Hussain Hanif Dan Revolusi Tarian Filem Melayu

Babak tarian dalam filem Melayu klasik sudah menjadi satu kemestian. Kadangkala kita sudah pasti dapat meneka bahawa babak-babak tarian ini merupakan tradisi dibawa oleh pengarah-pengarah dari India ke dalam sinema tempatan pada ketika itu.

Kebiasaannya babak tarian menjadi selingan di antara babak dan meredakan keadaan. Ia memberikan kelunakan dan kadangkala menjadi tempat pasangan kekasih di skrin memadu cinta dan melepaskan rindu.

Babak tarian dan lagu-lagu selingan ini tidaklah dipandang penting sebagai penguat jalan cerita atau menjadi elemen penting dalam menggerakkan filem berkenaan. Seperti disebutkan di atas ia adalah selingan. Ada boleh, tak ada pun tak apa. Cuma ia menjadi penting sebagai pengingat kepada sesebuah filem dan lagu dan filem pada ketika itu tidak dapat dipisahkan. Filem mesti ada lagu. Ia menguatkan filem sebagai hiburan.

Jika kita terlepas pun babak filem ini, tidak ada apa-apa kerana kita masih dapat mengikuti filem berkenaan sehingga tamat. Sebaik sahaja kita keluar daripada panggung wayang kita mula akan menyiulkan lagu-lagu yang berputar di dalam filem berkenaan. Kita akan mengingatinya sebagai tanda kenang-kenangan dari sesebuah filem.

Begitulah fungsi kebiasaan lagu-lagu dan babak-babak tarian dalam filem-filem Melayu klasik.

Namun begitu, di tangan Hussain Haniff lagu-lagu dan babak-babak tarian dalam filem sudah berubah. Ia memiliki fungsi tersendiri dan diberikan peranan cukup kuat. Lagu dan tarian sudah menjadi sebahagian daripada penguat cerita. Hussain dengan daya imaginatif terhadap suntingan serta visi kepengarahan yang berbeza memberikan kita kesegaran apabila menonton babak tarian dalam filem.

Hang Jebat (1961) adalah revolusi babak tarian dalam filem Melayu. Kita masih ingat babak tarian meraikan Hang Jebat sebagai pengganti Hang Tuah. Hussain meletakkan manifestasi pertikaman Tuah-Jebat dalam babak berkenaan. Babak ini penuh ketegangan dan emosi tanpa ada apa-apa suara, melainkan tarian bak pantomim dan gerak mata serta bahasa tubuh yang mengagumkan daripada Nordin Ahmad.

Hussain memberikan nyawa kepada babak tarian filem-filem Melayu yang selama ini layu dan mendayu-dayu dan dilihat sekadar selingan. Hussain memanfaatkan babak ini dengan cemerlang. Ia memberikan penonton bayangan awal tentang apa yang bakal terjadi di dalam filem ini.

Kehandalan suntingan Hussain tidak dapat disangkal lagi dan ia dimanfaatkan sebaik mungkin melalui bentuk suntingan yang memberikan sebuah persembahan tarian bermanfaat dan kompak untuk kita tonton. Dengan tempo suntingan yang menyeluruhi gerak mata dan pertentangan bersifat pantas antara mata Hang Jebat dan tarian yang ditontonnya memberikan kita penonton kefahaman tentang bagaimana Hussain memberikan nyawa kepada babak yang selama ini dianggap pinggiran dan hiburan ringan.

Begitu juga dalam Dang Anom (1962), Hussain menghuraikan kepada kita pertentangan emosi dan getaran jiwa Malang melihat kekasihnya Anom sudah menjadi gundik raja. Malang yang selesai berperang, disambut bagai wira, namun terkejut menyaksikan kekasihnya kini berada di istana di samping raja. Babak ini membuatkan kita tidak menghiraukan langsung tentang tarian dan lagu yang dimainkan, tetapi kita tertarik dengan bagaimana Malang dan Anom bertentang mata, bermain perasaan cuba melawan rasa cinta yang membuak-buak namun di halang autoriti kejam di tangan seorang sultan.

Babak ini memberikan kita keupayaan memahami psikologi watak dan bagaimana dan mengapa Malang dan Anom boleh menjadi mangsa kepada nafsu pemerintah. Ia kembali mengingatkan kita kepada babak pembukaan filem ini yang melihatkan bagaimana Anom dan Malang di atas perahu dan kita sebagai penonton dapat merasai bagaimana pasangan ini seperti sedang diperhatikan.

Kelebihan Hussain yang paling nyata ialah keupayaannya melibatkan penonton secara terus dengan visual yang dipaparkan. Beliau tidak membuatkan kita menunggu lama untuk memahami apa yang disampaikan. Kecepatan fikiran dan pemahaman sinematik Hussain membolehkan kita menyaksikan sebuah babak tarian, tetapi dalam mood yang sangat tegang dan mengguris perasaan.

Hang Jebat dan Dang Anom merupakan revolusi penting babak tarian dalam filem Melayu. Di sebalik mengekalkan keaslian Melayu itu sendiri, Hussain berjaya mengeluarkan pengaruh India daripada filem-filem Melayu. Kita tidak lagi menyaksikan persembahan ala Tamil atau Hindi, sebaliknya kita diberikan imej kemelayuan lebih kuat dalam menanggapi sinema sendiri.

Komen