Meninjau Sejarah – Bahagian 3

Sejarah Milik Sejarawan?

Ini merupakan satu persoalan yang menarik untuk kita kupas di dalam kita meneliti isu sama ada sejarah Malaysia perlu ditulis semula, dikekalkan atau sekadar mengubah beberapa perkara yang difikirkan perlu. Sejarah merupakan ilmu yang sebenarnya dimiliki oleh semua manusia. Setiap manusia memiliki pengetahuan di dalam ilmu sejarahnya yang tersendiri. Tidak semua manusia boleh mengetahui sejarah semua perkara.

Jadi adakah sejarah itu perlu ditulis oleh seorang sejarawan, ahli politik, tokoh terkenal, sarjana akademik atau pelajar-pelajar di universiti sahaja? Jika sejarah hanya boleh ditulis oleh golongan ini sahaja, maka perkembangan sejarah tidak akan meluas dan hasil diskusi juga hanya akan berlegar di tempat yang sama sahaja. Masalah di Malaysia ialah penulisan sejarah secara akademik jarang dapat menembusi khalayak ramai. Banyak penulisan sejarah hanya dibincangkan secara serius di menara gading sahaja dan tidak dibawa keluar. Ini merupakan perkembangan yang tidak sihat. Sejarah ialah ilmu yang wajar dikongsikan dengan khalayak umum. Kita lihat sahaja pangkalan data JSTOR, di sana terdapat berpuluh-puluh ribu artikel berkaitan sejarah yang boleh dimuat turun, tetapi berapa ramai dalam kalangan orang awam yang mempunyai akses seperti yang dinikmati oleh mereka yang berada di universiti?

Untuk memastikan perkembangan sejarah itu pelbagai dan tema sejarah sosial itu dipertingkatkan, kita perlu menggalakkan lebih ramai mereka yang bukan dalam golongan sejarawan untuk menulis di dalam bidang yang mereka suka dan fahami. Walaupun kita tidak memberikan mereka kelas khas untuk kaedah penulisan sejarah, tetapi apabila mereka mula menulis tentang sejarah, kaedah itu akan meresap dengan sendirinya. Di Malaysia terdapat beberapa buku hasil buah tangan penerbitan kendiri (indie publications) yang boleh diketengahkan sebagai satu percubaan untuk menulis sejarah sosial di dalam isu-isu yang sememangnya terpinggir di dalam kajian sejarah di Malaysia. Pertama ialah berkenaan dengan isu sub-budaya (subculture) di Malaysia.

Budaya punk misalnya amat sukar untuk dikesan asas kajiannya di universiti, sedangkan signifikan punk di Malaysia tetap ada dan mereka ialah sebahagian daripada warna yang wujud dalam masyarakat Malaysia. Di sebabkan tiada kajian akademik berkenaan punk di Malaysia yang dibukukan, jadi untuk kita mengetahui tentang punk di Malaysia kita perlu membaca buku-buku yang dihasilkan oleh golongan ini sendiri ada dua buku yang boleh memberikan pandangan dan idea mengenai gerakan Punk di Malaysia pertama buku ) di Malaysia. Pertama buku Punk Rock: Di Sebalik Fesyen & Muzik Bising yang diselenggarakan penerbitannya oleh dua pendokong punk, Dhani Ahmad dan Ahmad Nizamuddin Abdullah. Buku ini merungkai sejarah punk dari kacamata mereka yang pernah beraksi di gelanggang punk.

Melalui buku ini kita dapat meneliti apa pandangan dan falsafah yang dipegang gerakan Punk di Malaysia, kita juga dapat menyelongkar dengan mudah bahawa punk di Malaysia bukan sekadar bingit dengan muzik dan penampilan fizikal tetapi ada falsafah besar yang terselit sama. Selongkar buku Goblog yang disifatkan di antara buku terawal tulisan golongan punk di Malaysia dan selaklah ratusan zine atau makalah dihasilkan secara sendiri oleh golongan punk untuk menyampaikan maklumat tentang masalah masyarakat. Di dalamnya kita akan mengerti punk bukan punk yang kita fahami secara tipikal melalui pandangan luaran.

Buku kedua masih ditulis oleh Ahmad Nizamuddin bertajuk Buku kedua masih ditulis oleh Ahmad Nizamuddin bertajuk Aksi Reaksi 2: Dokumentasi Dum Dum Tak. Buku ini membawa kita mengenali pengalaman yang dilalui oleh kumpulan Dum Dum Tak, salah sebuah kumpulan muzik punk rock yang ada di Malaysia (Ahmad Nizamuddin merupakan salah seorang ahlinya). Ini dua buku tentang sejarah sebenarnya, bukan buku kosong. Namun, adakah kita akan mengiktiraf buku ini sebagai buku sejarah? Sebenarnya pengiktirafan itu amat perlu memandangkan kedua-dua buku ini merupakan di antara buku penting yang memaparkan mengenai sejarah yang tidak dibincangkan di Malaysia.

Lupakan tentang gaya bahasa pasar serta aturan penulisan yang tidak akademik, yang penting isinya menjurus kepada matlamat untuk memaparkan bingkisan punk di Malaysia. Ahli akademik atau sejarawan wajar mendalami tema sebegini bagi melihat Malaysia dari kacamata yang berlainan. Sudah tentu melihat Malaysia dari kacamata seorang politikus amat berbeza dengan cara melihat Malaysia melalui kacamata seorang punk. Jika ada ahli akademik yang sudah meneliti buku ini mungkin boleh membantu untuk membuat suntingan bahasa lebih standard tanpa mematikan hasrat asal buku ini bagi memastikan buku sebegini boleh dijadikan bahan akademik untuk rujukan para sarjana yang berminat tentang sub-budaya di Malaysia.

Selain daripada sub-budaya, di beberapa baris di atas ada disebut mengenai kekurangan penulisan sejarah sukan di Malaysia dan nampaknya sarjana sejarah juga kurang melihat hal ini sedangkan sukan merupakan sebahagian daripada sejarah sosial kerana sukan datang dari bawah dan menjadi budaya popular di Malaysia. Satu lagi penerbitan kendiri dikenali sebagai Dubook Press pernah menerbitkan dua buku yang disifatkan sebagai cukup penting di dalam meneliti sejarah bolasepak di Malaysia. Buku pertama diterbitkan pada 2011 hasil tulisan seorang blogger, Lucius Maximus. Buku berkenaan berjudul Selain daripada sub-budaya, di beberapa baris di atas ada disebut mengenai kekurangan penulisan sejarah sukan di Malaysia dan nampaknya sarjana sejarah juga kurang melihat hal ini sedangkan sukan merupakan sebahagian daripada sejarah sosial kerana sukan datang dari bawah dan menjadi budaya popular di Malaysia.

Gaya bahasa dan susunan perkataan juga amat cekap dan menunjukkan kematangan. Jika ada yang berminat untuk mengkaji tentang sejarah sukan khususnya sejarah bolasepak, buku ini amat dicadangkan untuk dibedah dengan lebih lanjut. Buku kedua berjudul Cerita Bola Sepak Malaysia yang menghimpunkan kisah-kisah penuh fakta kejayaan setiap pasukan di dalam arena bolasepak Malaysia. Buku ini diselenggarakan oleh Lucius dan menghimpunkan 11 penulis yang mempunyai minat mendalam terhadap pasukan masing-masing. Seperti juga buku sebelumnya, buku ini juga jika dilengkapi dengan bibliografi akan menjadi buku akademik kerana kekuatan fakta yang dimilikinya.

Namun, sayang walaupun keempat-empat buku yang dinyatakan mempunyai elemen sejarah sosial yang kuat, tetapi ia tidak diangkat sebagai bentuk karya sejarah kerana ada yang menganggapnya sebagai tidak akademik. Sudah tentu tidak akademik kerana yang menghasilkannya hanya mereka yang berminat dengan subjek berkenaan bukan golongan pensyarah atau sarjana di universiti. Karya sebegini dekat dengan pengguna kerana penulisannya mudah difahami oleh orang kebanyakan dan ini menjadikan sejarah dan ilmu itu dekat dengan orang ramai. Sejarawan boleh belajar sesuatu dalam keadaan ini. Menulis dengan bahasa santai tetapi masih mengekalkan elemen akademik. Jika keadaan ini berlaku, pasti karya sejarah akan lebih dekat dan mudah diterima ramai.

Penutup

Kita membincangkan mengenai isu sama ada sejarah Malaysia perlu atau tidak di tulis semula. Untuk berbicara mengenai penulisan semula kita perlu bercakap soal pemilihan tema, isu berat sebelah yang melanda, budaya elit dalam karya akademik dan usaha untuk mendekatkan sejarah dengan rakyat. Sejarah di Malaysia sememangnya perlu ditulis semula, namun pendekatan penulisan semula itu bukanlah dengan cara kita melihatnya sekarang, kita melihat sejarah dalam kerangka politik, pertembungan pembangkang dan kerajaan. Ini budaya yang silap di dalam melihat sejarah. Sejarah perlu dilihat di dalam kerangka ilmu dan melalui kerangka sebegini kita akan dapat mencapai satu bentuk sejarah yang lebih menyeluruh.

Kita sekarang perlu memikirkan cara untuk memasukkan elemen-elemen baru di dalam sejarah agar sejarah itu terzahir dari bawah, sejarah itu dari rakyat biasa yang tidak memegang kepentingan atau pun kuasa. Sejarah tentang penoreh getah, pekebun sayur, pemandu teksi, pengawal keselamatan, kerani dan golongan marhaen lain. Sejarah itu akan jadi adil dan menyeluruh jika ditulis dari bawah. Hal-hal seperti berat sebelah dan sejarah untuk golongan yang menang dapat diminimakan dengan penulisan bentuk ini. Sudah tiba masanya buku-buku teks sejarah di sekolah dilengkapi dengan sejarah mengenai kebudayaan, golongan minoriti dan budaya-budaya popular Malaysia termasuk muzik, filem dan sukan. Percayalah melalui penulisan bentuk baru ini kita akan melihat Malaysia dari perspektif yang lebih berbeza dan menarik.

Komen