KESIHATAN merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Sudah semestinya setiap individu menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing. Menurut Devine dan Lepisto (2005), kesihatan ditakrifkan kepada keadaan atau gaya hidup yang berorientasi ke arah pencegahan masalah kesihatan sehingga memiliki kehidupan yang berkualiti. Berdasarkan Badan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan tang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya. Taraf kesihatan merupakan salah satu penanda aras penting bagi kesejahteraan sesuatu komuniti. Namun, jurang kesihatan antara kawasan bandar dan luar bandar kekal sebagai cabaran utama di Malaysia mahupun seluruh dunia.
Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat peruntukan kedua tertinggi dalam Belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM 45.3 bilion, meningkat berbanding RM 41.2 bilion pada tahun sebelumnya. Dana ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan sistem kesihatan negara. Kepelbagaian teknologi dan kaedah perubatan di negara kita menunjukkan perkembangan yang positif dalam bidang kesihatan yang saksama, berkualiti dan mudah diperoleh. Meskipun begitu, isu kesihatan di desa atau luar bandar sering menjadi kritikan kerana kegagalan banyak negara untuk memberikan akses dan kualiti rawatan kesihatan yang setara dengan kawasan bandar.
Terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi isu kesihatan di desa iaitu kekurangan infrastruktur kesihatan. Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan terdapat lebih 3000 klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh negara, dengan sebahagian besar terletak di kawasan luar bandar untuk memastikan akses penjagaan kesihatan. Tetapi, fasiliti yang terhad dan kekurangan pekerja menjadi cabaran yang dihadapi oleh klinik di luar bandar. Menurut mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (2022) mengatakan naik taraf fasiliti kesihatan itu penting memandangkan terdapat hospital dan klinik kesihatan daif, malah usia melebihi 50 tahun. Soraya Bekkali (2024) mengungkapkan kekurangan akses penjagaan kesihatan di seluruh negara menyukarkan pesakit untuk menerima diagnosis tepat pada masanya atau akses kepada rawatan.
Seterusnya, urbanisasi iaitu peralihan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar memberi kesan terhadap kesihatan masyarakat desa. Hal ini kerana kebiasaannya petugas di klinik kesihatan terdiri daripada doktor umum atau pembantu perubatan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (2023), hanya 25% petugas kesihatan berkhidmat di kawasan luar bandar walaupun 50% penduduk global tinggal di sana. Penduduk yang berhijrah ke bandar meninggalkan golongan rentan seperti warga emas dan kanak kanak. Kekurangan generasi muda, sistem sokongan sosial di luar bandar menjadi lemah dan golongan rentang lebih terdedah kepada masalah kesihatan. Namun begitu, ramai graduan perubatan Malaysia lebih memilih peluang kerjaya di luar negara kerana mempunyai persepsi tiada masa depan menjadi doktor pakar di negara ini. Kehilangan bakat ini menyebabkan negara masih kekurangan pakar dan tenaga kerja dalam sektor awam.
Selain itu, kita juga boleh dari kelas sosial dalam masyarakat yang menentukan akses, penggunaan dan hasil kesihatan. Sebahagian penduduk di desa terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan tahap pendidikan yang rendah. Klinik kesihatan luar bandar kebiasaannya menjadi pilihan utama untuk golongan B40 kerana perkhidmatan yang lebih mampu milik dan percuma. Penduduk kawasan terpencil seperti orang asli dan masyarakat minoriti bergantung kepada klinik bergerak atau lawatan kesihatan berkala (Firdaus, 2022). Berbeza dengan masyarakat kelas atasan yang mungkin mendapat rawatan yang lebih baik dan mahal manakala golongan B40 bergantung kepada klinik dan hospital kerajaan.
Seterusnya, faktor sosial (persekitaran) iaitu kebergantungan kepada perubatan tradisional mengurangkan kepercayaan terhadap teknologi kesihatan moden. Perubatan secara tradisional tidak menggunakan rawatan secara saintifik malahan menggunakan jampi serapah, herba dan kayu akar. Ia merupakan warisan dan diwarisi secara turun temurun sebelum adanya rawatan moden. Ada juga masyarakat menggunakan rawatan tradisional kerana lebih murah dan mudah didapati. Menurut Aswany (2023), masyarakat di luar bandar terpaksa memilih rawatan tradisional merawat kanser berikutan ketiadaan akses kepada klinik kesihatan dan hospital.
Terdapat beberapa cadangan dan harapan untuk meningkatkan tahap kesedaran isu kesihatan masyarakat desa dan kerajaan melalui pendidikan iaitu menyediakan sesi penerangan mengenai rawatan moden. Hal ini kerana kebanyakan penduduk yang menetap di desa adalah warga emas dan memerlukan pendekatan yang sensitif dan memahami keperluan serta kebimbangan mereka terhadap rawatan moden. Sikap warga emas juga sering kali dikaitkan dengan kebergantungan terhadap rawatan tradisional berbanding perkhidmatan yang disediakan. Namun begitu, penyertaan keluarga dalam membuat keputusan juga amatlah penting kerana ia memainkan peranan yang besar di samping memberikan sokongan sosial kepada warga emas untuk menerima pendekatan moden.
Seterusnya, pembangunan tenaga kerja kesihatan untuk mengurangkan masalah kesihatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyokong dasar-dasar seperti pengambilan dan pengekalan kakitangan kesihatan di kawasan luar bandar, serta memberikan insentif untuk bekerja di kawasan terpencil. Program ini membantu mengurangkan jurang perkhidmatan kesihatan antara bandar dan luar bandar di banyak negara. Peranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharapkan dapat memperkukuh lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.
Kesimpulannya, isu kesihatan di luar bandar perlu ditangani dengan segera. Masalah kesihatan memerlukan pengiktirafan yang jelas bahawa kawasan luar bandar ialah isu kontekstual yang memerlukan perhatian khusus daripada penyelidik kesihatan mahupun golongan profesional. Kita tidak boleh menilai sesuatu masalah, membangunkan dasar dan perkhidmatan tanpa menyedari bahawa sumber awam, modal sosial dan rangkaian sosial berbeza daripada kawasan lain. Sehubungan dengan itu, diharapkan kerajaan, NGO mahupun masyarakat desa sendiri berjaga-jaga demi membangunkan sebuah desa yang aman, harmoni dan sejahtera.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.