DENIAL STATE hanya akan mengeruhkan keadaan. Berpura-pura okay tidak akan menyelesaikan masalah. Pemimpin perlu cari jalan bagaimana untuk menaikkan semangat anak-anak buah dan rawat spiritual dan fizikal mereka yang kini berada di tahap kritikal.
Ketua Pengarah Kesihatan pernah mengumumkan bahawa sistem kesihatan akan mengalami keruntuhan jika kes Covid-19 mencecah 13 ribu kes sehari. Tanpa kita sedari, kita telah mencatatkan angka rasmi tersebut. Mengikut penelitian, angka ini sebenarnya telah lama dicapai berdasarkan unjuran model ramalan Covid-19 di Malaysia. Tidak hairan, majoriti hospital di beberapa buah negeri telah pun mengalami ketepuan kritikal.
Wahai pihak atasan, apabila frontliner sudah terlampau kepenatan fizikal dan mental, maka:
- Pemikiran mereka sudah tidak tajam dan cenderung melakukan kesilapan dalam bekerja.
- Mereka akan mula mengabaikan aspek keselamatan diri. Akan berlaku breach in PPE protocol. Mereka sudah tidak kisah sama ada dijangkiti hingga mati. Mereka cuma fikir, biarlah penderitaan mereka tamat.
- Kepenatan di tempat kerja ditambah faktor toksik persekitaran pekerjaan boleh membawa kepada perbuatan ‘mencederakan diri sendiri’ sama ada dalam keadaan sedar atau di luar sedar. Contohnya pengambilan alkohol secara berlebihan, pemanduan berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan fatal dan lain-lain.
- Untuk yang masih teguh berjuang, mereka akan cuba sedaya upaya untuk terus berada di medan perang. Yang sudah tidak tahan, akan resign serta-merta.
- Yang kekal pula bukan bermaksud mereka berada dalam keadaan utuh, tetapi cuma menanti masa untuk mengalami kehancuran.
Disebabkan pandemik kini sudah di tahap tidak terkawal, sukar untuk kita berjuang sebenarnya. Memang ia fakta yang diketahui umum. Tetapi, perlu dicari jalan bagaimana untuk bertahan dan survive. Contohnya:
- Ambil sukarelawan dari kalangan first aider untuk ambil vital sign dan buat kerja-kerja sebagai pembantu frontliner di unit kritikal.
- Sistem rotasi staf dari wad atau kawasan tidak kritikal ke jabatan kritikal untuk memberi waktu kepada frontliner kepenatan recharge and heal. Boleh juga fikir solusi inter-state rotation.
- Centralised care unit: Maksudnya daripada bina unit-unit atau wad baru yang memerlukan pembahagian staf hingga menyebabkan kekurangan staf, lebih baik bina atau expand satu tempat sahaja supaya semua staf berada di tempat yang sama.
- Perkasakan hospital daerah dan alihkan semua kes bukan Covid-19 ke sana. Gunakan kedua-dua PCR dan RTK sebagai screening method serta stratifikasi risiko untuk mengenal pasti pesakit yang boleh dihantar ke zon hospital bersih.
- Pesakit tahap 1 dan 2 serta kes terpilih tahap 3 tidak memerlukan rawatan hospital. Perkasakan komuniti untuk menjaga mereka.
- Perkasakan hospital atau Covid-19 Assessment Centre (CAC) swasta.
- Yang ini paling penting tapi sengaja di letak paling bawah; pihak pimpinan mesti tunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada anak-anak buah. Ini bukan masa untuk menghukum. Jangan sangka bahawa ugutan anda untuk berhentikan mereka kerja atau laksanakan tindakan tatatertib akan berkesan. Dalam keadaan mereka yang sudah terdesak, apa-apa yang dilihat sebagai penindasan akan dibalas dengan penentangan dan destabilasi organisasi. So, treat your staff well.
Sebenarnya, banyak lagi idea-idea boleh dihasilkan jika semua orang atasan duduk semeja dan berbincang. Yang saya ketengahkan cuma idea kecil sahaja. Tapi, kita di Malaysia ada ramai pakar dalam pengurusan bencana dan krisis. Beri ruang kepada mereka untuk guna kepakaran mereka dan selamatkan negara kita dari krisis ini.
Tolong! Hari-hari saya rasa sayu mendengar luahan hati para frontliner yang sudah mula hendak gugur.
Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak atau Dr Jacknaim adalah seorang penulis, penggemar aktiviti lasak, pencinta kopi dan kini bertugas sebagai Emergency Medicine Fellowship Trainee di Hospital Lahad Datu, Sabah.