COVID-19 Dan Wabak Taun Di Zaman Umar: Iktibar Dan Tauladan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Mendepani tahun 2020, dunia dikejutkan dengan penularan satu virus dari Wuhan, China yang telah menyebabkan ribuan manusia terkorban. Virus Novel Corona ini turut tersebar hingga ke Malaysia.

Menurut laporan Harian Metro, setakat Februari ini, Malaysia telah mencatat 21 kes berhubung virus tersebut. Ini menimbulkan satu suasana yang menakutkan bagi rakyat di seluruh tanah air.

Penularan yang dilaporkan turut tersebar melalui udara menambah kegerunan bagi segenap lapisan masyarakat. Tambahan pula, para pengkaji masih lagi tidak menemukan sebarang ubat anti-virus bagi wabak ini.

Sebenarnya, wabak seperti ini adalah persis seperti penularan wabak taun pada zaman Umar R.A. Selama 10 tahun dunia Islam dipimpin oleh Umar bin Khattab menyaksikan berlaku suatu tragedi hitam dalam lipatan sejarah Islam.

Wabak Taun yang berasal daripada suatu perkampungan bernama Amwas di Palestin telah menyebabkan ramai terkoran. Penularan dan penyebaran adalah sangat aktif dan drastik sehingga menjangkiti masyarakat di Kawasan dan wilayah sekitarnya.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Taun atau kolera adalah salah satu penyakit bawaan air dan makanan utama yang berpunca daripada jangkitan bakteria. Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit serta gejala yang teruk yang boleh membawa maut kerana dehidrasi yang teruk.

Keadaan di zaman tersebut sangat membimbangkan Khalifah Umar ketika tersebar di negeri Syam. Apabila penyakit taun menjangkiti seorang sahabat baginda S.A.W. iaitu Abu Ubaidah al-Jarrah maka Khalifah Umar berhasrat untuk melawat beliau.

Namun demikian, lawatan yang dirancang dibatalkan. Ini berlaku sebaik sahaja Umar bin Khattab mendengar Abdul Rahman b Auf membaca sebuah hadis yang bermaksud:

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wabak yang tersebar melalui bekalan air ini berpunca daripada mayat-mayat tentera Rom yang tidak terurus. Ditambah pula dengan jumlah kematian tentera mereka yang sangat besar menjadi titik permulaan kepada tersebarnya Taun di Amwas.

Lawatan yang dirancang oleh Umar b Khattab adalah kerana sikapnya yang prihatin kepada rakyat. Beliau juga terkenal dengan sifat suka berjalan di waktu malam bagi menyelidiki keadaan sebenar rakyatnya. Tambah menguatkan keinginan beliau ke Syam ialah kerana Abu Ubaidah al-Jarrah turut terkena wabak tersebut.

Sebenarnya tatkala di peringkat awal penyebaran taun di Syam lagi, Umar telah menulis surat bagi memanggil Abu Ubaidah untuk pulang ke Madinah. Ini kerana Khalifah Umar bercita-cita untuk mencalonkan Abu Ubaidah sebagai salah seorang calon Khalifah.

Namun demikian, Abu Ubaidah dengan tegas menolak dengan menyatakan bahawa beliau merupakan pemimpin disini. Maka tidak selayaknya bagi dirinya untuk meninggalkan mereka.Taun turut mengorbankan beberapa sahabat lain termasuklah Muaz bin Jabal dan Syurhabil bin Hasanah. Wabak yang pertama menguji umat Islam tanpa penawar di zaman tersebut.

Kini, wabak yang persis melanda global. Wabak yang membawa kecederaan fatal iaitu wabak yang mematikan, menyerang umat manusia di segenap alam. Meskipun demikian, iktibar yang besar ditunjukkan oleh baginda S.A.W dalam hadisnya.

Larangan tersebut yang membatalkan hasrat Umar adalah satu proses kuarantin yang diajarkan secara tidak langsung oleh baginda. Proses kuarantin adalah suatu yang sangat penting agar wabak dan penyakit tidak tersebar sehingga boleh membawa mudharat yang lebih besar.

Pandangan Dr. Mohd Asri dalam laporan Harian Metro menyebutkan bahawa sekiranya proses kuarantin telah dijana namun manusia tetap dijangkiti wabak tersebut. Maka seharusnya dia mencari penawar untuk menyembuhkan penyakitnya. Ini kerana Islam menyeru umatnya untuk mencari penawar bagi setiap penyakit. Sabda baginda yang bemaksud:

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim)

Tindakan Umar yang membatalkan kunjungan adalah suatu pelajaran sejarah dalam menghadapi situasi ini kerana mendedahkan diri kepada wabak penyakit adalah suatu perkara yang boleh membawa kepada kemudharatan dan kebinasaan.

Manakala tindakan Abu Ubaidah yang tetap tinggal di tempat tersebarnya wabak juga wajar dijadikan iktibar. Hal ini kerana apabila tersebarnya wabak seperti ini, kita tidak seharusnya mengambil inisiatif untuk bergerak meninggalkan kawasan tersebut untuk tujuan tertentu sama ada melancong atau berpindah kerana ketakutan.

Ini kerana kita bukan sahaja berkemungkinan membawa virus yang membahayakan diri. Malahan turut memungkinkan penyebaran virus ke wilayah yang baru. Akhirnya, langkah-langkah pencegahan patut diambil perhatian besar oleh masyarkat Malaysia kini kerana penularan wabak ini sudah mencatat peningkatan di tanah air.

Tentang Penulis

A.R. Kasa adalah mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya.

Komen