Menjernihkan Parlimen Dari Polemik Kepartian Pembangkang

Sidang parlimen kali ini tidak lekang daripada kontroversi dan polemik yang tidak berkesudahan. Hampir dua tahun kerajaan perpaduan dibentuk, polemik kepartian dan cerita mengungkit kisah lama masih mendominasi perjalanan Dewan Rakyat.

 

Baru-baru ini, pihak kerajaan membuat usul untuk menggantung Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama enam bulan kerana menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasannya dan korup.

Bagi saya, kenyataan Wan Saiful hanya dokma politik yang boleh dipatahkan Anwar Ibrahim sendiri, Tetapi, ucapan Wan Saiful melangkaui batasnya apabila turut menyentuh urusan Perdana Menteri menghadap Yang Di-Pertuan Agong dalam perbincangan pra mesyuarat jemaah menteri. Tindakan ini agak terburu-buru dan telah mengganggu keharmonian perjalanan Dewan Rakyat.

Toleransi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) memberi peluang kepada Wan Saiful memohon maaf ke atas kesalahannya itu, telah menyelamatkan maruah parlimen sebagai sebuah institusi demokrasi tertinggi dalam menentukan hala tuju negara. Ia juga satu peringatan kepada ahli parlimen bahawa tidak ada ahli parlimen dan menteri merasakan dirinya lebih besar daripada parlimen mahupun Perlembagaan Persekutuan.

Ahli parlimen mempunyai imuniti untuk bercakap di parlimen. Bermaksud, ucapan yang dikeluarkan ahli parlimen tidak boleh disaman atau diambil tindakan undang-undang, kecuali ia melanggar Akta Hasutan 1948 dan memburukkan kelakuan YDPA. Peraturan ini terkandung dalam seksyen 36(8) dan 36(9) dalam PMDR.

Pendedahan cerita sogokan untuk menukar sokongan kepada perdana menteri di parlimen bukan kes baharu. Kalau diimbas semula pada tahun 2021, bekas ahli parlimen Sekijang, Allahyarham Natrah turut mendedahkan cerita didatangi seseorang bergelar ‘Datuk Seri’ meminta dirinya menyokong perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehari selepas pendedahan itu, Natrah telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kertas siasatan rasmi telah dibuka untuk meneliti informasi yang lebih lanjut. Bezanya, Wan Saiful  masih belum membuat laporan kepada SPRM tentang isu sogokan itu setelah membuat pendedahan dan memohon maaf di parlimen.

Ketidakstabilan Bersatu, Bukan Kerajaan Perpaduan

Keutuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memastikan wakil rakyatnya mempunyai disiplin dan daya tahan mengekalkan mandat rakyat nampaknya semakin rapuh. Virus wakil rakyat Bersatu mengalih sokongan semakin merebak hingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pada 6 Mac 2024 menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor walaupun masih kekal di dalam Bersatu. Peliknya, keputusan Abdul Rashid mengalih sokongan ini berlaku selepas Wan Saiful mendedahkan wujudnya tawar-menawar membeli wakil rakyat di Dewan Rakyat dan usul meminda perlembagaan Bersatu bagi mengekang peralihan sokongan wakil rakyatnya.

Kerapuhan Bersatu ini menimbulkan persoalan sama ada parti itu boleh bertahan lama dalam arena politik negara atau menunggu masa untuk bungkus. Ironinya, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) pula menampilkan disiplin parti yang teguh dan tidak mengalih sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Ketidakstabilan politik Bersatu semakin dipersoalkan. Posisi ini menyebabkan parti itu sukar untuk membentangkan idea dan cadangan dasar sebagai oposisi. Namun, dengan kehadiran ahli parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat dapat memberi nilai tambah kepada PN di dalam parlimen.

Cadangan idea dan kualiti perbahasan Dr. Samsuri, diselit dengan dasar negeri Terengganu dan nasional, boleh memberi impak kepada mekanisme semak dan imbang ke atas kerajaan perpaduan.

Malah, Dr. Samsuri boleh membahas kebaikan dasar Pas di peringkat negeri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada kerajaan perpaduan seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang juga ahli parlimen. Bukankah perbahasan dasar negeri dan persekutuan ini dapat mencambahkan lagi idea untuk menyelesaikan isu rakyat di setiap peringkat?

Move Forward Sahajalah

Berbaki dalam tempoh dua minggu lagi persidangan Dewan Rakyat, amat penting untuk semua ahli parlimen kembali membicarakan soal dan dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Pihak pembangkang PN seharusnya tidak leka dan cuai dalam mengkritik kelemahan dasar kerajaan perpaduan, bukan sekadar memain polemik dan sentimen atas kepentingan populariti di media sosial.

Kegilaan mengejar kandungan popular di media sosial ini satu penyakit yang harus diuruskan parlimen. Pendekatan popular ini tidak dapat menguruskan akar permasalah sebenar, dari sudut teknikal dan perincian sesuatu dasar, yang sukar dibahaskan di ruang media sosial dan awam.

Contohnya, apakah isu teknikal yang boleh diperbaiki bagi meningkatkan pendaftaran PADU yang masih rendah? Bagaimana ahli parlimen boleh menyemak perancangan kerajaan mengawal kenaikan harga barang sebelum masuk bulan Ramadan di setiap negeri dan industri?

Itulah kelebihan menjadi ahli parlimen, dapat menyemak dasar dan undang-undang secara terperinci. Kesungguhan ahli parlimen dan kerajaan mencari solusi bagi menyelesaikan isu teknikal dapat mempermudahkan penjawat awam melaksanakan dasar kepada orang awam.

Dalam erti kata lain, ahli parlimen kerajaan dan pembangkang bergerak ke depan atau  ‘Move Forward’ daripada dogma politik kepartian. Perkara ini sekurang-kurangnya dapat meredakan kebimbangan rakyat dan pemain industri. Parlimen juga dapat berfungsi sebagai institusi yang mencari jalan terbaik menyelesaikan cabaran dihadapi rakyat dan negara.

Tidak ada perubahan besar atau reformasi parlimen yang lebih penting melainkan ahli parlimen dan cabang eksekutif menghormati institusi perundangan sebagai badan yang penting untuk membuat keputusan kepada rakyat dan negara.

Komen