Kemerdekaan, Kekuasaan Dan Kemiskinan

Mohamad Sobary seorang kritikus Indonesia pernah berpesan;

“Kita tidak boleh retak. Jika ada kekuatan yang bermaksud membikin keretakan itu menjadi lebih parah, apa pun kepentingannya, kita lawan. Kata lawan ini sudah menjadi watak kita semenjak kita berjuang untuk meraih kemerdekaan.”

Bulan ini, kita sedang mengenang kembali detik-detik di mana kata laungan “merdeka” pertama kali diucapkan. Ia cukup meremangkan bulu roma kerana kata keramat itu umpama mengangkat bebanan yang besar pada setiap batang tubuh masyarakat ketika itu. Malah tidak dapat dibayangkan apa yang bakal terjadi hari ini sekiranya perkataan itu tidak diucapkan 63 tahun dahulu.

Merdeka itu bererti kebebasan, dan untuk memperolehi hal itu bukanlah sesuatu yang mudah. Dari Dol Said hingga ke Tok Janggut, dari Burhanudin Helmy sehinggalah ke Ahmad Boestamam semuanya punya cerita derita yang tersendiri sewaktu menuntut kebebasan.

Tetapi, setiap kali tiba hari kebebasan, pasti soalan siapa lebih “patriotik dan cintakan negara” akan mucul. Seperti yang sempat dilihat dan didengar dari paparan berita. Dari tontonan itu saya sedar satu perkara sebahagian yang terlibat dengan kuasa atau punya autoriti masih meletakkan erti juga apresiasi kemerdekaan semata-mata pada rakyat bawah.

Bermaksud ada sebahagian elit (termasuk elit politik) yang menganggap bahawa rakyat bawah ini semakin hari semakin kurang rasa cinta mereka pada negara, semakin kurang kesedaran politik dan mula tidak menghargai erti perjuangan dan pengorbanan terutama sekali sewaktu menuntut kemerdekaan.

Jadi mereka berdiri megah di dataran sambil mengedarkan bendera lalu menganggap bahawa tugas mereka adalah memberi kesedaran pada rakyat bawah erti kemerdekaan, erti sayang akan negara yang nampaknya semakin dilupakan dari sudut kefahaman mereka.

Ia umpama satu isyarat top to bottom yang di atas beranggapan bahawa mereka yang paling benar jiwa merdekanya, yang paling bawah paling teruk jiwa merdekanya dan seharusnya diperbetulkan.

Saya pula berfikiran sebaliknya, saya percaya rakyat bawah yang duduk dalam negara ini masih sayang akan negara mereka, cinta malah menjulang negara. Cuma kadangkala mungkin mereka sedikit keliru, keliru kerana kerap kali kuasa itu disalahgunakan ditambah dengan percaturan bermain sentimen jahat untuk meraih sokongan kedudukan telah merimaskan mereka.

Jarang sekali kita dengar dalam apa-apa media elit mengingatkan sesama elit supaya menyelami erti kemerdekaan yang sebenar, sayangkan negara dengan menolak kerosakan, korupsi, pecah amanah, tidak berintegriti, culas, jadong, bebal, rasis, ketuanan dan segala idea yang buruk lainnya yang langsung tidak menunjukan rasa sayang akan negara.

Mereka sendiri tidak menzahirkan maksud kemerdekaan, cinta akan negara dalam perbuatan mereka, itulah masalah sebenar. Benarlah seperti apa yang pernah ditulis oleh Syed Hussien Alatas;

“Masalah utama negara dunia ketiga itu ialah kempimpinan.”

Semua ini mengingatkan saya pada kata dari Tan Malaka;

“Apalah erti kemerdekaan sekiranya masyarakat masih hidup kelaparan.”

Merdeka itu ertinya bebas, secara fizikal ya tidak ada lagi orang mengacukan senapang  AK-47 di kepala kita, tetapi secara tidak fizikal itu harus kita perhatikan.

Bagaimana elit yang di atas itu mahu mengatakan kita sudah merdeka lalu mahu menuruti definisi merdeka mereka sedangkan masih banyak lagi manusia yang hidup dalam kelaparan, kemiskinan dan penderitaan di negara ini? Kelompok ini tidak bebas. Malah masih ada lagi yang tidur di kaki lima, di bawah jambatan kerana tidak mampu menyewa kediaman yang lebih selesa. Tidakkah itu tragik?

Selain kemiskinan materi, kemiskinan budi (akal) juga masih berleluasa dan semakin berkembang hari demi hari. Masih ada elit dan masyarakat yang cenderung kepada idea-idea yang rasis dan ketuanan semata-mata untuk mengabsahkan kuasa. Juga ada yang mendokong idea neo-liberal dan kapitalisme melampau semata-mata untuk keuntungan mereka. Belum lagi menghegemoni rakyat bawah dengan selera mereka yang buruk termasuk mempopularkan psikolgi feudal, nepotisme dan korupsi.

Kesemua idea itu memaksa masyarakat untuk tidak memikir secara kritis. Hidup dalam keadaan yang terpuruk dan hanya menuruti dan mendengar. Kebebasan apa yang boleh diperoleh sedangkan pemikiran saja masih terpuruk dan tercengkam.

Ketiga, kemiskinan moral atau sentimental nihilism menurut Cornell West, lihatlah bagaimana adanya pemimpin yang terang-terangan malah berbangga mempamerkan setiap kesalahan dan tindak tanduk mereka yang mencerminkan status dua darjat. Tidak ada langsung semangat egaliter yang dipamerkan malah seperti sebuah ugutan untuk memperlihatkan mereka punya kuasa dan boleh melakukan apa saja. Inilah dehumanisasi.

Kemiskinan moral ini paling sedih bila difikirkan. Malangnya ia tidak akan selesai hanya dengan mengedarkan bendera untuk rakyat bawah kononnya semata-mata untuk menunjukan sifat patriotik tetapi intinya kosong.

Apresiasi kemerdekaan itu sepatutnya datang dua hala dari  atas ke bawah, dari bawah ke atas. Saling hormat-menghormati, mengutamakan mereka yang memerlukan dan menajamkan keupayaan budi dan moral supaya masyarakat keseluruhannya sudah kuat untuk bertahan dan mandiri sekiranya ada lagi penjajahan dari luar yang akan masuk dan membarahi, bukannya diserang secara bertubi-tubi oleh orang yang kononnya dihormati.

Mengulang kembali apa yang pernah ditulis oleh Mohamad Sobary;

“Kita tidak boleh retak. Jika ada kekuatan yang bermaksud membikin keretakan itu menjadi lebih parah, apa pun kepentingannya, kita lawan. Kata lawan ini sudah menjadi watak kita semenjak kita berjuang untuk meraih kemerdekaan.”

Sepatutnya itulah tugas kita semua hari ini, memastikan tiada siapa yang meretakkan kita, meretakkan perpaduan, kesepaduan, keharmonian, kemanusiaan sesama kita atas dasar keuntungan mereka. Baik di luar mahupun di dalam harus dilawan, kita semua harus bebas, bebas dari kerosakan, dehumanisasi dan buta moral kerana itulah kemerdekaan.

Komen