Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran) pada malam Lailatuilqadar, Dan tahukan kamu apakah malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan (Al-Qadr 1-3)”
Lailatulqadar atau malam al-Qadar diberi nama tersebut kerana kebesaran dan kemuliaan atau kedudukan malam itu di sisi Allah taala disebabkan banyaknya kesalahan manusia diampun oleh Allah pada malam itu.
Sepertimana sabda Rasulullah saw:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan penuh tulus ikhlas semata-mata mengharapkan kemampunan Allah, maka diampuni Allah akan segala dosa-dosanya.”
Kelebihan Lailatuqadar adalah akan dilipatgandakan pahala segala amalan dan ibadah di dalamnya lebih dari seribu bulan.
Terdapat beberapa persoalan mengenai bilakah malam Lailatulqadar akan muncul. Hadis daripada Jabir, Rasulllah saw bersabda:
“Bahawa aku telah diperlihatkan Lailatul qadar kemudian iaitu pada malam-malam akhir Ramadhan.”
Ada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud menyebutkan dari Abdillah Bin Umar r.a bahawa Nabi saw pernah ditanya mengenai Lailatul qadar. Baginda menjawab.
“Lailatulqadar ada pada setiap bulan Ramadhan.”
Namun menurut Aisyah ,Nabi Muhhammad memerintahkan:
“Carilah lailatul qadar pada tarikh ganjil dari sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan.”
Menurut beberapa hadis yang lain pula Rasulullah saw menyebutkan Lailatulqadar itu terjadi pada malam-malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan iaitu tarikh ganjil pada 10 akhir Ramadhan.
Sebahagian ulamak berpendapat Lailatulqadar tidak jatuh pada malam tertentu sahaja bagi setiap tahun, bahkan ianya bertukar-tukar di antara malam-malam ganjil pada 10 malam akhir itu.
Persoalan bilakah tarikh sebenar Lailatulqadar itu menjadi hikmah dan pengajaran kepada umat Islam untuk sentiasa beribadah kepada Allah taala dan sebagai motivasi agar terus sentiasa mencari rahmat Allah pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa harus tertumpu pada satu hari sahaja.
Jika kita mengetahui secara spesifik akan tarikh itu maka orang akan hanya beribadah pada tarikh tersebut sahaja.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan memperbanyakkan solat sunat disamping tidak mengabaikan ibadat wajib seperti qiamullail, memperbanyakkan zikir, istighfar dan memperbanyakkan amalan berdoa.
Kesedaran segelintir masyarakat pada hari ini alam memeriahkan ibadah Ramadhan harus dipuji dan didoakan sama-sama dapat mengecapi malam Lailatulqadar seperti mana kemeriahan dalam persiapan menyambut Aidilfitri seperti sibuk memilih baju-baju raya yang baru, merancang juadah hari raya serta merancang perjalanan untuk pulang ke kampung masing-masing untuk berhari raya.
Taqarrub pada Allah taala sebelum bermula Ramadhan lagi harus dipupuk awal. Antara contoh nyata yang berlaku pada hari ini adalah seperti solat subuh berjemaah di masjid seperti kempen ‘Subuh Macam Jumaat’ yang digerakkan oleh penyanyi Aliff Satar harus diteruskan sampai bila-bila bagi menyediakan diri dalam menyambut Ramadhan dan malam Lailatulqadar. Usaha sebegini harus dipuji oleh semua pihak dalam mendidik masyrakat yang muda, tua dan kanak-kanak untuk mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Dan secara tidak langsung kempen-kempen lain juga akan turut sama muncul setelah aura kebaikan ‘Subuh Macam Jumaat’ ini diteruskan di seluruh pelusuk Asia Tenggara yang kini mula tular di Singapura.
Menurut Imam Ghazali, untuk memperoleh kejernihan hati dan akal salah satunya adalah dengan melakukan uzlah, iaitu pengasingan diri. Dalam konteks kehidupan ini uzlah dapat dilakukan dengan mengasingkan diri dari sosial media yang tidak mendatangkan faedah.
Ketika masalah sosial yang semakin parah seperti pembunuhan, ketagihan arak, bunuh diri atau melayari laman sesawang yang mengandungi unsur lucah, kita dapat mendefinisikan uzlah ini dengan mengisinya dengan ibadah dan melawan rasa nafsu serta keinginan untuk melayari perkara-perkara yang tidak berfaedah. Uzlah juga dapat mengajar kita mengendalikan media sosial dengan lebih berhemah terhadap maklumat dan konten-konten negatif yang terdapat di dalam media sosial yang mana ia menekankan konsep penjagaan hati, penjagaan mata dan memberikan perhatian kepada konten yang bermanfaat seterusnya dapat meningkatkan kualiti kehidupan kita ke arah yang lebih baik.
Budaya ‘select’ dalam uzlah juga dapat memberi keseimbangan mental dan spiritual kepada pelayar media sosial supaya tidak terbawa-bawa dan terpengaruh dengan apa yang disajikan di dalam media sosial yang mengandungi perkara-perkara yang negatif.
Secara keseluruhannya kita hendaklah melakukan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas sama ada mengetahui atau tidak malam tersebut kerana adakalanya mereka yang tidak mengetahui malam Lailatulqadar itu lebih tinggi dan lebih besar darjat kedudukannya di sisi Allah taala.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Mohd Fahimi Mohd Yusoff dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.