Keindahan Itu Satu Ciri Politik Yang Baik

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

John Ruskin merupakan salah seorang daripada reformis sosial Inggeris abad ke-19 yang mempunyai cita-cita dan bersemangat tinggi. Namun pada pandangan pertama, kita dapat melihat dia seperti seorang reformis yang mempunyai idea yang agak mustahil untuk direalisasikan. Apa yang difikirkan oleh Ruskin hanyalah terhadap kecantikan. Kecantikan ini menurut Ruskin telah terasing dari politik malahan telah dibuang dari kehidupan sebenar yang menyebabkan dunia menjadi tercemar, tidak adil malahan hodoh. Penekanan Ruskin pada kecantikan dan pemahamannya tentang peranannya dalam teori politik menjadikan dia seorang tokoh yang luar biasa.

Plato merupakan antara ahli falsafah yang terawal sekali membincangkan konsep keindahan dalam kehidupan. Plato pernah bertanya mengapa manusia suka akan benda yang cantik? Menurut Plato, benda-benda yang indah kita lihat itu membisikkan kepada kita kebenaran tentang kehidupan yang baik. Kita mendapati benda-benda ini cantik apabila kita berjumpa dengan kualiti-kualiti yang kita perlukan, kualiti-kualiti yang tidak ada dalam hidup kita seperti keharmonian, kelembutan, keseimbangan ketenangan dan kekuatan. Justeru, dapat disimpulkan bahawa benda-benda yang indah atau cantik ini mempunyai fungsi dan kegunaan untuk mendidik jiwa kita.

Begitulah idea tentang keindahan yang diketengahkan oleh Plato. Bertitik tolak dari kenyataan Plato tadi, terdapat beberapa persamaan dengan idea yang dibawa John Ruskin, tetapi mungkin Ruskin lebih menitikberatkan dalam hal ehwal politik.

Latar Belakang

Ruskin dilahirkan di London pada tahun 1819 dalam sebuah keluarga yang sangat kaya. Dia adalah seorang anak yang didedahkan dan didik untuk dikembangkan bakatnya dalam bidang seni dan sastera. Keluarga Ruskin telah mengambil keputusan untuk mendidik anak mereka dengan kaedah home tutor. Mereka bimbang sekiranya mereka menghantar anak mereka ke sekolah, maka rakan-rakanya yang lain akan mempengaruhi Ruskin untuk melakukan perkara yang tidak elok. Oleh itu, Ruskin banyak menghabiskan masanya bersendirian di taman rumahnya sambil melukis. Setiap tahun, semasa remaja dia banyak mengikut keluarganya untuk melancong ke Perancis, Switzerland dan Itali.

Semasa Ruskin muda, dia amat meminati kawasan pergunungan yang terdapat di Perancis, Namun, tempat yang mengubah secara total hidupnya adalah Venice. Kali pertama dia menjejakkan kaki di Venice ketika berusia 16 tahun. Venice adalah tempat persinggahan yang kerap dikunjungi setiap tahun ketika dia meningkat dewasa. Semasa di Venice, dia banyak menghabiskan masa melawat gereja, menaiki perahu dan melihat setiap lukisan yang ada di sana. Dia sangat gemar melukis reka bentuk bangunan di sana kerana binaannya yang terperinci dan kemas. Menurut Ruskin lagi, Venice adalah sebuah “syurga kepada segala bandar” dan dia mengisytiharkan “Doge’s Palace” sebagai bangunan pusat dunia kerana dia amat terpesona dengan kecantikan, martabat dan keindahan hasil ukiran dan pertukangannya.

Sekembalinya Ruskin ke England, dia dikejutkan dengan perbezaan antara kemegahan Venice dengan realiti kehidupan bandar British yang kotor. Ironinya, fenomena ini kelihatan biasa di sana. Walaupun banyak rungutan dan keluhan dari masyarakat setempat berkenaan dengan keadaan ini, tetapi pada akhirnya perkara ini hanya dibiarkan begitu sahaja dengan alasan bahawa keburukan itu merupakan satu fenomena yang tidak dapat dielakkan, walaupun kotor, itulah satu-satunya kawasan yang terbaik untuk diduduki. Dalam nada pesimisnya, bersyukur dengan apa yang ada.

Tetapi Ruskin mempunyai pemikiran dan pandangan yang berbeza dari orang lain, semakin banyak dia melihat perbezaan antara Venice dengan Britain moden, semakin hatinya seperti diremukkan. Dia tidak boleh menerima realiti yang berlaku, di satu tempat dengan satu usaha saja telah membuahkan hasil yang sangat menakjubkan di tempat lain pula walaupun mempunyai kuantiti pekerja yang sama, wang yang sama atau mungkin lebih, telah menghasilkan keputusan yang buruk dan merosakkan jiwa manusia. Mengapa manusia sangat teruk dalam penghasilan persekitaran yang selesa untuk diduduki? Mengapa dunia moden sangat terpisah daripada roh kesenian dan sangat buruk?

Pada awalnya, Ruskin memulakan kariernya sebagai seorang pengkritik seni, cita-citanya pula adalah untuk membuka mata para penontonnya mengenai kecantikan sesebuah lukisan dan bangunan. Tetapi pada pertengahan umurnya cita-citanya lebih terpandu dan matlamat yang utama mula dipentingkan. Dia sedar bahawa keburukan yang kebanyakan ada di Britain seperti kilang-kilang, jalan kereta api dan kawasan perumahan pekerja merupakan satu petunjuk yang sangat jelas kepada keruntuhan institusi, ideologi ekonomi yang kejam dan asas-asas moral yang buruk terhadap masyarakat.

Usaha untuk mengubah semua itu menjadi hasil kerja yang penting dalam hidup Ruskin. Dia telah menyerahkan seluruh kerjayanya kepada penentangan secara vokal terhadap isu yang mendasari prinsip kapitalisme moden. Dia turut menyerang pemaju-pemaju hartanah yang mementingkan keuntungan berbanding dengan cita rasa masyarakat. Selain itu, dia juga menghentam pihak industri yang merendahkan martabat pekerja-pekerjanya serta dia menyalahkan kaum borjuis viktoria kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap orang miskin, memendekkan masa rehat mereka serta memusnahkan semangat mereka.

Ruskin menghabiskan banyak masa untuk menyampaikan syarahannya ke seluruh bahagian Britain. Selain berhujah, Ruskin juga banyak menggunakan kaedah-kaedah praktikal. Ini dapat dibuktikan ketika ayahnya meninggal dunia pada tahun 1871. Dia mewarisi harta yang agak banyak, dengan harta itu dia telah membuat satu keputusan untuk menubuhkan sebuah perniagaan yang dinamakan sebagai “The Guild of George”. Perusahaan ini ditubuhkan kerana Ruskin terpengaruh dengan “sistem kesatuan” zaman pertengahan yang berjaya menjadikan semua pekerja berada dalam keadaan yang tersusun rapi dengan menawarkan keselamatan bekerja, juga memartabatkan mereka dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Guild Ruskin ini adalah usaha untuk menyusun semula kehidupan berekonomi sepanjang garisan pra-kapitalis.

Ruskin juga cuba untuk membangunkan ladang yang boleh membekalkan bahan mentah yang baik dan tidak tercemar. Dia juga membina sebuah bengkel yang menghasilkan kapas dan pakaian-pakaian daripada kain linen. Dia amat menggalakkan peniaga untuk beralih kepada sebuah perniagaan yang menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan dalam masa yang sama mampu dimiliki oleh orang ramai. Jenis perniagaan itu termasuklah peralatan tembikar, alatan dapur dan juga perabot. Dia juga mahukan perusahaan yang dibina ini menjadi pemaju hartanah yang bukan semata-mata mahu mengutip keuntungan kerana dia percaya ia akan menjejaskan ‘kecantikan’.

Selain daripada memindahkan ke semua hartanya ke dalam perusahaan ini, dia juga menggalakkan orang-orang kaya untuk menyumbang hasil kekayaan mereka ke atas projek ini.

Usaha Ruskin ini dilihat sangat berjaya kerana banyak syarikat sudi menyumbangkan keuntungan mereka untuk projek ini. Banyak perusahaan dapat dikembangkan dan dibangunkan melalui sumbangan yang diberikan oleh orang-orang kaya. Seorang daripada anak muridnya iaitu William Morris berjaya membangunkan syarikat perabot dan hiasan dalaman yang berjaya dengan nama William Morris & Son.

Untuk mengubah sistem kapitalis ini bukannya mudah. Disebabkan itu Ruskin tidak melaksanakan perkara ini secara sendirian. Dia berpendapat bahawa orang yang mampu berfikir dengan baik bukanlah seorang yang bijak dalam mengubah sistem. Mereka tidak pakar dalam mengendalikan akaun, mereka tidak berminat dengan mesyuarat dan kerana karenah birokrasi yang melecehkan. Disebabkan itulah dunia ini tidak berubah sebanyak mana yang sepatutnya. Namun begitu, Ruskin merupakan salah seorang daripada seorang aktivis pemikir yang menjadi inspirasi terhadap masyarakat bukan sahaja sebagai cerminan kepada dunia malahan pengubah haluan kepada keindahan dan hikmah.

Mengubah Generasi Muda

Pada pertengahan tahun 1870an, Ruskin bertugas sebagai seorang profesor di Oxford. Ketika itu, fikiran Ruskin agak terganggu kerana pelajar-pelajarnya tidak memahami konsep dan keseronokan dalam pekerjaan. Pelajar-pelajar ini banyak menghabiskan masa mereka untuk ke parti-parti dan menulis esei tetapi tidak banyak perkara berguna yang mereka lakukan dengan menggunakan kedua-dua tangan sehingga menyebabkan kesan yang buruk ke atas perwatakan mereka. Untuk mengatasi masalah ini, Ruskin mengumpulkan 60 pelajarnya lalu mengarahkan mereka menutup lubang-lubang di jalanan dan mengemaskan rumput-rumput yang ada sepanjang jalan. Melalui tugasan ini, Ruskin dapat memerhatikan bahawa mereka mengambil masa yang sangat lama dalam menyelesaikan tugasan yang diberi. Ruskin juga dituduh sebagai orang yang tidak siuman oleh tuan-tuan tanah tempatan.

Sebenarnya Ruskin mempunyai tujuan yang penting ingin disampaikan di sebalik aktiviti ini.

“Kerana kita takut seolah-olah apa yang kita buat tidak masuk akal, kita sering menghentikan tindakan di sekeliling kita lalu terus mengabaikan untuk menangani cabaran di sekeliling kita.”

Memperbaiki jalan- jalan itu adalah salah satu daripada idea besar yang dicipta daripada pengalaman hidup Ruskin;

“Bahawa ia adalah kewajipan istimewa manusia untuk mengarahkan usaha mereka ke arah menjadikan dunia ini lebih menyenangkan dan kemas, lebih mudah dan indah, tidak hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi untuk orang ramai.”

Dia juga percaya kita tidak seharusnya meninggalkan semua ini pada kuasa pemerintah dan pasaran semata kerana mereka tidak akan memikirkan cara-cara untuk memastikan sebuah kampung itu menjadi cantik, kemas atau bersih.

Sepanjang hidupnya, Ruskin banyak membandingkan sifat keindahan dengan keburukan dunia buatan manusia. Dia mempersoalkan barangan buatan manusia dengan mengajukan soalan adakah barangan tersebut sama dengan apa yang kita boleh peroleh dari alam semula jadi? Hal ini boleh dilihat melalui gereja Chartres di Venice dan kerusi yang dihasilkan oleh William Morris, tetapi semua ini tidak dapat ditemui sekiranya dibuat dari kilang-kilang dunia moden.

Apa yang boleh dipelajari dari tesis Ruskin ini? Sebenarnya Ruskin adalah cuba membuktikan bahawa keindahan itu boleh membawa manusia ke landasan yang tepat. Keindahan adalah salah satu perkara yang lahir dari dalam jiwa, dan bukan dipaksa. Ini bermakna jika keadaan politik, ekonomi dan sosial yang stabil nescaya keindahan dalam negara dapat diwujudkan. Seni juga harus dihargai kerana seni itu adalah salah satu medium dalam mengekspresikan diri serta segala perbuatan kita haruslah menguntungkan orang lain juga.

(Artikel tulisan WN Khuzairey ini adalah petikan dari buku Kitab Perdana Menteri)

Komen