Ali Syari’ati adalah revolusioner yang menyantuni dan memahami sebenar-benar erti “kemiskinan” dan memberi pencerahan kepada kita betapa pentingnya memahami dasar kemanusiaan tanpa melalui mana-mana medium ciptaan manusia yang bersifat autoriti dan mengikat. Namun, ini bukanlah membawa maksud beliau cenderung kepada fahaman anarkisme. Ali dirujuk sebagai ahli akademik yang berfahaman Marxisme, seiring dengan keadaan dan suasana tempat beliau membesar di Khurasan.
Hujah dan saranan Barat dalam mengkaji isu moral dan kemiskinan di seluruh dunia dipatahkan Ali dengan prinsip dan tradisi Islam yang lebih ikhlas dalam melawan kemiskinan dan penindasan. Sudut pandang Ali bersama idea-ideanya tidak terkehadapan bersama cendekiawan muslim moden yang lain kerana bidang ilmu sosiologi tidak se-handsome sains.
Buktinya, penulis sendiri pernah tergoda dengan “Bucailisme”, fenomena di mana ilmuan Islam berwacana mengenai Al-Quran dan Sains. Masih ingat ketika di bangku sekolah, risalah-risalah dan buku bertemakan “Bucailisme” yang ditulis Harun Yahya, Achmad Baiquni dan beberapa penulis lain begitu popular sekali.
Mana tidaknya, remaja polos mana yang tidak tergoda dan berasa takjub dengan huraian teori saintifik yang disepadankan dengan baris ayat-ayat dalam Kitab Suci kita? Sedangkan amalan mengkaji kalam Tuhan dengan teori sains ini pada penulis adalah budaya ilmu yang merbahaya, kerana Al-Quran bersifat kekal dan tidak berubah, sedangkan sains berubah mengikut penemuan semasa.
Biarpun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai bermazhab “Syiah Merah”, pengaruh Ali dalam memulakan revolusi “Penolakan Barat” ini sememangnya memberi kesan dan merubah sedikit sebanyak wajah dunia, dan meninggalkan parut yang berbekas kepada orientalis Barat yang tidak pernah jemu menjadi batu api perpecahan umat Islam pasca perang dunia. Jadi, jika kamu yang membaca tulisan ini berasa jasa tokoh Islam yang tidak sealiran dengan mazhab Nusantara anutan kamu tidak perlu diangkat, berhentilah baca ulasan ini.
Ali menanggapi dogma agama yang melemahkan manusia dengan mendefinisikan semula hikmah amalan dan suruhan Tuhan kepada umat Islam, sebagaimana yang diterangkan beliau dalam “Relevansi Doa Terhadap Ketenangan Jiwa” yang diterbitkan semula melalui jurnal akademik di Fakultas Dakwah Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga-2006.
Katanya;
Do’a bukanlah kelemahan yang berkulitkan kekuatan, bukan suatu bentuk eskapisme, kekerdilan, mahupun opium bagi manusia. Menurutnya do’a orang-orang yang benar tidak boleh membunuh keberanian, kejantanan, perasaan, dan kesedaran. Doa digunakan bukan sekadar medium untuk mendapatkan benda yang dihajati, melainkan lebih merupakan manifestasi dari rasa cinta.
Doa membawa maksud proses penyempurnaan iman yang menundukkan jiwa kepada Allah S.W.T, memberi kekuatan tambahan kepada kekuatan yang sedia ada, dan membentuk jaringan batin di kalangan umat. Memetik kata-katanya yang terkenal;
“Jika kau mampu merasakan derita, bererti kau hidup. Jika kau mampu merasakan derita orang lain, bererti kau manusia.”
Dalam karyanya yang diberi judul ‘Manusia Moden & Penjara-penjaranya’, Ali mengulas dengan terperinci tentang filsafat manusia dari perspektif sosiologi tanpa berlepas dari dogma dan tatanan Islam; suatu perkara yang sukar dan gagal dilakukan pemikir-pemikir sebelumnya. Kali terakhir cendekiawan Muslim berjaya menyelesaikan perihal kemasyarakatan melalui disiplin ilmu sosiologi ini adalah melalui Ibn Khaldun yang berjaya meruntuhkan tali kebergantungan kepada Barat dalam hal mengkaji isu masyarakat dengan analisis yang kritis.
Menurut Ali, pemenjaraan manusia (bukan insan) adalah berpunca dari empat perkara, dan dengan disiplin yang tinggi manusia akan dapat membebaskan diri dari empat penjara dan mengubah dirinya dari tingkat makhluk biasa (being) ke manusia tingkat menjadi (becoming).
1) Belenggu Alam
Ali mengambil penulisan Ibn Khaldun yang mengatakan bahwa setiap kehidupan masyarakat didasarkan pada keadaan geografinya. Menjadi seorang pemburu atau petani ditentukan oleh keadaan alam, tidak ada yang mampu mengingkari peranan alam dalam membentuk seorang manusia. Manusia menunggu alam agar menurunkan hujan supaya boleh bercucuk tanam. Pendapat ini mungkin benar jika ditempatkan pada sejarahnya masa lalu, akan tetapi tidak pada masa sekarang. Apa yang menggantikan “Belenggu Alam” pada zaman moden ini adalah “Belenggu Kapitalisme”.
2) Sejarah
Aliran historisisme beranggapan bahwa manusia merupakan sebuah hasil dari sejarah. Historisisme beranggapan bahawa manusia zaman lepas yang akan menentukan manusia pada hari ini, apa yang harus ditempuh dan bagaimana manusia harus mengarah. Begitu pula alam membentuk warna kulit, sedangkan sejarah memilih membentuk warna jiwa. Pada kenyataannya, semua manusia dilahirkan dan dibesarkan di dalam masyarakat yang telah ditentukan dan dipandu oleh sejarah.
3) Masyarakat
Aliran sosiologis menolak adanya peranan individu dalam membentuk nasibnya. Sosiologisme memiliki prinsip yang kuat bahawasanya seorang individu dibentuk oleh sekelompok masyarakat, bukan oleh dirinya sendiri sebagai individu.
Manusia seringkali terumbang-ambing dalam melakukan pilihan, bahkan tidak dapat memilih untuk dirinya sendiri. Sosiologisme berpendirian bahawa dilema seperti ini yang dialami oleh manusia merupakan ciptaan masyarakat. Ketika manusia dihadapkan dengan dua isu sosial yang berbeza, ia mulai ragu-ragu dan dilema dalam kedua faktor tersebut.
Sosiologisme menyatakan bahwa seorang yang ragu-ragu, apakah ia harus beragama atau tidak, apakah ia harus teis atau ateis, bukan kerana ia dapat memilih salah satu, tetapi kerana kedua faktor berlainan itu terdapat di dalam masyarakatnya. Polarisasi masyarakat mampu mempengaruhi fikiran insan.
4) Ego
Walaupun manusia moden memiliki pengetahuan dan kemampuan yang jauh melebihi mana-mana garis masa sejarah ketamadunan, namun tidak ramai yang mengakui dengan telus bahawa dia tidak tahu apa-apa. Manusia moden telah menemukan berbagai macam apa yang harus ia lakukan untuk menghadapi berbagai persoalan kehidupanya, namun ia belum mengetahui bagaimana caranya keluar dari penjara gelap dalam dirinya sendiri.
Bayangkan sekiranya kita yang menghidupkan jiwa dengan peranan sebagai manusia, dapat membebaskan diri sepenuhnya dari empat hal di atas, Ali berpendapat itulah kunci tunggal untuk kita buka pintu menjadi insan.
Ali Syari’ati tidak meninggalkan kita dengan persoalan dan permasalahan ummat yang kompleks, beliau memberi pesan ringkas kepada seluruh umat Islam supaya memiliki naluri ketunggalan agar mampu berfikir dengan baik dan dalam keadaan sedar yang sebenar. Daya fikir yang tajam akan memberikan nilai kreativiti, kebebasan dan kawalan sepenuhnya kepada batang tubuh kita sendiri. Jika tidak, dengan deras arus teknologi pada hari ini, keyakinan dan kemampuan individu akan runtuh dan “kawalan kendiri” akan beralih ke “kawalan data algoritma”. Selamanya kita akan terpenjara dan mengharapkan Instagram untuk beri contoh kepada kita kehidupan kawan kita yang mana lebih baik.
Adam Mukhriz lahir dan membesar di ceruk Pulau Langkawi. Pentaksub dunia sosiologi yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian menjadi pemuzik Grindcore.