Pada 13 Mac lalu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Parlimen memberitahu Dewan Rakyat tentang Akta Perkhidmatan Parlimen atau Parliamentary Service Act (PSA) sudah 90% disiapkan dan sedang menunggu untuk dibentangkan di parlimen. Ini merupakan perkembangan positif dalam memperkuat sistem demokrasi berparlimen negara berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.
PSA adalah ‘ibu’ kepada agenda reformasi Parlimen negara. Usaha mengembalikan PSA ini sudah dibahaskan sejak sedekad yang lalu. Ahli akademik, wakil rakyat dan badan pemikir telah menghasilkan wacana dan bahan rujukan untuk memberi penjelasan kepada pembuat dasar dan masyarakat. Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka ruang lebih luas untuk PSA dilaksanakan.
PSA adalah sebuah akta yang memberi autonomi kepada parlimen mentadbir kendiri dari sudut sumber manusia, perancangan kewangan dan menetapkan hal tujunya seperti yang diamalkan di parlimen negara maju seperti United Kingdom dan Australia.
Hakikatnya, Malaysia telah melaksanakan PSA sejak tahun 1963, yakni lebih awal daripada Parlimen Australia yang mengamalkannya pada tahun 1999. Namun, disebabkan konflik dalaman pentadbiran Parlimen pada awal 1990-an dan pendirian kerajaan ketika itu untuk membuka peluang kepada penjawat awam Parlimen memperluas kerjanya berkhidmat di kementerian, maka PSA telah dimansuhkan pada tahun 1993.
Perubahan ini menyebabkan Parlimen dilihat seolah-oleh salah sebuah jabatan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dari sudut pentadbiran. Oleh itu, PSA kali ini akan meletakkan semula asas penting Parlimen Malaysia yang menjadi tunjang pemerintahan berdaulat Malaysia.
Bagi saya, PSA adalah kunci kepada kestabilan politik negara. Pasca PRU14 telah menjadikan Parlimen sebagai penentu kestabilan negara, bukan lagi Putrajaya. Persaingan politik yang bertambah rencam dan perbezaan jumlah kerusi kerajaan dan pembangkang yang hampir sama, menuntut keperluan parlimen untuk menjadi badan pengimbangan kepada pentadbiran negara.
Pengurusan pentadbiran negara yang kian kompleks dengan pelbagai karenah birokrasi memerlukan Parlimen mengangkat suara rakyat yang terkesan dengan dasar-dasar yang digubal. PSA juga boleh menjadi pemudah cara dalam membantu ahli parlimen menjalankan kerja-kerja semak dan imbang di Parlimen dengan menyediakan tenaga pakar, sumber manusia dan kewangan yang lebih baik jika dibandingkan situasi sekarang.
Penggubalan PSA harus datang dengan perubahan budaya di Parlimen, khususnya membentuk sikap dan kelakuan Parliamentarian dalam kalangan Ahli Parlimen dan Jemaah Menteri ketika menjalankan amanah di Parlimen.
Ahli Parlimen harus menunjukkan kualiti perbahasan yang tuntas dan kritis dalam menyemak dasar kerajaan, bukan sekadar bercakap tanpa pengisian yang boleh membantu rakyat dan negara. Menteri dan Timbalan Menteri pula perlu bersikap bersedia dan terbuka untuk menjawab pertanyaan Ahli Parlimen dengan informasi yang lengkap dan bukan separuh masak.
Kedua-dua pihak ini perlu menghormati perjalanan Parlimen dan menghormati keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) agar perjalanan Parlimen tidak dibazirkan dengan masalah politik kepartian dan isu-isu sekadar keratan untuk dipertontonkan di media sosial. Cerminan budi luhur inilah yang akan diperhatikan rakyat terbanyak dan bukan sekadar pelaksanaan undang-undang semata-mata.
Realitinya, PSA adalah akta yang akan meningkatkan peranan dwipartisan antara Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen untuk bekerjasama erat membentuk dasar dan menggubal undang-undang negara yang adil dan menyeluruh. Kerjasama ini adalah jawaban utama bagi melihat Parlimen yang seimbang dan efektif dalam menetapkan hala tuju negara dari sudut ekonomi, politik dan sosiobudaya.
PSA juga perlu difahami segenap masyarakat, khususnya anak muda yang mengikuti rapat perkembangan politik dan pentadbiran negara. Pengetahuan luas rakyat mengenai PSA akan meningkatkan lagi aspek integriti dan akauntabiliti pemimpin negara dalam menjalankan tanggungjawab kepada Parlimen berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan bukan atas citarasa pihak tertentu atas nama kuasa dan kepentingan politik.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.