PERBINCANGAN mengenai tema besar yang mengaitkan fahaman nasionalis sebenarnya tidak pernah selesai sejak selepas merdeka sehingga ke hari ini. Rustam Sani pernah memberi amaran dalam tulisan di laman blog peribadinya pada tahun 2006 dengan mengatakan “Malay nationalism is a failed nationalism” dalam erti kata lain nasionalisme Melayu itu adalah nasionalisme yang gagal.
Ada banyak sebab mengapa beliau berpendapat sedemikian antaranya pada ketika itu beliau menjelaskan setelah negara mencapai kemerdekaan selama 49 tahun, Perdana Menteri masih mengingatkan soal kesatuan dan kesefahaman antara kaum antaranya dengan memperkenalkan konsep muhibbah.
Tambahnya lagi, di mana kesedaran bahawa kita semua adalah satu bangsa yakni kita pernah sama-sama merasai kesengsaraan, dan sekarang setelah kita berkongsi identiti, penghargaan satu sama lain, berkongsi kebersamaan adat resam budaya dan destinasi; namun akhirnya kita masih tidak mampu bersatu dan masih bercakap soal perpaduan lagi dan lagi. Jadi adakah kita benar-benar sudah membentuk sebuah bangsa yang merdeka dan bersatu?
Kita masih ada jurang pemisahan semisal pusat-pusat pengajian tinggi IPTA sinonim dengan pelajar Melayu manakala IPTS sinonim dengan yang bukan Melayu. Bukan itu sahaja ia juga merebak kepada institusi sosial yang lain semisal parti politik yang wujud berasaskan kaum, syarikat-syarikat perniagaan, kawasan perumahan juga sekolah. Ia seperti menggambarkan wujud ketidakpercayaan antara satu dengan yang lain.
Sepatutnya sebagai sebuah negara yang merdeka tidak timbul lagi isu sebegini kerana naratif yang membawa pemisahan ini merupakan ideologi kolonial, dibawa masuk untuk melaksanakan konsep pecah dan perintah supaya mudah menundukkan lalu menjajah kerana kalau semua bersatu ia menyukarkan mereka berkuasa. Jadinya jika kita gagal memupuk semangat perpaduan walaupun sudah ada slogan nasionalisme yang bergemencar, adakah kita benar-benar telah berjaya menubuhkan negara?
Rustam Sani melihat kegagalan nasionalisme ini berlaku kerana selepas merdeka tahun 1957 pemimpin parti politik tidak duduk bersama untuk membincangkan konsep nasionalisme pasca merdeka ataupun menukarkan konsep nasionalisme pra-merdeka sebagai projek nasional untuk membentuk identiti bangsa Malaysia. Kerana sebelum merdeka semua kaum bersatu hati bersama demi untuk menuntut kemerdekaan. Kemudian tiba-tiba semangat itu hilang lalu menjadi sangat perkauman dan ketuanan.
Jenis-jenis Nasionalisme Yang Ada
- Nasionalisme feudal/pro-autoriti
Sifat dan faham nasionalisme itu tidak tunggal malah ia terpecah memandangkan susunan masyarakat juga terpecah kepada dua kelas utama iaitu kelas atas dan kelas bawah. Maka, terhasillah paham nasionalisme yang juga terpecah mengikut kelas dan kedudukan. Dari situ timbul konsep nasionalisme yang dipegang utuh oleh kelompok berkuasa yang mampu menguntungkan mereka.
Autoriti yang mendominasi itu akan sekaligus menyeragamkan pemikiran dan tanggapan masyarakat terhadap konsep nasionalisme yang mereka faham yang akhirnya mematikan daya pemikiran kritis masyarakat. Selalunya konsep nasionalisme itu tidak jauh dari konsep kolonial malah dasar ekonomi, politik dan sosial yang dibangunkan pun tidak jauh dari penjajah.
Selain itu, nasionalisme jenis ini juga mempromosikan feudalisme dengan meromantiskan zaman silam feudal sebagai kegemilangan bangsa. Ini bukanlah bermakna semua dari zaman silam itu feudal, tetapi yang dipilih itu sikap terhadap autoriti feudal itu sendiri seperti taat setia, menjujung tinggi kedudukan kelas, tidak mempersoalkan kezaliman yang akhirnya membentuk psikologi feudal. Sesiapa yang lari atau berfikiran berbeza tidak dianggap sebagai nasionalis.
- Nasionalisme rasis/etno-cauvinistik
Ciri nasionalisme ini sangat menarik dan sering dapat kita perhatikan di sekeliling kita. Edward Said pernah mengujarkan bahawa terdapatnya nasionalisme yang bersifat triumphant dimana hanya kelompok /suku/agama kita saja yang betul, berhak dan layak. Selalunya ujaran ini dipegang oleh kelompok majoriti dalam sesebuah negara.
Ia merebak seterusnya sehingga memaksakan versinya terhadap orang lain seterusnya menafikan hak golongan bukan dari kelompoknya. Lama kelamaan nasionalisme seperti ini membusuk lalu menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain. Mana tidaknya untuk menunjukkan tuan maka kekuasaan itu ditunjukkan dengan semangat ketuanan malah kadang-kala penuh dengan sifat rasis. Muncul istilah Cina balik China, India balik India, hak-hak Melayu dan sebagainya.
- Nasionalisme neo-kolonialisme dan Neo-liberalisme
Nasionalisme ini bentuknya baru sebaik sahaja memasuki era globalisasi, pembangunan dan revolusi industri. Sekiranya dahulu rakyat dirampok oleh kolonial, kali ini rakyat dirampok oleh dominasi elit yang kaya dengan sifat elitisme dan tamaknya. Nasionalisme seperti ini membiarkan pasar bebas privatisasi, pemodal mengawal semuanya lalu mengikis semangat kebangsaan yang ada. Sekiranya feudal mengangkat kuasa, rasis mencurigai satu sama lain, sifat ini pula mementingkan diri sendiri dimana tujuannya adalah individualistik dan mengaut keuntungan bukannya kebersamaan bantu membantu antara satu sama lain.
Pilihan Nasionalisme Yang Kukuh
Nasionalisme itu merupakan suatu gerakan kebangsaan, rasa kebangsaan itu bermula dengan semangat bersatu terutama sekali semasa berhadapan dengan kuasa kolonial tidak ada satu pun yang tertinggal lama kelamaan berlaku pemisahan apabila masuk tiga ciri nasionalisme yang buruk tadi.
Jelas sekali kita perlu memahami satu nasionalisme baru, nasionalisme yang mengangkat semua bangsa dalam memperjuangkan kehidupan yang lebih baik dari diragut oleh elit tamak, kelompok fasis dan rasis juga ketuanan. Maka itu perlu diketengahkan nasionalisme jenis universalistik dimana kita tidak akan lagi dipecahkan dengan bezanya warna kulit dan agama, apatah lagi kedudukan kuasa dan wang. Nasionalisme itu mampu menyatukan bangsa menjadi satu negara yang kukuh. Lalu membebaskan diri terus dari penaklukan jiwa dan jiwa hamba. Buanglah sifat nasionalisme bukan-bukan demi ketenangan semua.
Seperti mana pesanan Usman Awang dalam puisinya; Jiwa Hamba:
Termenung seketika sunyi sejenak
Kosong dijiwa tiada penghuni
Hidup terasa diperbudak-budak
Hanya suara melambung tinggiBerpusing roda beralih masa
Pelbagai neka hidup di bumi
Selagi hidup berjiwa hamba
Pasti tetap terjajah abadiKalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hambaIngatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
“Di atas robohan Kota Melaka,
kita dirikan jiwa Merdeka!”
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.