Kadang-kadang pernah atau tidak kita terfikir mengapa mesej-mesej kesederhanaan kurang disambut baik? Sebaliknya, mesej-mesej yang menyebut atau menyeru orang ramai bagi menentang atau bersikap tegas lebih mudah untuk diterima serta disokong dengan sepenuh hati. Apakah kewajaran dan rasional di sebalik perkara ini?
Misalnya, kempen kurangkan gula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak sekian lama. Mesejnya mudah sekali mengajak orang ramai bagi mengurangkan gula dalam makanan dan minuman namun hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Bayangkan pada hari ini, 3.9 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis serta 1 daripada 5 dewasa di Malaysia menghidapi penyakit kencing manis.
Cuba bandingkan dengan kempen-kempen yang mengesyorkan mesej-mesej yang lebih berat serta ‘ekstrem’ dari segi konteks penggunaan bahasanya seperti kempen boikot barangan Israel, boikot barang Cina dan lain-lain lagi. Kempen-kempen seperti ini berupaya untuk meraih sokongan yang begitu hebat serta mencapai matlamat penganjurannya.
Apakah rahsia di sebalik pembuktian ini? Jawapannya ialah emosi. Emosi manusia tidak mudah tertarik dengan mesej-mesej yang bersifat sederhana kerana seperti makanan, rasanya tawar walaupun ianya lebih menyihatkan. Bayangkan kari kepala ikan kurang pekat dan tawar rasanya, sebelum hari itu berakhir tauke kedai sudah boleh tutup kedai. Begitu jugalah emosi manusia, lebih tertarik kepada mesej-mesej yang menduga dan menyemarakkan emosi dan jiwa mereka walaupun mesej yang dibawa itu besar kemungkinannya tidak benar.
Inilah sebenarnya faktor yang sentiasa mendominasi strategi-strategi politik dalam kalangan politikus-politikus untuk memastikan sokongan memihak kepada mereka. Ini juga strategi bagi membentuk persepsi yang berpihak kepada mereka dan merugikan lawan mereka.
Mari kita lihat perihal ini melalui latar belakang politik Malaysia sejak sekian lama. Sewaktu Tanah Melayu melalui proses mencapai kemerdekaan, Tun Onn Jaafar mengesyorkan agar keahlian UMNO dibuka kepada orang-orang bukan Melayu, syor yang diajukan oleh Tun Onn Jaafar tidak disambut dengan baik oleh ramai ahli UMNO terutama sekali golongan konservatif Melayu. Cubalah teka siapakah kepala bagi golongan konservatif Melayu pada ketika itu? Ya, Tunku Abdul Rahman.
Akhirnya, keahlian UMNO tidak dibuka kepada bukan Melayu dan seterusnya Tun Onn Jaafar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan Parti Negara yang tidak mendapat sambutan oleh penduduk Malaya pada ketika itu. Akhirnya, Tun Onn Jaafar langsung tidak dapat menjadi Perdana Menteri Malaya manakala Tunku Abdul Rahman pula berjaya menjadi Perdana Menteri Malaya dan Malaysia sehingga tahun 1969.
Tunku Abdul Rahman ini jika di mata kebanyakan penganalisis politik sebagai seorang yang liberal serta mendukung tinggi kepelbagaian kaum di Malaysia. Justeru, tentangan beliau terhadap pembukaan keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu sebelum merdeka bagaikan suatu perkara yang janggal sebenarnya. Mungkin juga hanya suatu langkah yang direncana beliau bagi berada pada puncak kuasa. Ya benar, tuan-tuan dan puan-puan. Politik ini sebuah bidang yang pada sesetengah waktu menyaksikan seseorang itu bertindak secara bertentangan dengan prinsip hidupnya demi kepentingan yang lebih utama.
Tunku Abdul Rahman merupakan seorang Muslim, justeru itu mungkin faktor kifarah datang menduganya pada 1969. Selepas berlangsungnya kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Tunku Abdul Rahman ditentang oleh golongan konservatif Melayu dalam UMNO yang antaranya adalah seperti Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir yang masih lagi muda pada ketika itu menyifatkan Tunku Abdul Rahman begitu memanjakan orang Cina sehinggakan orang Melayu tenggelam di tanah air mereka sendiri. Akibat daripada tekanan golongan yang lebih keras/ekstrem ini, maka Tunku Abdul Rahman pun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sekurang-kurangnya Tunku Abdul Rahman masih lagi boleh ditakrifkan sebagai Perdana Menteri yang gembira dalam kata beliau sendiri.
Selepas era itu, era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menyaksikan pertembungan antara golongan yang sederhana dan konservatif/ekstrem. Pada sekitar tahun 70-an sebenarnya seluruh dunia sedang melalui transisi yang pelbagai. Golongan hippies menjelma, dunia fesyen dan seni begitu dahsyat serta pemurah dengan warna-warni psikadeliknya dan tak lupa juga Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Pada zaman ini, Tun Ghazali Shafie merupakan Menteri dalam Negeri Malaysia dan beliau sedang merancang bagi membendung pengaruh komunis di Malaysia.
Antara orang yang ingin sekali dijatuhkan oleh Tun Ghazali Shafie bagi membendung pengaruh komunis di Malaysia pada era itu ialah Tun Dr Mahathir. Tun Dr Mahathir disifatkan mempunyai hubungan dengan komunis melalui setiausaha politiknya sejak tahun 1974 iaitu Siddiq Mohamad Ghouse yang ditangkap pada tahun 1981 iaitu tiga hari sebelum pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4.
Selanjutnya, pada sekitar tahun 70-an Revolusi Islam Iran bukan sahaja mengubah landskap politik Iran namun memberikan kesan kepada negara-negara Islam di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Persoalan sama ada Malaysia ini sebuah negara Islam atau tidak juga antara perkara yang mencerminkan perbincangan antara laras sederhana dan laras yang lebih tebal nilai konservatifnya. Perkara ini boleh dilihat melalui parti PAS.
Sebelum Revolusi Iran berlangsung, PAS tidak lebih hanya sebagai sebuah parti Melayu yang bersaing dengan UMNO namun disuntik dengan elemen Islam dari Timur Tengah yang dibezakan dengan UMNO yang lebih dilihat mewarisi budaya dan ciri-ciri penjajah Inggeris. Disebabkan oleh faktor ini, PAS masih lagi dapat bekerjasama bersama UMNO melalui penubuhan Barisan Nasional pada awal tahun 70-an. Selepas PAS bercerai dengan UMNO serta seiring dengan Revolusi Iran pada era tersebut, menyaksikan PAS mula berubah menjadi sebuah parti politik yang memilih laras keagamaan yang lebih menebal. Dengan penolakan Asri Muda sebagai Presiden PAS pada era itu, menyaksikan bermulanya kewujudan identiti PAS sebagai sebuah parti politik yang kental dengan nilai konservatif agama.
Berdasarkan tiga perubahan struktur politik pada era 50-an sehingga 70-an yang diperincikan, mungkin para pembaca sudah dapat meneka apakah sebenarnya mesej disebalik penulisan ini. Persoalan pertama yang boleh diperakui sudah tentunya melibatkan perubahan spektrum politik Malaysia ke arah yang lebih kental lekuk konservatifnya.
Bayangkan sewaktu tok nyang, nek long dan tok busu kita masih lagi muda dah sihat walafiat iaitu sebelum merdekanya Tanah Melayu, hala tuju negara untuk 50 tahun yang berikutnya sudah melibatkan pertembungan antara dua lekuk pemahaman politik yang berbeza sama ada lekuk sederhana ataupun lekuk konservatif yang kental. Dengan merujuk tiga suasana politik Malaysia pada era 50-an sehingga 70-an juga boleh dirumuskan bahawa perubahan suasana politik di negara ini banyak berganjak serta cenderung kepada idea-idea yang jelas berada pada paksi yang lebih kental nilai konservatifnya. Sememangnya boleh ditafsirkan bahawa lebih kental, lebih sedap? Ataupun sesuatu yang begitu mudah menggelorakan jiwa dan perasaan lebih mudah untuk diterima dan menjadi irama yang begitu rancak namun mengkhayalkan.
Sehubungan dengan itu, pasti kita kian musykil memikirkan apa lagi pilihan yang boleh kita pilih bagi memastikan ketaksuban terhadap nilai yang tebal elemen konservatifnya? Persoalan kedua yang dapat kita rumuskan sudah tentu melibatkan kemunculan lekuk politik yang lebih sederhana ataupun lebih liberal/progresif nilainya.
Dinamik politik Malaysia yang banyak berpusatkan kepada nilai konservatif sedikit sebanyak diredakan oleh nilai-nilai yang progresif serta liberal yang wujud pada zaman yang sama lahirnya letusan amalan politik konservatif yang lebih kental.
Di saat wujudnya pengaruh konservatif agama daripada PAS pada sekitar tahun 80-an dan awal 90-an, pengaruh ini dibendung dengan perubahan pemikiran politik Tun Dr Mahathir yang merangka Wawasan 2020 serta terkandungnya idea Bangsa Malaysia. Mungkin pada tahun 60-an, jika idea Bangsa Malaysia ini terpacul keluar daripada mulut Tun Dr Mahathir mungkin sekali kita semua akan terkebil-kebil memikirkan kebenarannya namun idea ini mudah sekali dihadam oleh rakyat pada era 90-an.
Namun yang begitu, pada permulaan abad ke-21, Tun Dr Mahathir pula yang beria-ia mencanangkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Jelas sekali pada waktu itu, beliau dan UMNO jelas terkesan dengan kemampuan PAS menjadi pembangkang terbesar di Dewan Rakyat serta menguasai negeri Kelantan dan Terengganu sesudah PRU 1999 yang menyaksikan berlakunya penolakan orang Melayu terhadap UMNO. Penolakan orang Melayu ini berpunca daripada saga pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 oleh Tun Dr Mahathir.
Kesinambungan daripada pemecatan Anwar Ibrahim ini juga menyaksikan munculnya perubahan struktur politik Malaysia ke arah yang lekuk yang lebih progresif. Pada penghujung 90-an menjadi saksi kebangkitan rakyat dengan gerakan REFORMASI yang menyaksikan ratusan baik ribuan rakyat turun ke jalan membantah kerajaan yang memerintah pada waktu itu. Sejarah ini menjadi bukti bahawa idea-idea progresif yang lebih kental nilai liberal dan demokratiknya boleh menjadi agen perubahan atau paling tidak pun ramuan yang mengimbangkan semula dinamik politik Malaysia.
Bergantung di mana kita duduk dalam kerencaman politik Malaysia, ada pada sesetengah ketika kita percaya negara ini penuh dengan pengaruh liberal dan progresif yang dikatakan mampu menggugat nilai, warisan serta status quo yang sudah wujud sejak sekian lama. Namun pada sesetengah ketika pula optik kita menyiarkan betapa lekuk konservatif begitu menebal dalam setiap aspek politik Malaysia sehingga banyak lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikannya.
Justeru itu, sebagai penganalisis mahupun rakyat Malaysia kebanyakan, apa sahaja penilaian kita perlu berada di titik tengah di antara pertembungan kedua-dua ideologi yang dimaksudkan. Hanya dengan berada pada titik tengah ini sahaja barulah kita akan dapat memikirkan dan menilai dengan lebih adil apakah sebenarnya perancangan yang sedang cuba dirangka oleh politikus-politikus di Malaysia ini.
Walaupun saya amat menggalakkan kita semua untuk berada di titik tengah pada kebanyakan masa, namun pada sesetengah ketika jalan perjuangan hanya boleh digerakkan jika kita semua berganjak sedikit ke kiri atau sedikit ke kanan jika masa dan keadaan memerlukan kita untuk bertindak sedemikian rupa. Mengapa begini? Mudah sekali.
Contoh pada hari ini, jurang kekayaan antara miskin dan kaya di serata dunia kian melebar dan menjerut leher setiap rakyat yang berada pada kelas ekonomi terbawah.Sehubungan dengan itu, dasar-dasar awam yang bersifat lebih sosialis perlu diberikan keutamaan bagi menjadi pengimbang terhadap barah yang telah jelas kelihatan sejak wabak pandemik Covid-19 mula menjadi igauan setiap insan di seluruh dunia.
Akhir sekali, perubahan dinamik politik ini sudah pasti menjadi kenyataan apabila zaman turut berubah. Namun yang demikian, jangan kita benarkan perubahan ini direncana oleh ‘a few elites’ namun biarlah perubahan itu terjadi disebabkan oleh kesedaran marhaen yang ingin membina sebuah dunia yang lebih untuk semua orang diami. Apa sekalipun yang telah dilabunkan, mungkin mudah sekali untuk membicarakan tentang perubahan yang ideal jika kita semua ini sudah cukup serba-serbinya namun nasib kita tak pernah sama. Mungkin akhirnya lebih kental nyata lebih sedap?

Shahrul Shahabudin seorang penganut bola sepak juga pencinta politik, falsafah & muzik-muzik punk serta bunyian-bunyian nusantara yang nerd. Sering berkicauan di Twitter.