Mengkhianat Itu Bukan Demokrasi, Usah Dibanggakan Lagi

Saya buka tulisan ini dengan hujahan pemikir kulit hitam Amerika iaitu Cornel West dalam bukunya Democracy Matters:

“You can’t lead the people if you don’t love the people. You can’t save the people if you don’t serve the people.”

 Pandangan mengenai demokrasi oleh Cornel West jelas iaitu berpihak kepada masyarakat kebanyakan dipandu oleh rasa cinta dan empati bukan kebencian dan permusuhan pada yang dipimpin. “Serve” yang dimaksudkan di sini merangkumi melayani keperluan dan hak yang adil bagi berlainan kulit, agama dan bangsa dan yang paling terutama menghormati keputusan mereka dalam sistem demokrasi. Kerana jika ia melampaui itu sudah tentu tirani sedang mengetuk pintu.

Demokrasi itu sudah didefinisikan lama. Ia merupakan kepaduan dari dua perkataan Greek iaitu Demos (rakyat) dan kratos (pemerintahan). Dimana dalam bahasa mudahnya kuasa diberikan pada rakyat untuk memilih siapa yang difikirkan layak pada hemat mereka.

Dan ini kerap kali dijelmakan dalam pilihan raya untuk menggambarkan bahawa kewarasan masyarakat awamlah yang menentukan perjalanan negara lalu meningkatkan martabat mereka semua, umpama memberi signal pada yang memerintah dan diperintah bahawa kita saling memerlukan satu sama lain. Tidak ada yang dominan.

Memanglah tidak dinafikan berlaku pertentangan antara idea ketika proses itu malah jika masyarakat itu mudah dibeli atau terhegemoni oleh kekuasaan mereka akan cenderung memilih pemimpin yang salah, hilang moral dan tidak layak. Namun setidaknya ia melalui proses dan sistem demokrasi yang telah didukung oleh semua. Mahu atau tidak pencerahan ilmu saja boleh memperbaik situasi berkenaan.

Namun begitu, ia bukanlah satu bencana terbesar dalam demokrasi, ada lagi yang lebih besar dari itu, memalukan malah meragut maruah setiap lapis masyarakat yang mempercayainya. Sudah tentu dan tidak lain iaitu pengkhianatan terhadap demokrasi.

Dalam susunan demokrasi, pengkhianatan bukanlah salah satu elemen yang terkandung dalamnya. Demokrasi tidak pernah mengangkat pengkhianatan sebagai salah satu elemen yang suci terutama pada mana-mana negara yang mengamalkannya. Demokrasi juga tidak tertegak atas itu. Idea asas kepada tertubuhnya sistem ini tentulah untuk perbaikan dan keadilan.

Saya fikir dalam perjalanan sejarah klasik juga pernah menceritakan bagaimana peranan Si Kitol yang dikatakan mengkhianati negaranya sendiri dengan membocorkan maklumat pada pihak musuh sehingga menyebabkan satu empayar besar hilang dalam sekelip mata. Si Kitol dibenci kerana pengkhianatannya itu menyebabkan ramai yang menderita. Kuncinya pengkhianat dan pengkhianatan tidak pernah mendapat tempat dalam sejarah. Apatah lagi pengkhianatan demokrasi.

Pengkhianatan dalam demokrasi juga boleh berlaku dengan cara, mereka yang tewas dalam pemilihan negara yang dipandu oleh undi masyarakat mahukan kuasa, tetapi bukan pada jalan demokrasi dan undian. Apa yang mereka lakukan adalah dengan mengkhianati pilihan masyarakat, mengagih kekuasaan sesama elit pemerintah tanpa memikirkan dan menghargai usaha masyarakat banyak dalam memilih.

Mereka mencipta pelbagai helah termasuklah mengatakan kerapuhan, ketidakstabilan memaksa mereka untuk mengambil alih kuasa, yang lebih tidak bermoral lagi dengan terang-terangan mereka mengatakan bahawa rancangan untuk menjatuhkan pemerintah yang dipilih melalui kaedah demokrasi itu sudah lama dan mereka amat bangga dengan itu. Apa lagi perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi ini selain dari tragis? Tragedi yang tragis.

Demokrasi itu matematiknya mudah, jika mahu menang mestilah melalui undian dan jika mahu mengalahkan harus juga melalui undian. Kerana inti demokrasi itu masyarakat bukannya sesama elit pemerintah. Semak dan imbang harus berlaku dan ini telah dipersetujui oleh semua sejak lama dahulu. Jikalau ini terus-terusan terjadi ia telah mencalarkan maruah masyarakat yang dikatakan sebagai mempunyai kuasa dan berperanan besar dalam memimpin demokrasi.

Pengkhianatan pada demokrasi ini cukup besar. Ini bukan mainan pistol anak-anak yang boleh dibuat jenaka ketika menembaknya kerana ia melibatkan tatanan masyarakat. Setidaknya akan memunculkan beberapa perkara.

Pertama, akan wujud ketidakpercayaan kepada demokrasi. Bayangkan usaha sebuah masyarakat yang beratur panjang membuang undi bagi memilih pemimpin mereka itu telah mengorbankan masa, tenaga dan wang mereka hilang begitu saja. Walhal mereka telah sandarkan inilah cara terbaik untuk menzahirkan harapan mereka. Silap-silap mereka tidak mahu turun mengundi lagi. Apa akan jadi pada demokrasi?

Akhirnya berkecai.

Bagaimana mahu memulihkan semula kepercayaan ini? Mahu atau tidak pemimpin harus berani mempamerkan kesedaran moral dengan mengatakan ini salah lalu memperbaikinya. Tersangat ironi bila memikirkan bahawa sesebuah masyarakat itu sering diingatkan untuk ke saluran yang betul untuk membuat aduan dan sebagainya, malangnya pemerintah pula tidak memilih saluran yang betul untuk berkuasa.

Kedua, elit politik boleh berebut kuasa sewenangnya dan masyarakat yang dipimpin hanya bisa menonton. Percaturan demokrasi itu untuk membuat imbangan. Benar dalam sesebuah negara itu kumpulan elit amat diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja pengorganisasian masyarakat. Namun bukanlah elit yang suka berebut kekuasaan sesama sendiri yang dimahukan. Saya pasti semua mahukan mereka yang punyai kesedaran moral yang tinggi bertanggungjawab, amanah dan boleh diharap. Jika begini bukanlah kuasa rakyat yang terjelma sebaliknya kuasa elit.

Ketiga, perihal pencapaian hanya akan seputar perebutan kuasa bukan pembangunan negara. Setiap paparan berita akan hanya menceritakan siapa yang berebut kuasa dan siapa yang memenanginya. Akibat terlampau sibuk memastikan kestabilan kuasa, maka hal-hal lain akan terabai seperti hal pembangunan, yang paling membimbangkan itu bukanlah pembangunan materi saja tapi pembangunan minda masyarakat sehingga tidak dapat membezakan yang mana itu baik dan yang mana itu salah.

Saya akhiri tulisan di perenggan akhir ini dengan mengatakan bahawa mengkhianat itu bukan demokrasi usah dibanggakan lagi. Jangan biarkan ia berlaku untuk sepuluh, seratus atau beribu tahun yang mendatang tidak kiralah sekiranya ia dilakukan oleh ulama, profesor dan pemimpin sekalipun.

Komen