkualiti Malaysia untuk orang ramai tahu yang Malaysia ni sebenarnya banyak filem berkualiti. Setiap dekad (1980an, 1990an dan 2000an) ada begitu banyak filem-filem tempatan yang bagus.

Ketiga menghidupkan secara aktif dan konsisten laman YouTube rasmi FINAS dan kongsi segala macam filem-filem lama (kebanyakannya dokumentari) yang telah melalui proses pendigitalan oleh FINAS. Jadikan akses filem lebih mudah.

Semua hal ini langsung tak payah pakai duit sebab kita sememangnya sudah mempunyai sumber. Tidak perlu memikirkan tentang dana berjuta-juta. Ini hanya memerlukan kemahuan, minat dan usaha sahaja.

Jika terlalu bersungguh-sungguh ke Oscar, sekurang-kurangnya kita perlu memastikan orang luar tahu tentang sejarah dan tradisi sinema kita dan lebih penting rakyat sendiri mampu menghormati sinema sendiri.

Apa guna jika kita membikin satu filem dengan skala dan dana besar melalui sokongan kerajaan semata-mata untuk memenangi hati Oscar, tetapi kemudian langkah susulannya lenyap dan sunyi tanpa susur tradisi yang paling penting.

Komen