Masalah rasuah di negara kita kelihatan semakin parah dan sukar dikawal. Umpama pandemik, virus rasuah ini terus menular dalam kalangan masyarakat kita. Jika keadaaan ini berterusan, ianya boleh menghancurkan negara dan juga rakyat. Justeru, tatkala semua pihak sibuk mendapatkan vaksin untuk wabak Covid-19, eloklah kita turut memberi tumpuan serius untuk menghasilkan vaksin antirasuah untuk kegunaan rakyat kita yang “berpenyakit” rasuah.
Ironinya, setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai salah laku dan penyelewengan yang cukup mengejutkan. Misalnya, tatkala belum reda isu rasuah di beberapa buah agensi penguatkuasaan, kita dikejutkan pula dengan pendedahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di kaunter hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ironinya, kepincangan ini didedahkan oleh Ketua Pengarah JPJ sendiri. Pada masa yang sama negara juga dikejutkan dengan isu kartel daging haram yang menyalahguna logo halal dan menipu suluruh umat Islam negara ini. Insiden ini juga membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa. Maka kejadian seperti ini menunjukkan masalah rasuah di negara kita semakin parah, serius dan kelihatan begitu sukar untuk ditangani mahupun dikawal. Ringkasnya, sudah pun menjadi pandemik yang serius.
Hakikatnya, walaupun pelbagai ikhtiar dan inisiatif telah dilaksanakan namun hasilnya tidak seperti yang kita mahukan. Apa yang pasti, yang memberi terus menghulurkan habuan untuk mencapai pelbagai hasrat mereka, manakala yang menerima pula terus menadah dan mengambil kesempatan di atas jawatan, kuasa dan kedudukan yang telah diberikan kepada mereka. Akibatnya, rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa terus bermaharajalela sekali gus merosakkan sistem pentadbiran di negara kita. Jelas sekali ubat atau vaksin yang kita gunakan selama ini untuk mengubati virus rasuah dalam kalangan anggota masyarakat kita yang tamak dan mengkhianati amanah rakyat tidak berkesan seperti yang kita mahukan.
Ironinya faktor gaji rendah dan tidak mencukupi bukan lagi suatu alasan yang rasional dan boleh diterimapakai. Hakikatnya rasuah bukan lagi norma baharu dalam masyarakat kita sebaliknya sudah menjadi amalan rutin yang tidak boleh disorokkan lagi kerana ianya tidak kelihatan sebagai perbuatan yang salah mahupun berdosa. Ringkasnya, rasuah sudah mula dianggap sebagai perkara biasa dan tidak ada apa yang perlu dihairankan, dimalukan atau ditakuti untuk melakukannya.
Sedar atau tidak kita semakin beralih ke arah menjadi sebuah masyarakat yang imun atau mangli dengan rasuah. Fenomena ini bakal merosakkan sistem pentadbiran kerajaan, menggadai nilai-nilai murni dalam masyarakat dan juga menghancurkan masa hadapan rakyat dan negara secara perlahan-lahan. Justeru perlu ada tindakan bersepadu secara menyeluruh di semua peringkat lapisan masyarakat jika kita mahu menangani masalah defisit integriti ini.
Antaranya, semua agensi awam terutamanya agensi penguatkuasaan perlu dibersihkan terlebih dahulu. Tuntasnya, laksanakan proses pemutihan dengan segera dengan mencari, mengenalpasti dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota yang terlibat. Jangan kompromi dalam soal mengenakan hukuman undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya atas kesalahan mereka. Dalam konteks ini satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah hukuman yang sedia ada. Tidak keterlaluan untuk dikatakan hukuman yang sedia ada masih belum mampu menakutkan dan mencegah seseorang individu itu terlibat dengan rasuah. Jadi eloklah semak dan menambahbaik hukuman tersebut agar lebih keras dan menggerunkan semua pihak. Apakah hukuman mati boleh menjadi vaksin yang terbaik dan berkesan?
Setiap agensi penguatkuasaan juga wajib melaksanakan proses saring, pilih dan tempatkan pegawai yang benar-benar ada integriti yang tinggi di semua lokasi yang sensitif dan berpotensi untuk berlakunya elemen salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Di samping itu proses penempatan dan pertukaran pegawai dan anggota dari tempat sensitif juga wajar dikerapkan. Justeru dicadangkan perlu ada sebuah jawatankuasa khas yang bebas untuk melakukan proses pemilihan dan penempatan tersebut.
Dalam pada itu, setiap agensi juga perlu kerap melaksanakan program pendidikan dan pencegahan untuk mewujudkan kesedaran dan peringatan dalam kalangan warga kerja secara berterusan. Janganlah ada kes baru kita kelam kabut, sebaliknya program pendidikan kesedaran perlu menjadi amalan rutin terutamanya dari segi didikan rohani.
Pada masa yang sama jangan juga kita lupa jika tiada penawaran maka tidak akan ada permintaan. Justeru, mana-mana individu yang memberi rasuah atau menawarkan sebarang bentuk habuan dengan niat yang tidak betul juga perlu dikenakan hukuman yang lebih keras kerana mereka yang memulakannya dan merosakkan semuanya. Apakah menjatuhkan hukuman mati kepada pemberi rasuah boleh menjadi vaksin yang mujarab untuk menghentikan penularan rasuah di negara ini?
Kita juga berharap agar individu yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan gejala rasuah diberi jaminan dari segi keselamatan dan masa hadapannya. Kita tidak mahu mereka ini pula menjadi sasaran dan mangsa keadaan kelak. Jika penjawat awam, di samping diberi insentif seperti dijanjikan, naikkan pangkat mereka dan angkat serta iktiraf mereka sebagai ikon integriti jabatan tersebut. Biar mereka menjadi suri teladan dan penyuntik motivasi kepada rakan-rakan mereka yang lain.
Sesungguhnya rasuah membabitkan sikap dan tingkah laku seorang individu. Justeru ianya tidak boleh berubah dalam sekelip mata atau diubah oleh orang lain begitu saja. Maka, untuk melahirkan generasi masa hadapan yang celik rasuah dan menjunjung integriti, kita perlu fokus kepada anak-anak yang berada di bangku sekolah sekarang. Mereka ini perlu dididik dan diasuh untuk membenci rasuah umpama melentur buluh biarlah dari rebungnya dan ianya membabitkan peranan dan tanggungjawab para ibu bapa dan juga guru yang sentiasa mendampingi anak-anak.
Tuntasnya, masalah rasuah cukup mencemaskan. Kita perlu bertindak dengan lebih agresif dengan vaksin yang mujarab sebelum ianya menghancurkan semuanya. Apa yang penting ialah, semua pihak perlu sanggup dan sedia memasang tekad dan iltizam secara serius untuk membudayakan amalan membenci rasuah. Semoga kita dapat menghasilkan vaksin antirasuah yang dapat mengawal dan memutuskan rantaian penularan pandemik rasuah di negara kita.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).