Mengapakah ada manusia melarikan diri dari negaranya dan membahayakan nyawa untuk memasuki negara lain?
Kadangkala kita juga keliru melihatkan apa yang terjadi. Mengapa isu pelarian tidak pernah surut dan terus menjadi perkara yang dibincangkan di merata-rata tempat.
Di Malaysia sekarang kita aktif melihat isu Rohingya dan itu merupakan secebis kisah mengapa pelarian berlaku. Sebenarya terdapat banyak faktor-faktor yang menyumbang kepada isu ini. Mari kita rungkai satu-persatu.
Agama/Etnik
Penindasan atas alasan agama, etnik dan pandangan politik menjadi antara penyebab utama kepada krisis pelarian. Antaras krisis pelarian paling meruncing sekarang adalah disebabkan oleh faktor agama dan kaum. Kes yang sudah berlarutan lama seperti apa yang menimpa etnik minoriti Islam Rohingya di Myanmar menjadi bukti bagaimana perbezaan agama dan kaum boleh mencetuskan krisis ini.
Penindasan ini bermula sejak kemerdekaan Myanmar pada tahun 1946 apabila kerajaan di negara berkenaan tidak mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada 135 etnik rasmi di negara berkenaan. Alasan paling utama yang sering diberikan oleh pemerintah ialah Rohingya berbeza secara keseluruhannya termasuk bahasa, agama dan keturunan dengan etnik Buddha yang dominan di Myanmar.
Kerajaan Myanmar juga menafikan pemberian hak kewarganegaraan kepada Rohingya dan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai dokumentasi kewarganegaraan secara perundangan. Pada masa kini, Rohingya hanya diberikan kad khas sebagai warganegara sementara. Kad ini tidak memberikan apa-apa pengertian kerana ia menghadkan hak etnik Rohingya dan tidak boleh dijadikan bukti kewarganegaraan.
Penafian hak dan diskriminasi terhadap etnik Rohingya ini bukan sahaja berlaku atas kapasiti kewarganegaraan, namun ia melibatkan keseluruhan kehidupan etnik berkenaan. Ini termasuk aspek perkahwinan, perancangan keluarga, pekerjaan, pendidikan, pilihan untuk beragama dan kebebasan untuk bergerak.
Keganasan besar-besaran terhadap etnik Rohingya, khasnya mereka yang menetap di wilayah Rakhine berlaku sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2017. Keganasan pada tahun 2012 berlaku dalam dua gelombang pada Jun dan Oktober dan ia menjejaskan kira-kira 12 kawasan perkampungan di wilayah berkenaan.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada tahun 2018, keganasan pada 2012 itu melibatkan tindakan tidak berperikemanusiaan termasuk rogol dan pembunuhan. Kerajaan Myanmar memaklumkan jumlah kematian adalah 192 orang dengan 265 cedera dan 8,614 rumah musnah. Namun UNHRC percaya angka kematian adalah lebih tinggi daripada itu. Tragedi pada tahun 2012 itu menyebabkan 140 ribu etnik Rohingya menjadi pelarian.
Namun begitu, apa yang berlaku bermula pada 25 Ogos 2017 adalah lebih buruk dan menakutkan. Malah ia disifatkan UNHRC dalam laporan sama sebagai penindasan terancang untuk menghapuskan etnik Rohingya.
Segala-galanya bermula dengan serangan daripada Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) ke atas 30 pos kawalan di sekitar wilayah Rakhine. Serangan ini dipercayai dilakukan dengan matlamat untuk mendapatkan perhatian masyarakat antarabangsa dan sebagai respons kepada penindasan berterusan terhadap etnik Rohingya. Dalam serangan itu, 12 anggota tentera Myanmar terbunuh.
Menurut UNHRC, reaksi pemerintah Myanmar terhadap insiden berkenaan sangat kejam dan tidak boleh diterima. Mereka menyerang semua kawasan perkampungan di seluruh Rakhine dan akhirnya pada pertengahan Ogos 2018, lebih 725 ribu Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh. Lebih 10 ribu orang maut dalam serangan tidak berperikemanusiaan itu.
Lebih menyedihkan rogol dan pelbagai bentuk keganasan seksual lain telah dijadikan alat penindasan secara besar-besaran. Dalam sesetengah keadaan, 40 wanita telah dirogol secara bergilir-gilir dan ia dilakukan di ruang terbuka dan di hadapan ahli keluarga mangsa bagi mewujudkan trauma dan memalukan mereka. Malah rogol juga berlaku di kawasan pos polis dan tentera.
Menurut UNHRC, pemerintah Myanmar bertindak memusnahkan 392 kawasan perkampungan dan 37,700 rumah. Lebih 70 peratus rumah di kawasan Maungdaw yang menjadi kediaman majoriti etnik Rohingya telah dimusnahkan. Di samping itu, sekolah, pasar dan masjid turut dirobohkan.
Kanak-kanak merupakan mangsa terbesar dalam keganasan ini dan dianggarkan lebih 500 ribu kanak-kanak Rohingya berada di Bangladesh dan mereka meninggalkan tempat tinggal secara bersendirian kerana telah terpisah daripada keluarga sendiri.
Ini menjadi bukti bagaimana setiap apa yang dilaksanakan ini adalah sesuatu yang bersifat terancang untuk mengusir dan menghapuskan etnik Rohingya dari Myanmar. Krisis ini dilihat sukar untuk dikawal memandangkan mandat antarabangsa untuk campur tangan secara langsung adalah tidak jelas.
Sehingga kini, pelarian di Myanmar hanya dapat dibantu dari sudut bantuan kemanusiaan termasuk perlindungan di kem pelarian. Namun, ia sebenarnya masih tidak kondusif untuk membentuk kehidupan lebih baik buat mereka, tambahan pula suasana di kem pelarian amat teruk dan tidak memberikan mereka kehidupan sebagai manusia sebenar. Kehadiran pelarian Rohingya di beberapa negara setempat juga menimbulkan kesukaran dalam aspek pengendalian dan ini menyebabkan taraf kehidupan mereka menjadi tidak menentu.
Apa yang berlaku kepada Rohingya merupakan contoh utama dan terkini bagaimana penindasan terhadap pegangan agama dan etnik seseorang menjadi faktor terbesar kepada berlakunya isu pelarian di peringkat global.
Politik
Selain itu, penindasan atas sebab pandangan politik juga menyumbang kepada berlakunya masalah pelarian antarabangsa. Dalam dunia moden hari ini, konflik dalaman sesebuah negara kebiasaannya tercetus akibat pergeseran politik. Ini kebiasaannya berlaku dalam perjalanan pendemokrasian sesebuah negara ke arah lebih baik atau tindakan sesetengah golongan untuk mengubah dan menjatuhkan rejim pemerintahan.
Contoh terdekat yang dapat diperhatikan kini ialah apa yang berlaku di Hong Kong. Berlaku kebangkitan luar biasa rakyat yang mahu mengubah wajah pemerintahan Hong Kong kepada demokrasi penuh. Segala-galanya bermula dengan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah yang mahu memperkenalkan undang-undang ekstradisi yang dilihat golongan pembangkang sebagai mengancam sistem perundangan Hong Kong dan dalam masa sama menggugat kebebasan bersuara.
Dalam hal ini ramai aktivis demokrasi di Hong Kong berdepan tekanan luar biasa daripada pemerintah dan disebabkan mereka bimbang dengan keadaan ini dan kemungkinan akan ditangkap serta dibicarakan secara tidak adil, maka mereka bertindak melarikan diri.
Terbaru dua aktivis utama dalam gerakan demokrasi di Hong Kong, Ray Wong Toi Yeung dan Alan Li Tung Sing telah melarikan diri ke Jerman dan mendapatkan perlindungan di negara berkenaan.
Kedua-duanya kini yang telah diberikan perlindungan penuh oleh kerajaan Jerman memutuskan untuk melarikan diri kerana menjangkakan akan diadili secara tidak adil di bawah Public Order Ordinance yang sebelum ini telah dikritik oleh UNHRC sebagai tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan menghalang kebebasan berhimpun rakyat Hong Kong. Selain itu, kedua-dua mereka juga melarikan diri kerana mahu menarik perhatian antarabangsa terhadap kemelut politik di negara berkenaan.
Satu lagi contoh pelarian dalam konteks politik adalah isu yang menimpa aktivis hak wanita Iran, Bahareh Zare Bahari pada tahun 2019. Beliau yang ketika itu berada di Filipina telah diarahkan untuk pulang ke negara asalnya bagi menghadapi pertuduhan yang tidak jelas.
Apa yang cuba dikenakan ke atas beliau adalah satu bentuk penindas politik berhubung sikap kritikalnya terhadap pemerintah dan usaha-usahanya dalam meningkatkan kesedaran terhadap hak wanita.
Bahari dalam satu pertandingan ratu cantik telah mengenakan pakaian berbentuk protes terhadap pemerintah Iran dan keadaan ini merupakan antara sebab utama tindakan mahu diambil terhadap beliau.
Bahari diberikan status pelarian politik di Filipina dan tidak perlu lagi untuk kembali ke negara asalnya. Ini kerana beliau berhadapan dengan penindasan dan tindakan di luar kerangka hak asasi manusia jika pulang ke Iran.
Kebiasaannya pelarian atas faktor politik ini adalah dalam lingkungan individu atau kumpulan kecil dan tidak seperti pelarian atas faktor penindasan etnik, agama atau perang yang melihatkan pergerakan besar-besaran. Pelarian politik ini juga biasanya mempunyai akses perlindungan lebih baik dan mudah memandangkan mereka mempunyai jaringan hubungan dengan negara-negara hos. Pelarian politik juga sering menjadikan negara-negara Eropah yang mengamalkan demokrasi penuh sebagai tempat untuk mendapatkan perlindungan kerana hak mereka dijamin di bawah perlembagaan dan undang-undang di negara berkenaan.
Perang
Krisis pelarian paling besar akan berlaku melalui perang dan hal ini telah dibuktikan oleh sejarah. Kita dapat melihat sendiri pada Perang Dunia Pertama jumlah pelarian mencecah sehingga 1.85 juta dan Perang Dunia Kedua melihatkan keadaan lebih menakutkan apabila jumlah pelarian semasa perang tamat mencapai 11 juta. Ini menjadi bukti bagaimana perang adalah faktor terbesar kepada krisis pelarian global. Pada masa kini, perang masih berlaku dan jika pun bukan di antara negara, perang masih berlaku dalam konteks dalaman dengan apa yang kita sebut sebagai perang saudara. Namun, suasana perang saudara pada ketika ini juga melihatkan suasana rumit apabila ia turut melibatkan campur tangan dan sokongan asing. Keadaan ini menjadikan isu pelarian semakin sukar untuk dikawal dan memberikan kita angka yang semakin menggerunkan.
Dalam keadaan semasa, krisis perang di Syria menjadi perkara penting dalam kita membincangkan isu pelarian. Syria kini menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah pelarian di seluruh dunia dan jalan penyelesaian yang cuba diambil nampaknya belum melihatkan kesan untuk meredakan ketegangan yang berlaku.
Krisis pelarian Syria ini bermula pada Mac 2011 apabila kerajaan cuba menghalang tunjuk perasaan yang dilakukan orang awam bagi menyokong sekumpulan remaja yang ditahan kerana melukis grafiti anti kerajaan di bandar, Daraa.
Bermula sebagai sebuah bentuk penentangan kecil, krisis ini merebak sehingga menjadi sebagai antara krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah. Dalam tempoh dua bulan, kem pelarian telah dibuka di Turki dan pada Mac 2013, lebih 1 juta orang telah keluar meninggalkan Syria.
Menurut UNHCR, kawasan paling terjejas di Syria ialah Idlib yang terletak di barat laut Syria. Kemelut di kawasan ini telah menyaksikan kira-kira 900 ribu orang meninggalkan kediaman mereka sejak Disember 2019. Pada pertengahan Februari 2020, keadaan lebih meruncing apabila jumlah pelarian dari kawasan ini meningkat lebih 100 ribu orang dalam masa kurang dari seminggu.
Namun begitu, 93.7 peratus daripada 6.7 juta pelarian Syria tidak tinggal di kem pelarian, sebaliknya mereka tinggal di negara-negara hos yang terletak berhampiran seperti di Turki, Lubnan, Jordan, Iraq dan Mesir. Menurut UNHCR (2020), walaupun tidak berada di kem pelarian, kehidupan mereka tidaklah stabil seperti yang dibayangkan keranan lebih 60 peratus daripada mereka masih hidup dalam kemiskinan dan tidak mempunyai pekerjaan serta tahap pendidikan yang sepatutnya.
Dalam tempoh setahun krisis di Syria telah membengkak sebagai sebuah krisis yang serius dan ia bukan lagi menjadi krisis dalaman seperti mana puncanya dahulu. Ia kini memerlukan penglibatan besar negara-negara utama dunia dan negara jiran. Krisis di Syria juga menjadi petanda penting tentang bagaimana dunia cuba mengadaptasi kepentingan negara secara individu dan keperluan untuk menghulurkan bantuan kepada pelarian yang datang dari luar.
Malah bentuk bantuan juga sudah tidak cukup sekadar memberikan tempat tinggal, makanan dan pakaian, tetapi kebanyakan negara hos kini perlu memikirkan usaha konkrit untuk membantu pelarian ini meneruskan kelangsungan hidup dan dalam sesetengah keadaan, negara hos perlu menerima mereka untuk menjadi warganegara. Namun ia bukanlah satu usaha mudah memandangkan, setiap negara masih lagi berpegang kepada prinsip kepentingan individualistik.
Namun pendekatan yang diambil negara seperti Jerman amat memberikan kesan. Negara ini telah melatih pelarian menjadi buruh berkemahiran dan ini sekaligus mengisi kelompongan yang diperlukan Jerman dalam pelbagai sektor ekonomi di negara berkenaan. Malah usaha di ambil Jerman ini telah memberikan kesan positif terhadap peningkatan ekonomi mereka.
Orientasi Seksual
Isu pelarian global dalam konteks semasa dilihat semakin kompleks dengan pertambahan faktor-faktor berbeza akibat daripada dinamik sosial yang berlaku dalam masyarakat. Dalam keadaan terkini, kita dapat melihat bahawa isu orientasi seksual turut menjadi tumpuan dalam meneliti masalah pelarian ini.
Golongan yang disebut sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) juga kini menjadi antara golongan utama dalam konteks pelarian antarabangsa. Keadaan ini berlaku disebabkan orientasi seksual mereka tidak diterima di negara asal dan berlaku penindasan berterusan disebabkan aspek ini.
Pertentangan norma personaliti dengan tradisi dan budaya sesebuah negara menjadikan isu berkaitan pelarian LGBT ini sebagai antara paling rumit untuk dikendalikan. Dalam konteks negara-negara konservatif seperti Pakistan dan Bangladesh, golongan LGBT bukan sahaja berdepan diskriminasi sosial atau ekonomi, tetapi juga melalui penindasan fizikal termasuk dipukul, dicederakan malah ada yang dibunuh.
Amnesty International melaporkan seorang wanita transgender berusia 19 tahun dari Pakistan telah ditembak mati oleh bapanya sendiri di sebuah perkampungan di Khyber Pakhtunkhwa. Sekurang-sekurangnya empat lagi wanita transgender juga telah dibunuh pada tahun 2019. Dua wanita transgender juga telah ditembak dan mengalami kecederaan serius dalam kejadian di daerah yang sama. Keadaan sama turut berlaku di Bangladesh di mana aktivis LGBT sering menjadi mangsa penindasan termasuk berdepan risiko untuk ditangkap oleh pemerintah.
Beberapa negara seperti Jepun dan Perancis telah mengambil tindakan memberi perlindungan kepada pelarian LGBT ini.
Namun begitu, pelarian LGBT ini sukar mendapat tempat dan perhatian umum memandangkan isu ini sering dikaitkan dengan pegangan adat dan budaya sesebuah negara. Malah permohonan untuk mendapatkan status pelarian juga sukar untuk diberikan secara mudah. United Kingdom misalnya telah menolak 3,100 permohonan untuk mendapatkan status pelarian daripada golongan LGBT dan semua permohonan ini datang dari negara-negara yang menganggap menjadi LGBT adalah satu tindakan jenayah seperti Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Malaysia dan Iran.
UNHCR dalam satu kenyataan akhbar pada 1 Julai 2019 telah menyeru supaya negara-negara yang terlibat dalam memberikan perlindungan kepada pelarian untuk mengiktiraf ketidakupayaan dan keperluan khas golongan LGBT. UNHCR dalam kenyataannya menganggap golongan LGBT berdepan dengan penindasan yang meninggalkan kesan trauma dan psikologi terhadap mereka. Selain itu, golongan LGBT juga dikatakan berhadapan dengan sekatan berterusan terhadap hak asasi seperti kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara. Semua negara juga disarankan mengambil pendekatan positif dalam menangani segala insiden melibatkan keganasan terhadap golongan LGBT.
Namun begitu, saranan UNHCR ini sukar untuk didukung oleh negara-negara konservatif yang menganggap orientasi seksual seperti LGBT sebagai sesuatu yang songsang malah bukan sahaja dalam norma budaya tetapi turut dilanjutkan di dalam norma perundangan. Sehubungan itu, wujud kontrakdisi yang serius di antara kepentingan antarabangsa dan perundangan domestik yang wajar ditangani. Paling baik yang boleh dilaksanakan oleh negara-negara yang menolak LGBT adalah dengan melaksanakan pertimbangan adil dari sudut hukuman kepada mereka yang melaksanakan kekerasan terhadap golongan LGBT berdasarkan kepada kanun jenayah yang ada.
Kebuluran
Kebuluran menjadi antara faktor yang mendorong kepada berlakunya isu pelarian di peringkat global. Antara negara yang sedang berdepan dengan krisis kebuluran dan ia meningkatkan jumlah pelarian dari negara berkenaan ialah Sudan Selatan. Apa yang berlaku di negara ini adalah berpunca daripada perang saudara dan konflik bersenjata yang bermula sejak sekian lama, namun melihatkan kemuncaknya sekitar tahun 2013 hingga 2016.
Lanjutan daripada perang yang berpanjangan, ia memberi kesan langsung terhadap aspek keselamatan makanan negara berkenaan sehingga mendedahkan penduduknya kepada masalah kebuluran.
Pada tahun 2017, lebih 7 juta penduduk di Sudan Selatan terdedah kepada masalah ketakselamatan makanan yang serius dan keadaan ini boleh mengundang kepada permasalahan kebuluran yang berpanjangan.
Pertubuhan Bantuan Makanan (FAO) melihat lebih 200 ribu rakyat di Sudan Selatan kini sedang berdepan dengan masalah kebuluran dan ini akan menyebabkan lebih ramai pelarian yang tidak mempunyai zat mencukupi melarikan diri ke negara berhampiran bagi mendapatkan bekalan makanan seperti Uganda. Masalah ini kritikal memandangkan negara hos juga tidak mampu unttuk menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk golongan pelarian ini dan ia akan memburukkan krisis yang terjadi.
Menurut FAO, kebanyakan pelarian dari Sudan Selatan ini ialah petani yang terpaksa meninggalkan semua ternakan dan tanaman mereka dan kini mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.
Ini melihatkan kepada kita faktor besar seperti perang boleh membuka lebih banyak faktor sampingan yang kemudiannya menjadi faktor utama dalam meningkatkan jumlah pelarian di peringkat antarabangsa. Sudan Selatan merupakan contoh utama di daman asas utama krisis adalah perang, namun kesan daripada peperangan berkenaan, wujud masalah kebuluran yang kemudiannya menyebabkan rakyat di Sudan Selatan semakin ramai menjadi pelarian, demi mendapatkan bekalan makanan. Namun yang lebih menyedihkan, negara hos yang dituju mereka juga tidak mampu menampung tanggungjawab untuk menyediakan bekalan makanan mencukupi.
Perubahan Iklim
Perubahan iklim merupakan fenomena global yang sedang hangat dibincangkan dalam kerangka saintifik sebagai fenomena yang mempengaruhi kedudukan cuaca dan bumi secara geografi. Pendekatan ilmu sains sering digunakan untuk meneliti faktor dan kesan fenomena ini. Namun dalam jangkauan kini, perbincangan berkaitan isu pelarian juga tidak dapat dipisahkan daripada dikaitkan dengan fenomena ini.
Kajian perubahan iklim dan pengaruhnya terhadap pelarian merupakan satu bidang baru dalam kajian hubungan antarabangsa. Sehubungan itu, amat menarik untuk melihat bagaimana faktor semula jadi menjadi penggerak dan pencetus kepada kehidupan manusia sehingga menimbulkan krisis yang meruncing.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam Resolusi 64/162 pada Disember 2009 telah memperakui bahawa bencana alam kini menjadi faktor utama kepada krisis pelarian dan bilangan pelarian akibat perubahan iklim akan terus meningkat.
UNHCR menjangkakan sekurang-kurangnya, 50 juta orang akan hilang tempat tinggal menjelang tahun 2050 akibat bencana alam dan berdasarkan kepada tinjauan dibuat The Sendai Framework for Disaster Risk Reduction (2015-2030), lebih 1.5 bilion manusia terjejas akibat bencana alam di seluruh dunia dari tahun 2005 hingga 2015.
Kedua-dua data ini memberikan gambaran bahawa pada masa akan datang, krisis pelarian dunia kemungkinan besar akan dicorakkan oleh fenomena alam, kesan daripada perubahan iklim.
Mengambil Bangladesh sebagai contoh, negara ini menjadi salah sebuah negara yang buruk terkesan akibat perubahan iklim. Keadaan ini berlaku kerana negara ini terdedah kepada tahap taburan hujan yang tinggi di samping corak suhu dan kedudukan meteorologi yang mampu menyumbang kepada bencana alam seperti taufan, banjir, kemarau dan tanah runtuh. Keadaan ini juga mampu memberika masalah kepada produktiviti pertanian, ketakselamatan makanan, tekanan hidup dan pelarian.
Sebagai contoh pada Julai 2016, Bangladesh telah dilanda banjir besar yang menjejaskan kehidupan kira-kira empat juta penduduknya. Mereka kehilangan harta benda, tempat perlindungan dan berdepan krisis makanan. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kawasan tempat tinggal sendiri dan mendapatkan perlindungan di kawasan bukit berhampiran. Tahap kehidupan mereka pada waktu itu sangat daif dan ia memerlukan tempoh berbulan-bulan untuk mereka pulih dan dapat membina semula kehidupan. Pada Ogos 2017, banjir besar sekali lagi memberi tamparan hebat kepada kehidupan warga di Bangladesh. Bencana ini membawa maut kepada 120 orang. Berasaskan kepada angka daripada UNHCR, kira-kira 6 juta warga Bangladesh terjejas akibat bencana alam dan hilang tempat tinggal serta terpaksa melarikan diri kawasan bandar dan tinggal di setinggan yang kemudian menghumban mereka ke kancah masalah sosial yang lebih buruk.
Walaupun pelarian akibat perubahan iklim di Bangladesh masih bersifat dalaman, di mana ia melibatkan penghijrahan secara setempat dari luar bandar ke bandar, namun berasaskan kepada jangkaan UNHCR pada tahun 2050 itu, masalah pelarian dijangka kritikal akibat fenomena perubahan iklim ini.
Negara kepulauan kecil, Kiribati misalnya kini berhadapan dengan risiko untuk tenggelam berikut peningkatan paras laut. Malah, negara ini menyaksikan munculnya seorang lelaki yang bertindak cuba mendapatkan status pelarian sebagai pelarian akibat perubahan iklim yang pertama di dunia.
Pada tahun 2012, Ione Teitiota, telah memohon untuk mendapatkan perlindungan sebagai pelarian di New Zealand dengan mengemukakan hujah bahawa beliau kini sukar untuk bercucuk tanam dan rumahnya berdepan risiko untuk tenggelam kerana sering dimasuki air laut.
Beliau telah melarikan diri ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya pada tahun 2007 dan tinggal di sana melebihi daripada tempoh visa yang ditetapkan. Namun nasib tidak menyebelahi Teitiota apabila dia diusir daripada New Zealand pada tahun 2015.
Penduduk dari negara-negara bergolak di Afrika seperti Chad, Cameroon, Nigeria dan Niger telah melarikan diri ke kawasan Tasik Chad. Dengan bantuan daripada UNHCR mereka berjaya menjalani kehidupan di sana. Namun perubahan iklim kini memberikan bencana baharu buat mereka apabila air di Tasik Chad kini susut sehingga 90 peratus sejak 1960. Kehidupan mereka di sekitar kawasan berkenaan kian sukar dan ini memberikan masalah baru dan kemungkinan besar mereka terpaksa menjadi pelarian di kawasan lain pula.
Kesan perubahan iklim terhadap isu pelarian diakui sendiri oleh Ketua UNCHR, Filippo Grandi dalam satu ucapannya ketika Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UNHCR pada 7 Oktober 2019.
Grandi mengakui bahawa perubahan iklim dan bencana alam mampu memberikan ancaman buruk kepada golongan pelarian yang melintasi sempadan. Bagi beliau perkaitan rapat antara iklim, konflik, kemiskinan dan penindasan telah meningkatkan lagi tahap kerumitan isu pelarian.
Pelarian di abad ke-21 berhadapan dengan cabaran terkini yang sebelum ini dianggap tidak memberikan kesan sehingga mencetuskan isu pelarian. Kebiasaannya pelarian sering ditandai dengan penindasan yang konvensional serta mudah untuk ditangani dan dibahagikan mengikut konteks serta kategori.
Namun dengan sistem dunia yang kian rencam, muncul masalah baru seperti perubahan iklim yang meningkatkan cabaran serta keupayaan badan dan undang-undang antarabangsa untuk mengatasinya.
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.