DALAM kedinginan malam, saya berdiri di hadapan rak buku peribadi, sambil berteka-teki memilih bahan bacaan untuk malam itu, lalu saya ketemukan buku tulisan Ahmad Sobary Tikuse pada Ngidung. Dalam bukunya, beliau menuliskan;
“Politik tidak dengan sendirinya menjadi kotor. Ia hanya kotor di tangan orang-orang yang otaknya penuh kekotoran.”
Saya mula tertarik kemudian menyambung kembali bacaan yang ditulis.
“Moral hidup dapat terpelihara baik di tangan penguasa. Moral hidup kemudian mati mengenaskan, juga di tangan penguasa. Bila calon penguasa yang watak dasarnya sudah otoriter, ia akan sendirinya menampilkan warna dan tingkah laku politik yang kotor jahat dan kejam.”
Saya terus meletakan penanda buku pada halaman yang sedang dibaca supaya tidak teralih muka surat itu. Melihat kiri dan kanan mencari tempat yang paling sesuai melabuhkan punggung. Setelah ketemu kerusi empuk, saya teruskan bacaan.
“Dalam hal ini, politik menyimpang secara leluasa dari idealisme. Makin lama secara perlahan politik tidak ada kaitan dengan idealisme. Dengan sendirnya politik berjalan tanpa moralitas yang diharapkan masyarakat… kita tak menyedari bahawa kita hidup tanpa moralitas lagi. Mungkin persis seperti kondisi kita sekarang ini, pada akhirnya nampak jelas dimana-mana para koruptor saling berebut keselamatan. Pengadilan dengan segenap lawyer-nya yang gagah dan kaya, tak lebih sebagai tempat mencari keselamatan bukannya tempat membuktikan kebenaran hukum secara jujur.”
Saya menutup semula buku, lalu meletakannya ke tepi. Dengan dua biji mata yang menatap ke dinding, cuba merefleksi apa yang dikata Ahmad Sobary tadi dengan keadaan sekeliling yang sedang kita alami.
Di Malaysia, masih ada yang secara terang-terangan menyokong pemimpin atau mantan pemimpin yang korup. Malah mereka menolak pemimpin yang ada idealisme demi menyokong sosok pragmatik tadi, yang menyimpang dari tujuan sebenar semata-mata demi mencapai keuntungan diri. Tak ubah seperti real politics.
Real politics itu jelas sudah menyimpang dari sesuatu yang luhur dan mulia, namun ada segelintir penyokong yang mengakui bahawa penyimpangan ini merupakan sebahagian dari kewajaran dan harus dilakukan. Dari sini adanya birokrat yang bersekongkol sehingga mendapat asetnya melebihi pendapatannya. Bahkan adanya peguam yang dikata menjunjung hak demokrasi, membela mereka yang korup seolah-olah yang dibela itu orang mulia dan harus dimuliakan selamanya.
Bayangkan bagaimana adanya pemimpin, elit ataupun birokrat yang punyai simpanan wang di dalam bank berjuta-juta ringgit melebihi dari gaji mereka. Namun itu tidak dianggap aneh, penyokongnya masih menyokong tanpa ada rasa segan dan silu dengan harapan bahawa pemimpin ini tidaklah korup, lalu wajar diikuti.
Seperti yang dikata Ahmad Sobary;
“Makin lama orang menganggap seolah apa yang disebut real politics – yang bererti kotor, jahat dan kejam – itu menjadi kemuliaan tersendiri. Orang-orang baik di negeri ini, yang nalar politik dan kebudayaannya sihat, yang mencitai negerinya seperti mencintai ibunya sendiri merasa frustrasi di tengah penyimpangan demi penyimpangan yang dirayakan sebagai kemuliaan.”
Dimana-mana orang bicara soal demokrasi, tetapi tak ada seorang pun yang peduli terhadap moral kita yang telah mati.
Mana tidaknya, demi penyokong pemimpin atau bekas pemimpin yang korup tadi kita sanggup membangun budaya hooligan. Menyerang manusia lain secara fizikal, menakut-nakutkan, mengherdik atau mencaci secara kurang ajar semata-mata untuk membuktikan yang pihak mereka saja yang benar. Tidak ada lagi budaya ilmu, mengkritik dengan idea dan tulisan. Tidak ada lagi bacaan kritis untuk mendidik masyarakat apa sepatutnya yang dijaga. Malah kalau mangsa yang digertaknya lari dibilang pengecut. Tak salah untuk tidak bersetuju, tapi bukan dengan menghidupkan budaya barbarik. Nantinya bukan akhir zaman, tapi zaman jahiliah.
Tak habis di situ, ada juga yang sanggup bertarung di alam maya dengan menyebarkan segala berita palsu sehingga menyebabkan masyarakat panik, timbul perasaan inferior dengan satu sama yang lain, mula meragui keihklasan dan keselamatan manusia. Lalu timbulah fahaman rasisme, chauvinisme, ketuanan semata-mata untuk meraih sokongan buat parti yang mereka sokong. Masyarakat terpecah belah tak mengapa asalkan mereka dapat kembali berkuasa. Kononya ini semua untuk bina persepsi, biar sistem demokrasi (undian) nanti milik mereka tapi sayang moralnya mati.
Malah media massa juga masih merangkul para koruptor atau mantan koruptor, politikus busuk sebagai ikon mereka. Jangan terkejut ada di antara mereka yang dijemput ke universiti pusat pengajian paling tinggi dan paling mulia di negara ini untuk berhujah atau membahas soal kepentingan masyarakat. Tidakkah ini sangat ironis? Media massa ini peranannya besar, malah ia akan meracuni malah selalu meracuni pemikiran masyarakat. Jika tidak berpihakan, maka bersedialah untuk menerima gelombang kematian moral yang terbesar.
Benarlah kata Ahmad Sobary, pemimpin itu boleh jadi penentu moral atau pemusnah moral secara total, kerana mahu atau tidak masyarakat kita masih percaya dengan konsep wira. Idea itu masih sukar untuk dipecahkan dominasinya. Jelas demokrasi kelihatannya hidup. Kerana segala hal yang terjadi sama ada buruk atau baik sepertinya dilakukan secara demokratis. Namun bagaimana dalam demokrasi? Moral terbunuh tanpa seorang pun yang boleh didakwa atau dipertanggungjawabkan dalam pembunuhan itu?

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.