Kemelut politik Malaysia hari ini merupakan sesuatu yang mengejutkan. Berlaku pelbagai gerakan secara tiba-tiba yang membuatkan kita berfikir tentang apa lagi yang bakal berlaku.
Namun dalam segala kekalutan ini, muncul Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sedang mengendalikan ragam orang politik dengan cukup tenang.
Baginda tidak melatah, malah berusaha secara teliti dan perlahan-lahan menyelesaikan masalah yang sedang berlaku ini.
Pertama, baginda mengambil langkah mendengar dahulu daripada dua individu penting di sebalik masalah ini, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Selepas itu, baginda memutuskan dua perkara penting. Pertama melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim dan membatalkan semua pelantikan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik.
Ini merupakan kunci terpenting kepada penyelesaian masalah yang sedang terjadi. Baginda faham bahawa Pakatan Harapan sudah kekurangan bilangan kerusi dan kerajaan sudah tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya.
Maka Baginda menggunakan kuasa yang ada dengan meminta Ketua Setiausaha Negara menjalankan segala urusan pentadbiran yang diperlukan.
Disebabkan itu kita melihat kenyataan akhbar rasmi selepas itu dikeluarkan oleh KSN sendiri.
Ini melihatkan tentang bagaimana Baginda memahami fungsi pentadbiran awam dan penjawat awam itu sendiri. Baginda mengetahui bahawa dalam keadaan kusut seperti ini, penjawat awam menjadi tulang belakang dalam memastikan urusan harian kerajaan berjalan seperti biasa.
Oleh itu, Baginda memutuskan untuk bertemu secara individu, seorang demi seorang setiap Ahli Parlimen (222 orang).
Ia dijalankan secara tertutup dan KSN menjadi saksi. Sekali lagi, Baginda meletakkan kedudukan penjawat awam di tahap sewajarnya.
Baginda mahu mengetahui sendiri, keputusan setiap Ahli Parlimen. Baginda tidak mahu mendengar daripada wakil sahaja. Ini sekali lagi membuktikan ketelitian Baginda sebagai institusi pemerintahan tertinggi negara.
Baginda faham dalam keadaan seperti ini, Baginda perlu menjalankan peranan secara lebih mendalam dan suara setiap Ahli Parlimen itu perlu didengari secara satu persatu oleh Baginda.
Sebelum itu, Baginda sudah memanggil Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dan ini sudah tentu dilakukan untuk mendapatkan nasihat perundangan.
Malaysia beruntung memiliki Baginda sebagai pemerintah yang mempertimbangkan secara teliti semua perkara sebelum membuat apa-apa keputusan.
Baginda tahu ini ialah tentang kepentingan rakyat dan ia perlu diputuskan dengan cermat.
Begitulah Yang di-Pertuan Agong kita, menjadi pengimbang dalam kosmos politik dengan wisdom dan pemikiran yang terbuka.
Suatu imej yang powerful apabila Baginda berdiri di hadapan pagar istana, bertitah kepada puluhan wartawan dengan memberi jaminan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
“We are very concerned. Be patient. Let me do my duty. I hope to find the best solution for the country.”
Daulat Tuanku!
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.