Di Mana Isu Generasi Cicir Covid-19 Dalam Perancangan KPM?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

PADA 4 Januari yang lalu,  Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengumumkan perincian sekatan terbaharu untuk seluruh Britain berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19. Ia sekaligus mengesahkan penutupan sekolah dan pembatalan peperiksaan penting seperti GCSE & A-Level.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Britain membatalkan peperiksaan ini. GCSE, A-Level dan yang setaraf lainnya juga pernah dibatalkan pada 18 Mac 2020, ketika gelombang pertama Covid-19 melanda tahun lalu.

Bahkan di seluruh dunia, banyak negara telah mengambil pendekatan membatalkan peperiksaan besar ini. Seperti dicatatkan oleh World Bank, Norway telah membatalkan peperiksan bertulis untuk murid di tahun akhir sekolah menengah (gred 10) mereka. Daerah Uttar Pradesh di India membenarkan para pelajar dari gred 1 hingga 8  untuk naik gred seterusnya tanpa mengambil peperiksaan. Amerika Syarikat juga telah membatalkan peperiksaan SAT, sebuah peperiksaan untuk menentukan kemasukan ke universiti. International Baccalaureate (IB) juga batal, dengan kebanyakan pelajar akan dianugerahkan Diploma atau Sijil Kursus berdasarkan kerja kursus yang telah mereka siapkan.

Juga terdapat negara yang mengubahsuai cara peperiksaan dilaksanakan. Pelajar tahun 6 perubatan di Britain mengambil peperiksaan dalam talian buat pertama kalinya dengan menjawab 150 soalan dalam masa 3 jam. Walau peperiksaan tersebut dilaksanakan dalam format ‘open book’, adalah mustahil untuk para pelajar mencari semua maklumat jika tidak mempunyai pengetahuan asas yang diperlukan dalam bidang-bidang tertentu. Peperiksaan Advanced Placement (AP) di Amerika Syarikat juga dilaksanakan dalam talian. Di Jerman, peperiksaan untuk pelajar yang akan meninggalkan sekolah menengah tetap dilaksanakan dengan SOP yang ketat.

Republik Czech, Hong Kong, China, India dan Ireland semuanya menangguhkan peperiksaan kemasukan ke universiti masing-masing. Soalan yang patut kita kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini adalah, apakah pilihan terbaik yang kita ada hari ini? Apakah yang akan berlaku jika simulasi Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengunjurkan sehingga 8,000 kes sehari akan dicapai pada April 2021 berlaku?

Soalan ini penting kerana sehingga hari ini, kita hanya mengetahui bahawa peperiksaan SPM ditangguhkan ke Mac 2021 tanpa sebarang penerangan lanjut. Adakah kita punya beberapa pilihan lain selain penangguhan ini?

Adakah SPM boleh dilaksanakan secara dalam talian?

Adakah SPM boleh dilaksanakan hanya menggunakan guru sebagai pemeriksa seperti model Britain di atas?

Atau, adakah SPM boleh dibatalkan?

Ini semua penting kerana pada tahun 2020, anak murid di sekolah menghadiri kelas mereka kurang dari 6 bulan. Kita juga tidak dibekalkan dengan data kehadiran murid, termasuk data kehadiran pasca-Covid 19 ketika anak-anak mula memasuki sekolah semula pada 15 Julai 2020. Kerana data ini akhirnya akan memberi input untuk kita memahami peratusan cicir pasca Covid-19.

Sebelum pandemik, lebih dari 30,000 murid sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dilaporkan cicir dari sistem pendidikan nasional setiap tahun. Jumlah ini sudah pasti meningkat dengan lebih drastik pasca Covid-19. Tekanan ekonomi untuk keluarga B40 akan menyebabkan lebih ramai anak terpaksa bekerja untuk membantu keluarga masing-masing.

Ini seterusnya menyebabkan data tiga tahun ke belakang murid cicir nasional seperti yang dilaporkan oleh PADU tidak lagi boleh dijadikan panduan oleh pembuat polisi. Peratusan murid cicir Sekolah Menengah pada 2019 (1.14%), 2018 (1.21%) dan 2017 (1.36%) serta murid cicir Sekolah Rendah pada 2019 (0.12%), 2018 ( 0.15%) serta 2017 (0.29%)  adalah terlalu kecil serta tidak lagi menggambarkan sentimen dan sensitiviti semasa.

Bahkan data murid cicir nasional ini sebenarnya perlu diekstrapolasi bersama dengan perubahan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang kini naik dari RM 980 kepada RM 2208 pada tahun 2020. Selain itu, data murid cicir nasional ini juga hanya melihat satu perincian kecil dari keseluruhan gambaran sebenar masalah murid cicir iaitu kehadiran murid ke sekolah sahaja.

Bagaimana dengan murid yang cicir dalam beberapa subjek tertentu? Analisis pencapaian UPSR tahun 2019 menyatakan sekitar 21,567 murid mencapai gred G atau gagal Bahasa Melayu Pemahaman dan 27,680 murid gagal Bahasa Melayu Penulisan. Peratusan gagal ini semakin kritikal dalam Matematik dan Bahasa Inggeris. Sekitar 72,812 murid gagal Matematik, serta 62,287 murid gagal Bahasa Inggeris Pemahaman dan 94,905 lagi gagal dalam subjek Bahasa Ingeris Penulisan.

Analisis pencapaian SPM pula menunjukkan terdapat 4,321 orang murid mendapat semua G dalam subjek yang mereka duduki. Mereka ini adalah anak murid yang menjalani sistem pendidikan nasional sejak dari Tahun 1, tetapi mengapa mereka hanya mencapai gred G atau gagal dalam semua subjek yang mereka duduki setelah menjalani 11 tahun pembelajaran di sekolah? Apakah cara KPM menilai dan melihat situasi ini?

Manakala dalam subjek Bahasa Melayu pula, analisis SPM 2019 menyatakan sekitar 22,923 murid mendapat gred G. Hampir 75,360 murid gagal Bahasa Inggeris. 71,797 murid gagal Matematik. 28,757 murid gagal subjek Sains serta lebih dari 46,732 murid gagal mata pelajaran Sejarah.

Semua ini sebenarnya memberi kita beberapa petunjuk terhadap apa yang sedang berlaku.

Pertamanya, sebelum Covid-19 hadir, puluhan ribu anak murid tidak bersekolah dan tercicir dari sistem pendidikan nasional. Bahkan ratusan ribu lagi tercicir dalam subjek-subjek penting, serta hanya mencapai gred G atau gagal dalam peperiksaan besar.

Kedua, negara lain di seluruh dunia telah memodifikasi peperiksan di negara masing-masing sesuai dengan situasi pandemik di negara mereka. Apakah pilihan terbaik yang kita punyai untuk memastIkan kepentingan anak-anak terpelihara ketika pandemik masih belum surut dan reda?

Ketiga, ‘lost generation’ atau generasi cicir akibat Covid-19 ini tidak lagi dapat kita elakkan. Ada anak tadika yang masih belum mengenal huruf, akan mula masuk ke Tahun 1 pada Januari 2021 nanti. Ada anak Tahun 6 yang masih belum menguasai kemahiran asas sekolah rendah akan mula masuk ke Tingkatan 1.

Apakah simulasi pembuat dasar di KPM hari ini untuk anak-anak yang akan mula kembali ke sekolah nanti?

Adalah penting untuk difahami bahawa keciciran dalam pelajaran akan menyebabkan kesan berganda kemudiannya. Anak yang tercicir berkemungkinan besar tidak akan berminat lagi untuk menyambung pengajian mereka.

Golongan ini berpotensi besar untuk terjerumus ke kancah masalah sosial seperti dadah, rempit dan jenayah lain seperti mencuri. Bahkan pada skala yang lebih besar, produktiviti negara untuk tempoh 10 tahun ke hadapan boleh terjejas jika KPM masih mengambil enteng dengan apa yang sedang berlaku di peringkat sekolah pada hari ini.

Lebih banyak analisis perlu dilakukan, terutamanya melibatkan isu ‘lost generation’ kerana ianya terkait dengan adaptasi serta kemahuan berubah yang perlu KPM laksanakan pasca pandemik ini berlaku.

Bagaimana dengan prestasi anak warga B40 pasca pandemik?

Bagaimana dengan keputusan anak warga pedalaman setelah hadir ke sekolah kurang dari 6 bulan pada tahun 2020?

Bagaimana jumlah kehadiran anak orang asli setelah sekolah mula dibuka nanti serta apa langkah proaktif yang perlu dilaksanakan berkait isu pendidikan orang asli pasca pandemik?

Hanya dengan meletakkan keutamaan kepada isu generasi cicir Covid-19 ini, pembuat dasar di KPM akan berupaya melihat apakah kesannya kepada negara melangkaui tempoh 10 tahun ke hadapan.

Komen