Jiwa Hamba Makan Dalam Kurungan

KALAU kita ke padang ragut di kampung, di Felda dan Felcra, melihat kebun dan sawah, kita akan melihat kawanan ternakan. Binatang atau haiwan ternakan ini akan berkeliaran ke sana sini beroleh kebebasan. Kadang ada yang terlihat termenung. Kadang ada ternakan seperti lembu, kambing, atau kerbau ini kelihatan memanjai anak-anaknya.

Ternakan tidak boleh dihentikan pergerakannya. Ia mahu ke sana sini yakni diberi kemerdekaan. Akan tetapi kemerdekaan itu dalam batas dan hadnya. Ia bukan seperti satu barang mati yang apabila ia dimiliki ia tidak boleh bergerak-gerak lagi.

Katakan seketul batu kepunyaan kita. Batu itu tidak boleh bergerak sendiri seperti seekor kambing. Ia berada di situ dan hanya bergerak jika kita mengambilnya bersama. Namun, haiwan ternakan boleh dikerah dan diperah. Ia berguna untuk tuannya.

Ia boleh ditentukan supaya berhenti berkeliaran meragut rumput dan dipaksa untuk masuk ke kandangnya apabila malam tiba. Biasanya tempoh berada di luar kandang itu tidak lama. Nasib baik sangat kawanan ternakan itu dapat bebas seketika.

22 bulan lamanya ia beroleh kebebasan meragut rumput sendiri. Akan tetapi kawanan ternakan dikejar dan dihambat. Tuan ternakan akan memberi alasan bahawa ada binatang buas di luar sana yang akan memakan mereka.

720 bulan dan kemudian 33 bulan lamanya tuan ternakan memomokkan yang ada serigala akan membaham dan menerkam. Haiwan ternakan kerana tiada pilihan lain, akan percaya.

Untuk menjayakan program ternakan masuk kandang ini, tuan ternakan memiliki beberapa ekor anjing garang yang akan menyalakkan mereka tanpa belas kasihan.

Sudahlah ternakan dimomokkan dengan serigala yang tidak kelihatan dan belum tentu ada, ternakan juga ditakut-takutkan dengan anjing bermuka ganas, melelehkan liur yang sedia menggonggong siapa sahaja.

Akan tetapi selain menggunakan anjing dan cerita liar tentang serigala, untuk menjayakan program ternakan masuk kandang ini, sering dan fitrahnya, ternakan ini dilatih agar lapar dan akan masuk ke kandang semula mencari makanan. Padahal memang ada padang ragut di luar.

720 bulan dan 33 bulan lamanya ternakan sudah dibuat percaya yang jika ia tidak beroleh makanan di padang sana, ia boleh sahaja kembali ke kandang untuk kembali dikurung dan makan minum.

Anjing garang dan ternakan akur setia ini dimiliki tuan yang sama. Kedua-duanya beroleh makanan dan mendengar arahan daripada tuannya. Anjing dan ternakan ini bukan manusia yang sedari kecil akan belajar bermacam-macam, beroleh kematangan dan kepandaian, dan akhirnya ingin keluar mencari dunia. Bukan.

Jika manusia berakal ia akan mencari jalan lain. Anjing akan segera tahu bahawa kerjanya sehari-hari menyalakkan ternakan ini satu kerja meletihkan dan membuatkan ternakan pun benci dalam hatinya.

Ternakan pula jika ia manusia, ia akan tahu bahawa rumput yang dicekiknya dalam bekas makan di dalam kandang atau reban itu sebenarnya lebih segar dan sedap di luar sana. Nun di padang ragut bebas.

Kisah-kisah serigala akan datang mengejar itu dicipta para ceritawan supaya ternakan beroleh bimbang dan tunduk. Anjing dibela untuk mengerah ternakan selama 720 bulan dan 33 bulan lamanya dan ternakan akur selama itu juga.

Tuan ternakan dan anjing tersebut juga memiliki seorang hamba. Si hamba ini bukan seperti anjing dan kawanan ternakan, ia adalah manusia. Seharusnya ia bukan seperti batu yang hanya digerakkan apabila dibawa bersama.

Ia juga seharusnya tidak seperti kawanan ternakan kerana ia berakal. Ia tidak perlu kembali ke kandang atau kurungan. Tiada keperluan.

Ia boleh berada di luar sana mencipta pelbagai kejayaan dan menjadi insan hebat. Ia tidak perlu kembali ke kandang atau kurungan. Tiada keperluan.

Ia boleh berada di luar sana mencipta pelbagai kejayaan dan menjadi insan hebat.

Tuan kepada hamba itu amat bimbang jika hambanya beroleh bermacam-macam ilmu, justeru menjadi cerdik. Tuan kepada hamba itu amat bimbang jika ia kehilangan hamba.

Tuan-tuan tidak tahu seronoknya menghambakan sekumpulan manusia. Rasa seronoknya seperti menghambakan sekumpulan ternakan.

Tuan itu gelisah hambanya bertemu bermacam-macam orang, lantas jatuh cinta dan lari meninggalkannya. Maka tuannya pun berperi menakut-nakutkan si hamba akan serigala, akan Cina, akan parti liar. 22 bulan memadai meragut rumput di luar. Tiba masanya untuk dihambakan kembali.

Oleh sebab 22 bulan itu hamba tidak sempat dilatih berdikari, hamba pun seperti ternakan berjaya dicengkam dan dihantui. Ia pun seperti ternakan berasa memerlukan rumput dan minuman. Kerana ia seperti haiwan juga malas mencari.

Makanya hamba pun kembali ke kurungan yang sama dengan ternakan untuk mencari makan. Lagipun terdapat sampul surat berisi, beras, e-game, wang futsal, pakej umrah, dan macam-macam lain. Untuk hamba yang seperti sedikit degil, dia juga akan kembali akhirnya; kerana ia ditakut-takutkan dengan kisah-kisah seram yang belum tentu.

Ia tidak mahu matang seperti manusia berakal. Hamba mahu kekal menjadi hamba. Ini kerana, menjadi hamba itu senang sekali. Ia tidak perlu mencari. Ia akan sentiasa diberi.

22 bulan mencari serasa perit dan serik, itulah yang tuannya sering beritahukan. Jangan lagi seperti 22 bulan di padang rumput. 22 bulan di luar sangat membimbangkan kerana ada hilai dan laungan serigala di kejauhan.

Hamba menjadi kecil dalam jiwanya. Ia pun kembali ke kurungan, bersekali haiwan dan anjing yang suka menyalak.

Hamba itu kehilangan peluang untuk melihat dunia indah di sebalik kampung yang ia diami selama 720 bulan. Hanya 22 bulan itu ia dapat sekejap mencuba bermacam-macam dalam had terbatas.

Ia tidak boleh menjadi manusia bebas berakal seperti manusia yang berjaya di luar kampung tempat ia hidup selama ini. Ia pun kembali dikandang, selama 33 bulan lamanya.

Di sebuah kampung lain, seorang manusia memiliki lebih dari seorang hamba. Katakan, ia memiliki sekawanan hamba. 60 bulan sekali hamba dimomokkan dan digerunkan dengan kehadiran serigala. Mereka amat takut. Ada sekawanan hamba lain yang lebih superior pula diberi peluang untuk menyalakkan kumpulan hamba yang memang takut itu.

Yang terus berkuasa ialah tuannya. 720 bulan dan 33 bulan lamanya. Tuan kawanan ternakan dan hamba tertawa. Meksipun hamba-hamba itu pernah sekejap berani mencuba dalam tempoh 22 bulan, hamba itu tetap memilih dihambakan tuannya seperti 720 bulan, atau 33 bulan yang lalu.

22 bulan ia bebas sekejap untuk mungkin beraksi menggunakan akal dan kekuatan bakatnya, hamba sempat dilumpuh dan ditumpulkan oleh ketakutan.

Hamba tetap hamba, ia ada ketakutan kalau-kalau menjadi besar kelak ia akan diterkam serigala, Cina dan parti liar. 720 bulan, 33 bulan yang panjang tunduk kepada tirani.

Komen