Tiada Syawal Saat Berpuasa Sarat Kebencian

Tidak ada yang menyinggungkan pun mengatakan puasa di abad ini tidaklah sebernilai mana.

Berbanding umat lain yang diselimuti kemiskinan lagi terpinggir dari pembelaan, atau seperti yang berlaku di belahan bumi lain, di Palestina misalnya – apalah sangat menjalani ritual tahunan tanpa sarapan dan makan tengah hari mewah di bawah suhu menghampir 40°?

Saya tidak bermaksud perut yang aman tanpa konflik dan pergolakan adalah sebab mengapa puasa tidak bernilai.

Saya cuma mahu menyampaikan antara puasa kamu dan puasa mereka yang tertindas adalah garis yang membezakan banyak hal.

Dan harus kita sepakati, rutin tahunan ibadah puasa dalam dunia yang aman adalah sebuah tradisi – yang di dalamnya tetkandung pesan-pesan. Tentang persaudaraan. Tentang kewajipan menjunjung tinggi gagasan keharmonian, keadilan serta kesediaan memberi kebaikkan buat orang-orang sekitar yang datang dari keberagaman latar.

Kesemua ini diselang seli dengan kebahagiaan saat berbuka dan persediaan menyambut Syawal.

Barangkali kerana gopoh mencari-cari nilai tambah dalam berpuasa, kamu terjebak dalam perkelahian yang tak kalah membodohkan.

Saat saya bertumbuh di zaman kanak-kanal, berita paling dahsyat yang sering didengari ialah kemalangan jalan raya dan putus jari gara-gara bermain mercun.

Dua berita ini, walau setiap tahun adalah hal yang berulang, sudah cukup menakutkan.

Namun semakin lama dunia tunduk kepada tamadun teknologi yang mengangkat kapital dan hidup berpura-pura, setiap kali berlangsungnya Ramadan, berita-berita dari hal seperti berjuta tan pembaziran makanan, tingkat kasta yang berlaku di saf masjid, isu rumah tangga artis, tumpuan kepada bisnis juta-juta selebriti media sosial sehinggalah hal-hal yang menjurus kepada kebencian seperti isu istilah kafir dan kalimah Tuhan memesongkan akhlak hampir kebanyakan umat termasuklah kamu.

Mungkin kamu fikir Tuhan sudah mendaftarkan sebidang tanah luas buat kamu di syurga kelak saatnya kamu menyokong kenyataan-kenyataan busuk yang lumayan berlarutan setiap hari.

Saya menganggap hal-hal yang sedang berlaku sejak hari pertama Ramadan adalah bahagian dari sebuah kelucuan tingkat tertinggi.

Ia adalah bukti bahawasanya bangsa yang mengaku mulia kerana tauhid tak lebih dari sebuah bangsa yang tiada arah tuju. Sudahlah tiada arah tuju, bersikap gopoh pula.

Namun, jika difikir-fikir semula, wajah kebimbangan mulai menyeringai.

Ada dua perkara yang membimbangkan menurut fikiran saya.

Pertama; apa nasib anak-anak kita bertumbuh dalam persekitaran begini?

Anak-anak membesar dalam cereka fitrah di mana mereka tidak melihat perbezaan. Sawo matang, kuning langsat, gelap, sepet atau bulat, syahadah atau tidak – ini semua tidak wujud dalam dunia kudus mereka.

Yang mahu dinikmati adalah kebahagiaan – walaupun dunia dalam kenyataan absolutnya lengkap dengan pelbagai warna.

Namun apakah jaminannya mereka akan kekal melihat warna bukanlah sebagai batas sempadan?

Atau tiada warna yang lebih berhak diterangi berbading lain. Atau warna yang mesti diberi perhatian, dukungan lebih dari segalanya?

Kedua; adalah kebencian yang ditimbulkan oleh penguasa dan ahli-ahli agama yang punya pengaruh besar ke atas masyarakat.

Selama kamu hidup, dari mana datangnya hasutan-hasutan ini.

Apakah kita tidak belajar dari pengalaman lalu? Bahawasanya orang-orang yang halobakan kuasa sentiasa bermain sentimen setiap kali mereka berahikan jawatan dan pengaruh?

Atau terpejamkah matamu saat hal sensitif timbul berlaku, apakah hukum-hakam dan segala mak nenek fatwa yang tersembur keluar dari meja alim agama?

Lamu kamu berkata, “tak semua begitu”.

Saya setuju. Tetapi biar saya soalkan – dari sepuluh, berapa yang terlebih membenci dari memadam api?

Mana-mana agama sesungguhnya mendukung agenda berbuat baik. Demikian itu, setiap urusan ibadah yang dipraktis adalah jalan menuju jalan lurus – termasuklah agamamu, Islam.

Dan puasa sesungguhnya adalah salah satu dari beribu jalan menemukan dunia yang lebih sempurna.

Tetapi apabila setiap urusan hidupmu bergantung kepada kata putus penguasa dan orang-orang yang berselingkuh dari jalan ini – rasa aman dan citra harmoni yang diidam-idamkan ternyata tidak mendekat. Bahkan semakin jauh.

Ketika penguasa curang dan lebai di kepala orang-orang harapan agama terbang menjauh entah ke mana, menjadi tanggungjawab umat bermazhab cinta seperti kitalah yang bertanggungjawab membumikan benih benih cinta.

Tanamlah dalam diri anak-anak bahawa perbezaan itu lumrah yang layaknya dirayakan. Tanamlah dalam diri mereka agar menjauhi kepalsuan media sosial yang di dalamnya ada selebriti yang sekejap berlagak imam, ada yang berupa messiah dan ada juga yang mencuba menjadi raja. Dan tanamlah dalam diri generasi ini bahawa dunia yang lebih aman, sentosa, adil dan saksama itu bukan utopia, malah ia muncul saat manusia berusaha mengheret wangian syurga jatuh ke bumi.

Sebelum saya meninggalkan ruangan ini dengan kata-kata selamat, saya dahulukannya dengan kata-kata seorang tokoh yang seluruh hidupnya berkhidmat kepada kerja-kerja pembebasan bernama Errico Malatesta,

“Hate does not produce love, and by hate love cannot remake the world.”

Maaf zahir batin.

Komen