SUDAH hampir sebulan 2021 berlalu. Saya perhatikan masih ramai yang mencerca 2020. Segalanya disebabkan korona; wabak yang nggak nampak dek mata, tetapi keras mengguncang dunia.
Ekonomi ke laut, tak boleh pergi bercuti, dua puluh empat jam di rumah, makan di restoran kena berjarak-jarak, itu antara keluhan yang seringkali diulang-ulang.
Namun menurut saya, 2020 tidaklah teruk selengkapnya.
Bahkan, tidak keterlaluan dunia dan seisinya wajar mengingati 2020 sebagai tahun paling epik dalam sejarah peradaban dunia.
Siapa pernah terfikir, selama menjalani kehidupan seharian, situasi semasa memaksakan kita mempraktis rutin baharu — penutup muka, jarak sosial serta kerap membasuh tangan?
Dan siapa pernah sangka, kerana merasa terlalu diancam, makhluk bumi yang sombong lagi angkuh bernama manusia pernah berebut-rebutkan roti Gardenia demi bekalan ‘survival’ di rumah?
2020 ternyata tahun enigma! Pasti dikenang sampai kiamat!
Walaubagaimanapun, 2020 pantas berlalu begitu sahaja.
Terasa seperti semalam.
Di awal tahunnya, saya punya urusan kerja maha penting mesti diselesaikan.
Syukur. Pengakhiran projek akhirnya menggembirakan semua pihak pengurusan organisasi.
Pada ketika itu, korona masih di Wuhan. Umpama jalan cerita filem zombie, Wuhan langsung kacau bilau. Kita di sini masih tenang. Masih bergosip perihal masyarakat Wuhan makan kelawar.
Tiba-tiba, beberapa bulan kemudian, korona menyelinap dan menyergah Malaysia.
Malah, satu demi satu negara terkena sihirnya. Bangsa manusia berlari terkincit-terkincit mencari perlindungan di dalam rumah.
Korona nyaris melumpuhkan keseluruhan aktiviti harian bangsa manusia.
Tiada lagi acara melepak di mamak sehingga jam 4 pagi. Tiada pesta mabuk-mabuk di kelab malam. Tiada kereta bersusun elok dalam satu barisan di sepanjang jalan raya. Tren, bas dan pengangkutan awam lain sunyi disapa angin sepi pendingin udara.
Jutaan manusia terperuk kebosanan di dalam habitat masing-masing.
Nasib baik tamadun manusia dianugerahi media sosial – anugerah curahan hati yang paling dalam.
Di situlah ikatan sosial menjadi semakin utuh. Di situlah kita berpakat mengembangkan hidung masing-masing tatakala Mat Saleh memuji cara kerajaan Malaysia menguruskan wabak. Di situlah seluruh negara mengaminkan doa Abah, sang pemimpin kerajaan Melayu Islam terulung.
Di samping itu, ramai yang merakamkan aktiviti-aktiviti sementara terkurung. Ada yang menanam pokok di dalam rumah. Ada yang berlumba-lumba buat kelakar masak apa yang tidak jadi hari ini. Ada yang membazir kopi demi sebuah bancuhan legenda Dalgona. Ada juga yang menayang makanan mewah di Instastory berkapsyen ‘tak sabar menunggu korona lenyap’.
Semakin lama, manusia semakin menyerap norma gaya hidup terbaru.
Kita berpuasa di rumah. Bertarawikh di rumah. Beraya Aidilfitri di rumah. Segala urusan pejabat dibereskan dari rumah.
Tetapi, antara rumah saya, dia dan kamu, membawa perbezaan yang cukup luas.
Wajib kita sedar bahawa bukan semua perut kenyang menjalani ibadah ‘PKP’ di rumah. Bukan semua kesihatan mental terjamin di sepanjang tempoh berkurung. Bukan semua anak-anak punya akses lumayan belajar dalam talian.
Rumah-rumah besar milik taikun (sebagai contoh) yang kekayaan mereka bertambah sebanyak 10% seperti yang dilaporkan baru-baru ini barangkali tiada masalah.
Yang bermasalahnya siapa?
Ya benar. Yang banyak masalahnya ialah rumah kamu. Dan rumah saya.
Maka, amatlah wajar korona diterima kasihkan. Kerana korona membogel-bogelkan realiti sebenar sistem kelas yang sudah wujud sekian lama. Kita sahaja yang buat-buat tak nampak!
Korona adalah wabak yang tidak mengenal suku, ras dan agama. Kaya atau miskin, B40 atau elitis, ada korona kisah?
Tetapi tuan puan sudah saksikan sendiri bagaimana layanan antara dua kelas saat berlangsungnya pandemik.
Di awal krisis, kita menganggap pekerja asing, sama ada halal atau haram statusnya dianggap sebagai ancaman. Ia terbawa-bawa sehingga semangat kebangsaan yang tidak kena gaya.
Masih ingat isu Rohingya di awal pandemik? Masih ingat beratus-ratus imigran digari di kawasan tempat tinggal di Kuala Lumpur seolah mereka kriminal? Masih ingat suara-suara keras mahu sempadan negara ditutup tatkala sebuah bot buruk padat dengan umat pelarian yang penat terapung-apung di perairan mengemis perlindungan?
Sekiranya yang mengalami tragedi itu ialah golongan ekspatriat, apakah layanan yang sama kita berikan?
Kita gagal seawal ajaran pertama. Korona kemudian, mengasak lagi.
Dengan kadar pengangguran tertinggi sejak 30 tahun lalu, lebih 600 ribu rakyat kehilangan pekerjaan, 75 % rakyat Malaysia yang mempunyai kurang dari RM1,000 simpanan kecemasan dan 32% rakyat cuma mampu bertahan selama seminggu jika pendapatan terjejas — apakah mesej sebenar wabak celaka ini?
Apakah kelas pemerintah, ahli politik tangkas bertindak?
Dari awal tahun lalu, bermula dengan Langkah Sheraton, dengan turun naik turun naik tangga istana, PRN Sabah yang maha bebal, layanan dua darjat menteri tidak kuarantin sehinggalah menteri kuat main Twitter jatuh tergolek naik basikal dek lubang jalan raya, korona sudah membuktikan betapa jahanamnya perbezaan antara kelas pemerintah dan kelas yang diperintah.
Pernahkah kita terdengar kisah cucu menteri tiada laptop belajar di rumah? Pernahkah kita terdengar menteri dan keluarganya jatuh miskin sejak wabak melanda? Ada kita diberitahu makanan di dapur rumah menteri telah dicatu seperti keluarga berpendapatan dari RM5,000 sebulan sejak dua, tiga tahun lalu?
Itu sebabnya saya katakan sejak tadi, antara rumah dia dan rumah kita ada perbezaan jelas yang tidak pernah berkunjung siap.
Sedang cikgu bergelut menyediakan kelas talian, saat ibu bapa resah mencari kepingan wang kertas untuk ditukarkan kepada handphone/laptop untuk pembelajaran anak, saat anak-anak menjalani keperitan, perutnya kembung diisi mi segera bukannya makanan berkhasiat, siapa yang asyik terbeban? Siapa yang tertinggal, dipinggirkan?
Pemilik syarikat korporasi gergasi? CEO? Jutawan? Hartawan?
Barangkali sebilangan anak orang kaya mendengus. Kononnya kerajaan melebihkan bantuan kepada rakyat marhaen sedangkan mereka pemain industri yang menggerakkan ekonomi.
Tetapi apakah makanan di rumah mereka, ayam, sayur-sayuran, susu, stik ghaib tiba-tiba dari pinggan? Apakah bil-bil rumah menimbun, duit simpanan menyurut dan mula merasakan RM50 nilainya sebesar alam semesta?
Sudah semestinya kita sedang menunggu tibanya hari di mana vaksin tersedia. Kita berdoa panjang agar korona segera lenyap. Segalanya mengenai harapan untuk pulih dan segera menjalani hidup sekurang-kurangnya setahun sebelum ketibaan korona durjana.
Barang harus diingat; vaksin atau ubat super mungkin boleh menumpaskan korona.
Tetapi persoalannya;
Apakah kita juga bersedia untuk mencipta dunia yang lebih adil atau segala-galanya yang telah dibogelkan korona selama krisis ini tidak bererti apa-apa?
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.