Data yang didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi PMQT Dewan Rakyat memberi gambaran penting tentang bagaimana federalisme fiskal di Malaysia berfungsi. Dalam tempoh 2023 hingga 2025, hanya Selangor dan Pulau Pinang mencatat kutipan cukai Persekutuan yang lebih tinggi berbanding jumlah perbelanjaan Persekutuan yang diterima di negeri masing-masing. Menurut transkrip rasmi Pejabat Perdana Menteri, Selangor menyumbang purata RM43.6 bilion setahun tetapi menerima perbelanjaan Persekutuan sekitar RM15 bilion, manakala Pulau Pinang menyumbang RM10.7 bilion dan menerima RM7.9 bilion.
Bagi negeri lain yang disebut secara khusus, jumlah perbelanjaan Persekutuan melebihi hasil cukai yang dikutip. Kelantan mencatat hasil purata RM946 juta tetapi menerima RM8.9 bilion; Kedah mencatat RM3.7 bilion dan menerima RM9.5 bilion; Terengganu mencatat sekitar RM2.4 bilion termasuk hasil petroleum dan menerima RM7.8 bilion; Perlis mencatat kira-kira RM419 juta dan menerima RM2.2 bilion; manakala Johor mencatat hasil sekitar RM14 bilion tetapi menerima perbelanjaan Persekutuan RM16 bilion.
Angka ini perlu dibaca dengan betul. Ia bukan bermaksud negeri yang kurang menyumbang tidak produktif, atau negeri yang banyak menyumbang telah “dirampas” hasilnya. Sebaliknya, ia menunjukkan fungsi sebenar sebuah kerajaan Persekutuan: mengumpul hasil secara nasional dan mengagihkannya semula berdasarkan keperluan rakyat, jurang pembangunan, projek kritikal dan tanggungjawab perkhidmatan awam.
Inilah asas federalisme fiskal. Dalam sistem Persekutuan, hasil utama seperti cukai pendapatan individu, cukai syarikat, duti kastam, SST dan cukai petroleum lazimnya dipungut di peringkat Persekutuan. Negeri pula mempunyai sumber hasil yang lebih terhad seperti cukai tanah, premium tanah, hasil hutan, royalti tertentu dan fi kerajaan negeri. Oleh itu, Persekutuan menyalurkan semula sumber melalui perbelanjaan kementerian, projek pembangunan, geran berkanun dan bukan berkanun. Kementerian Kewangan menyenaraikan pemberian kepada negeri termasuk capitation grant, state road grant, State Reserve Fund, pemberian khas Sabah dan Sarawak, pemberian kepada PBT serta geran berdasarkan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan.
Malah, Kerajaan Persekutuan turut menaikkan kadar capitation grant sebanyak 25% kepada RM548 juta berkuat kuasa 2026, selain menaikkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM250 juta pada 2025. Jumlah geran Persekutuan kepada kerajaan negeri juga meningkat daripada RM9.3 bilion pada 2024 kepada RM9.8 bilion pada 2025.
Sebab itu dakwaan Johor kononnya berhak mendapat peruntukan lebih besar semata-mata kerana menyumbang cukai yang tinggi adalah tidak kukuh. Johor bukan berada dalam kedudukan seperti Selangor atau Pulau Pinang yang benar-benar menjadi penyumbang bersih. Berdasarkan angka yang didedahkan, Johor menyumbang sekitar RM14 bilion tetapi menerima RM16 bilion, iaitu lebih tinggi daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri itu.
Johor tentu boleh menuntut projek strategik seperti infrastruktur JS-SEZ, jalan raya, pengangkutan awam, tebatan banjir dan kemudahan industri. Namun tuntutan itu mesti dibuat atas asas keperluan pembangunan dan kepentingan nasional, bukan atas logik “cukai Johor mesti dipulangkan kepada Johor”. Jika prinsip itu diterima, negeri lebih miskin akan tertinggal, jurang wilayah melebar, dan idea Malaysia sebagai satu ekonomi bersama akan runtuh.
Kesimpulannya, data ini menegaskan satu perkara: keadilan fiskal bukan bermaksud setiap negeri menerima semula jumlah yang sama dengan cukai yang dibayar. Keadilan fiskal bermaksud hasil negara digunakan untuk memastikan semua rakyat, sama ada di Shah Alam, George Town, Kota Bharu, Alor Setar, Kangar atau Johor Bahru, tetap mendapat akses kepada pembangunan, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan infrastruktur asas yang munasabah.
Atas sebab itu, komen Tunku Mahkota Johor bahawa “Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor” wajar dilihat sebagai hujah politik yang lemah dari sudut federalisme fiskal. Baginda dilaporkan menyatakan Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun tetapi hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan, serta mencadangkan 25 hingga 30 peratus hasil cukai dari Johor dipulangkan semula kepada negeri tersebut. Namun angka yang didedahkan Perdana Menteri menunjukkan Johor sebenarnya menerima perbelanjaan Persekutuan sekitar RM16 bilion berbanding kutipan cukai sekitar RM14 bilion, iaitu lebih daripada hasil yang dikutip di negeri itu.
Maka, masalah pembangunan Johor tidak boleh disederhanakan sebagai “dibocorkan” oleh Persekutuan. Dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah Persekutuan, hasil negara bukan milik mutlak mana-mana negeri, tetapi sumber bersama untuk membiayai keperluan seluruh rakyat Malaysia. Jika setiap negeri menuntut pulangan berdasarkan jumlah cukai masing-masing, negeri yang lebih kecil dan miskin akan terus tertinggal, manakala semangat Persekutuan yang menjadi asas pembentukan Malaysia akan semakin terhakis.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









