Dosa Yang Agamawan Tidak Peduli

AGAMAWAN – baik yang bergelar mufti, pegawai di jabatan agama, ustaz ultraman mahupun dai/pencetus ummah bukanlah nama seterusnya titah yang teragung.

Selain mendokong aktiviti menerobos masuk bilik hotel anak muda gelojoh beromen di malam cinta berahi, menentang LGBTQ atas nama Tuhan, menulis surat cinta saat tudung artis wanita tertanggal, menggatal kahwin dua di Mekah, bertazkirah dengan slanga Arab pekat tentang hukum-hakam serta hadith-hadith nabi diselang seli dengan lawak jenaka berjimak, apa lagi jasa mereka?

Banyak tuan-puan.

Tidak terhitung kira banyaknya.

Antara terpopular ialah berpesan-pesan kepada kesabaran walaupun seluruh galaksi Bima Sakti sedar bahawa saban hari jurang antara kaya dan miskin semakin meluas – seluas sungai Nil.

Namun bagi agamawan, kesabaran tetap pilar utama iman.

Untuk itu, menurut mereka, bersabarlah siang dan malam, pagi sampai ke petang, walaupun ada bayi menangis saat tin susunya kontang, ada anak yang tertinggal pelajaran saat pandemik celaka menyeringai, ada ratusan ribu jiwa kepiluan kerana kehilangan pekerjaan serta ada dapur yang sudah lama tidak berasap.

Sabar. Sabar dan sabar.

Tuhan menyayangi hamba yang bersabar. Itulah kata mereka – manusia yang tidak bertanggungjawab. Gagal empati. Bodoh tidak kena gaya. Dan sombong macam celaka.

Yang mereka tahu, segalanya mesti menurut batas hukum. Dosa dan pahala. Syurga atau neraka.

Maka disebabkan hukum hakam mainan mereka, gergasi kapitalis seumpama bank pun telah mengucap dua kalimah syahadah.

Pernahkah kalian, sebagai contoh, mendengar agamawan bercakap mengenai dosa terulung iaitu ketidakadilan yang berkait rapat dalam kesihatan sosial?

Keratlah apa yang kamu miliki kalau sekiranya ada.

Maka tidak perlulah menunggu agamawan memperjuangkan hal ini. Banyak lagi aurat yang terselak yang mesti mereka haramkan.

Sebaliknya, sebagai umat yang cerdik lagi tercerahkan, ada baiknya kita teliti kertas kerja susunan Khazanah Research Institute (KRI) yang baru-baru ini dikeluarkan.

Sejak tahun 1970 sehingga kini, tahap kesihatan Malaysia meningkat dengan baik. Tahap kesihatan dinilai berdasarkan kadar jangka hayat. Kadar jangka hayat pula berperanan sebagai penunjuk utama tahap kesihatan masyarakat.

Contohnya dulu, pada tahun 70an, kadar jangka hayat rakyat Malaysia secara puratanya ialah 61 tahun bagi bayi lelaki dan 65 tahun bagi bayi perempuan. Setahun sebelum korona celaka tak guna datang menyerang, seorang bayi lelaki sudah boleh hidup selama 72 tahun. Manakala bayi perempuan pula dapat bertahan selama 77 tahun. Ini bukan cerita macam ustaz kata rezeki umur panjang sebenarnya Tuhan yang beri mahupun umur panjang tiada guna kalau tidak sembahyang.

Kesihatan, menurut ringkasan eksekutif KRI tidak hanya berada dalam lingkungan penjagaan kesihatan. Malah, terdapat faktor lain yang menyumbang termasuklah keadaan hidup, pekerjaan, persekitaran dan juga tingkah laku.

Namun begitu, peningkatan jangka hayat hidup yang kita alami hari ini tidak menjamin sebuah kehidupan yang lebih sihat?

Apa benar?

Benar. Kerana peningkatan jangka hayat sahaja tidak mencukupi. Yang utama ialah, peluang menjalani hidup yang sihat.

Tuan-puan bayangkan, kalau umur kalian bertahan sehingga 70 tahun, namun 30 tahun hidup dalam tingkat kesihatan yang buruk pun, apa gunanya, bukan?

Sebentar tadi, kita menghela nafas yang tenang. Bayi-bayi yang baru dilahirkan kini mempunyai potensi untuk hidup selama 75 tahun.

Tetapi tuan-puan jangan terkejut, walaupun hidup sebegitu panjang, 9.5 tahun darinya dilalui dalam keadaan yang tidak sihat!

Melalui studinya, KRI mendapati:

‘Jangka hayat sihat rakyat Malaysia telah meningkat sejak tahun 1990, namun peningkatan ini gagal untuk mengurangkan tempoh dalam keadaan tidak sihat yang kekal 9 tahun, malah tempoh ini naik dari 9.1 tahun pada 1990 ke 9.5 pada tahun 2019’.

Peningkatan kesihatan di kalangan masyarakat juga tidak sekata. Bayi-bayi perempuan di Kuala Lumpur misalnya mempunyai peluang hidup selama 79 tahun, berbanding bayi perempuan yang lahir di Terengganu dan Perlis iaitu 75 tahun. Manakala, bayi lelaki di Sarawak dan Kuala Lumpir sama-sama berpotensi hidup selama 74 tahun, tetapi dalam tahun yang sama, bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu dan Kelantan adalah 69 tahun.

Di peringkat internasional, meski jangka hayat Malaysia lebih tinggi puratanya daripada negara-negara Asia Tenggara, namun kedudukan kita lebih rendah daripada negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Dan kini, negara-negara seperti Turki dan Thailand telah mendahului Malaysia sebagai negara yang jangka hayat rakyatnya lebih panjang walaupun pada tahun 1990 silam, Malaysia lebih ke depan.

Mengapa ini berlaku, tuan-puan?

Takdir? Ketentuan Tuhan? Kegagalan mengamalkan diet makanan sunnah? Atau masyarakat terlalu malas mengikuti cara hidup sihat anjuran selebriti Instagram?

Ada dua perkara maha sakral yang mesti kita sedari.

Lanjutan taraf kesihatan sosial, seperti yang saya ulangi di perenggan terawal tidak hanya di bahagian jangka hayat sahaja.

Ia sangat berkaitan dengan jurang antara kaya dan miskin. Ketidakadilan dalam strata sosial mewujudkan segala macam bala bencana. Soalannya sekarang, celah mana yang berkaitan?

Tegas KRI;

‘Secara amnya, golongan berpendapatan rendah cenderung mempunyai tahap kesihatan yang lebih rendah. Kadar diabetis, hipertensi dan hiperkolesterolia adalah tertinggi bagi kumpulan isi rumah 20% terbawah (B20) sementara kadarnya adalah paling rendah bagi kumpulan isi rumah 20% teratas (T20). Contohnya, kadar hipertensi bagi isi rumah B20 ialah 38.3% manakala kadar bagi isi rumah T20 ialah 27.1%’.

Ini maksudnya apa tuan-puan?

Sesederhananya, sekarang, maka mengertilah kita mengapa ada orang politik kaya mampu boleh hidup sampai 92 tahun lamanya berbanding rakyat jelata.

Jelas atau masih terpinga-pinga?

Masalah pendapatan juga mempengaruh kesihatan mental. Masalah mental antara dua golongan ini juga menunjukkan jurang yang agak tinggi. Bagi kumpulan B20, golongan dewasa mewakili 33.6% dan kanak-kanak 13.9%. Manakala T20 dewasa cuma 26.4% dan kanak-kanak cuma 8%.

Pendapatan adalah faktor utama mencorakkan kehidupan. Pendapatan yang baik akan membina persekitaran hidup, menentukan makanan yang disuap ke dalam mulut serta mewarnai kesihatan mental.

Barang jangan dilupa walau sekali, dapatan-dapatan kajian serta statistik lalu membuktikan bagaimana pendapatan rendah mempengaruhi pertumbuhan anak-anak flat di sekitar Kuala Lumpur. Ada yang terbantut, ada yang obes, ada yang susunya ditukar ganti dengan air sirap. Ada keluarga yang mengamal diet megi telur kerana faktor wang dalam saku.

Selain itu persekitaran pekerjaan juga memberi pengaruh terhadap kesihatan fizikal dan mental. Persekitaran kerja yang teruk, merbahaya ataupun kondisi kerja yang menekan boleh memberi kesan negatif.

Contohnya pekerja asing yang terdedah dengan marabahaya di kawasan tempat mereka bekerja. Atau pekerja bawahan yang ditekan bekerja lebih masa dengan pulangan yang ciput. Ekonomi barangkali meningkat kesan inisiatif produktif gergasi majikan, tetapi apakah kesan terhadap kelas pekerja?

Hipertensi (tekanan darah tinggi) yang berpunca dari faktor ini pada tahun 2019 cukup merisaukan. Pekerja tanpa gaji seperti suri rumah menyumbang peratusan tertinggi iaitu sebanyak 34.7%. Diikuti pekerja sendiri 30.7%, pekerja kerajaan/separa kerajaan 29.4% dan pekerja swasta 18.8%.

Bagaiman pula yang menganggur?

Tuan-puan berhak tahu, pengangguran adalah setan yang menyumbang kepada masalah mental. Dan tahun ini dimana peratusan pengangguran tertinggi sejak 30 tahun lalu, apakah nasib mereka yang kehilangan kerja?

Meningkatkan tahap kesihatan sosial tidak semudah memetik hadith atau berpujangga di meja tazkirah.

Ia mesti kembali semula kepada aturan sedia ada. Dimana kesenjangan pendapatan antara kelas miskin dan kaya dan persekitaran pekerjaan mesti diteliti semula.

Dasar-dasar revolusioner mesti diaplikasikan. KRI di dalam laporannya menyatakan:

‘Malaysia wajar mengambil pendekatan intersektoral dalam menangani masalah seperti memperluaskan akses pendidikan, melaksanakan sistem perlindungan sosial bagi rakyat terabai dan memperbaiki kualiti perumahan’.

Tidak ketinggalan, kita juga wajib menangani perang pendapatan jurang antara kaya dan miskin. Bukankah kelas hanya membentuk kasta sosial yang tidak adil. Baik dari segi ekonomi, pendidikan dan juga kesihatan.

Semua manusia berhak hidup panjang serta sihat dan mempunyai peluang juga kesempatan yang sama.

Benar, mati itu pasti.

Tapi, biarlah kita mati memperjuangkan keadilan untuk sebuah kehidupan yang adil buat semua dari berahi mati kononnya mahu dijemput bidadari syurga.

Komen