Jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan pada 13 Julai 2021 adalah 11,079 kes. Ia adaah catatan kes harian paling tinggi sejak wabak ini melanda Malaysia!
Kes kematian pula adalah sebanyak 125 kes. Juga antara catatan kematian harian yang tertinggi. Angka ini membawa jumlah mereka yang terkorban akibat Covid-19 mencecah 6,385 orang.
Semua ini berlaku walaupun Malaysia kini berada dalam keadaan Darurat yang kononnya diproklamasikan untuk membandung pandemik ini. Namun apa yang dilihat berlaku sekarang ialah sebaliknya. Jumlah jangkitan terus mendadak, rakyat yang nazak semakin ramai dan kematian kini mencecah tiga angka hampir setiap hari.
Lantaran, sistem kesihatan negara kini berada pada tahap kritikal. Hsopital sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 yang menderu datang tidak putus-putus. Para petugas barisan hadapan kini letih dan merana akibat serangan bertalu Covid-19 yang langsung tidak memberi mereka ruang untuk berehat menarik nafas dan mengumpul sisa tenaga yang mungkin masih ada.
Beberapa gambar dan video yang tular tentang pesakit bersesak di Jabatan Kecemasan, beramai-ramai berkongsi tabung oksigen yang terhad, bayi-bayi baru lahir yang penuh di dalam NICU, imej pesakit yang baring berlapikkan kanvas di lantai hospital dan longgokan jenazah di bilik mayat adalah bukti jelas dan nyata tentang krisis yang kita hadapi kini.
Syukur, di sebalik imej hitam ini rakyat Malaysia tidak berdiam diri. Sebaliknya masing-masing cuba membantu mengikut kemampuan sendiri. Ada yang dengan sekecil-kecil menghulur sumbangan derma walau berapa pun yang ada. Ada juga yang sanggup datang sendiri menyerahkan peralatan perubatan seperti menghantar tong oksigen dan ada pula yang berusaha hingga sampai membelikan kontena untuk dijadikan tempat menyimpan jenazah!
Selepas kecoh dan tular gambar serta video yang menunjukkan sistem kesihatan negara di ambang keruntuhan, semalam Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan dilaporkan turun padang melawat hospital. Namun ada isu yang timbul berikutan lawatan tersebut. Tiba-tiba semua keadaan di hospital adalah terkawal dan teratur. Tidak ada lagi kesesakan melampau seperti yang tular sebelum ini. Semuanya indah belaka untuk menteri tengok kemudian tunjuk isyarat bagus kepada media dan rakyat.
Tetapi, sumber-sumber dari petugas barisan hadapan, foot soldier yang bertarung melaporkan hal sebaliknya. Dakwaan mereka ada usaha-usaha oleh pihak pentadbiran hospital untuk mengaburi mata pemerintah dari melihat kepincangan yang berlaku. Gambar dan video tular sebelum ini yang memperlihatkan wajah sebenar sistem kesihatan kita di ambang keruntuhan kini telah ‘dipadamkan’ bagi menonjolkan imej ‘buat kerja’ dan keadaan terkawal di hospital.
Apabila berlaku perkara sebegini, membuatkan kita bertanya apalah nasib kita dapat penjawat awam seperti pentadbir hospital yang bodoh, penakut dan lebih sayangkan jawatan dari mendedahkan perkara sebenar? Apalah nasib kita pula dapat menteri yang tidak pernah merasai denyut nadi rakyat yang sudah nazak akibat asyik disogokkan dengan kisah-kisah indah belaka?
Ini bukan sembarangan cakap. Buktinya jelas. Sebaik sahaja selesai lawatan turun padang ke hospital, Menteri Kesihatan sendiri memuatnaik gambar di media sosial dengan ungkapan menyatakan bahawa apa yang tular sebelum ini hanyalah aksi lagak ‘ngeri’ petugas kesihatan yang telah menimbulkan panik di kalangan rakyat. Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk menyemak sebelum sebar apa-apa sahaja gambar, video dan berita yang diterima melibatkan sistem kesihatan negara yang di tahap kritikal.
FINE. Kalau betul kita mahu ikut seperti apa yang didakwa Menteri Kesihatan, maka tidak perlulah lagi rakyat merasa risau dengan penularan Covid-19. Tidak perlu juga untuk kita prihatin dan ambil berat keadaan sistem kesihatan dan nasib petugas barisan hadapan. Kerana seperti dakwaan Menteri Kesihatan, semuanya okey. Ya keadaan semua terkawal, hospital tidak sesak, tidak ada pesakit yang terpaksa berkongsi oksigen atau terlantar berlapik kanvas di atas lantai. Juga tiada jenazah yang bertimbun sampai perlukan kontena untuk dijadikan tempat menyimpan mayat.
Kita semua rakyat Malaysia pun tidak perlulah sibuk mahu menderma atau datang memberi sumbangan bantuan peralatan kepada pihak hospital. Abaikan NGO yang merayu derma untuk tabung kecemasan hospital. Abaikan juga rintihan petugas barisan hadapan seperti doktor atau jururawat kerana rintihan mereka tiada asasnya bila Menteri Kesihatan mendakwa semuanya okey. Tidak perlu kita simpati kerana apa yang tular itu hanya sekadar lagak negeri sahaja.
Pendek kata, lantak mampus hospital dan petugas barisan hadapan, tidak perlu kita ambil tahu keadaan dan nasib mereka.
Tetapi adakah ini yang perlu kita, sebagai rakyat lakukan? Mengabaikan petugas barisan hadapan dan hospital yang kini sangat terjejas akibat penularan mendadak Covid-19? Adakah kita mahu terpedaya dengan wayang pentadbiran hospital yang kerana mahu menjaga jawatan, mempersembahkan yang indah belaka kepada pihak pemerintah? Adakah kita mahu terikut dengan kebodohan dan kealpaan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan yang lebih sanggup berpura-pura agar kerajaan ini tidak dilihat sebagai kerajaan gagal?
Jawapannya adalah tidak, walaupun mungkin jauh di sudut hati kita berdendam dan mahu memulangkan paku buah keras kepada menteri-menteri buta tuli tadi. Kita, sebagai rakyat tahu runtuhnya sistem kesihatan negara dan tumbangnya petugas barisan hadapan bermakna malapetaka besar buat Malaysia. Kita, rakyat biasa tiada pilihan lain. Baik buruk negara ini kita juga yang perlu hadapi.
Biarkan menteri dengan sandiwara dan kepuraan mereka bahawa semuanya indah, baik dan terkawal. Kerana kita tahu, apa sahaja yang mereka cakap untuk menunjukkan mereka berjaya, hakikat yang sebenarnya ialah kerajaan ini ialah #KerajaanGagal.
Buktinya? Hari ini kes naik mendadak lagi dengan mencatatkan 11,618 kes.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.