USMAN AWANG, Sasterawan Negara Malaysia telah mengungkapkannya dengan cukup indah.
Curiga membawa maksud syak wasangka, waswas atau sangsi. Sapa pula membawa maksud tegur. Ungkapan Usman Awang adalah jelas, dengan teguran kita menghilangkan rasa syak wasangka, waswas atau sangsi tadi.
Rasa curiga selalunya timbul apabila kita berdepan dengan seseorang atau sesuatu yang tidak kita kenali atau menjadi kebiasaan. Kita curiga pada orang asing. Kita juga curiga pada orang yang lain budaya dan kepercayaannya dari kita.
Tetapi melalui bersapa, atau dengan tegur-menegur kita memecahkan dinding perbezaan tadi dan mula mengenali satu sama lain untuk mencari persamaan dan memahami perbezaan.
Di dalam negara Malaysia yang majmuk ini, dimana rakyatnya terdiri dari pelbagai etnik dengan latar budaya dan agama yang berbeza, rasa curiga itu pastinya tidak boleh dinafikan. Apatah lagi jika kita duduk terpecah-pecah tanpa bergaul antara satu sama lain.
Mengenali Kristian
Saya pernah bekerja dan menetap di Sabah lebih 10 tahun lalu. Ketika bermastautin di sana, saya pernah menjalin hubungan dengan seorang gadis Kadazan.
Kami berbeza agama. Saya Muslim dan dia seorang Kristian. Tidak dinafikan, perbezaan agama kami menjadi sedikit halangan untuk hubungan tersebut dibawa ke peringkat seterusnya. Apatah lagi mengikut undang-undang di Malaysia yang menghalang perkahwinan berlainan agama khususnya bila melibatkan orang Islam, juga halangan pertukaran agama untuk mereka yang telah beragama Islam.
Namun dalam usaha untuk kami mengenali satu sama lain, saya sentiasa bersikap terbuka untuk mendalami budaya dan kepercayaan miliknya. Pada pandangan saya, adalah tidak adil jika hanya si dia yang perlu mempelajari budaya dan kepercayaan saya.
Maka pernah sekali saya menawarkan diri untuk menenami si dia ke gereja pada hari Ahad, untuk menghadiri Misa Ahad yang merupakan upacara ibadah mingguan besar penganut Kristian sebagaimana penganut Islam pada hari Jumaat. Ia bukanlah lawatan pertama saya ke gereja, kerana sebelumnya saya pernah juga hadir untuk upacara perkahwinan kenalan beragama Kristian.
Walaupun pernah hadir ke upacara Misa Ahad, tidak sedikit pun ia menggugat iman saya sebagai seorang Muslim. Tetapi pengalaman tersebut membuka mata saya untuk mempelajari dan memahami lebih lagi tentang agama Kristian. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang berlaku di dalam gereja pada setiap hari Ahad.
Hubungan saya dan gadis Kadazan itu tidak panjang. Perbezaan agama menjadi halangan utama kepada kami. Namun saya hargai masa-masa yang kami dapat luangkan bersama serta kesempatan yang diperolehi untuk memahami budaya Kadazan dan kepercayaan Kristian si dia.
Ia juga membantu saya mengikis rasa curiga yang lazimnya tertanam dalam kebanyakan kelompok Melayu Islam di Malaysia terhadap mereka yang beragama Kristian. Kepercayaan tahyul seperti adanya paderi Melayu, adanya usaha Evangelis Kristian untuk memurtadkan orang Muslim pada skala besar, bagaimana Holy Water kononnya boleh menjadikan seorang Muslim hilang upaya membaca Al Quran dan sebagainya.
Kepercayaan tahyul ini sangat berakar umbi hinggakan ada kelompok Melayu Islam tidak senang duduk bila ada wakil rakyat bukan Melayu dan beragama Kristian diangkat sebagai pemimpin seperti Hannah Yeoh, bahkan pernah pada satu masa ada usaha dibuat untuk menyelusup masuk ke gereja kononnya bagi membongkar aktiviti mubaligh Kristian di gereja.
Curiga Yang Membunuh
Mungkin ramai yang sudah lupa satu insiden yang pernah berlaku pada tahun 2009 apabila dua orang wartawan majalah Al-Islam terbitan Utusan Melayu menyamar sebagai penganut agama Kristian dan masuk ke dalam gereja kononnya demi usaha membongkar gejala murtad di kalangan orang Melayu.
Dua orang wartawan ini sanggup menyertai upacara keagamaan Kristian pada hari Ahad di Kuala Lumpur, terlibat secara langsung dalam upcara tersebut bahkan sanggup diberi makan roti putih oleh paderi sebagai sebahagian dari tatacara dalam upacara keagamaan tersebut.
Tanpa menyedari kepentingan dan implikasi roti putih berkenaan, kedua-dua wartwan Al-Islam tersebut membawanya pulang ke pejabat untuk dimuntahkan. Mereka juga mendapati dakwaan ada orang Melayu murtad di gereja setiap hari Ahad adalah tidak benar, sebaliknya apa yang mereka alami ialah kebaikan dan kemesraan para penganut agama Kristian yang terdiri dari bangsa bukan Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta segelintir pendatang asing yang migran ke Malaysia.
Pengalaman masuk ke gereja ini diterbitkan oleh mereka dalam artikel berjudul “Tinjauan Al-Islam Dalam Gereja: Mencari Kesahihan Remaja Melayu Murtad” dalam majalah Al-Islam edisi Mei 2009. Atas tindakan tersebut, ia mengundang rasa marah dan tersinggung dari para penganut agama Kristian kesan dari tindakan tidak sensitif kedua-dua wartawan itu.
Tetapi rasa marah dan tersinggung itu tidaklah diterjemahkan dengan demonstrasi jalanan oleh penganut Kristian. Sebaliknya, Uskup Agung Tan Sri Murphy Pakiam yang mewakili gereja Katolik di Malaysia menyatakan cukup sekadar meminta maaf atas perbuatan dua wartawan majalah Al-Islam tersebut yang dikira menghina dan mempermainkan agama Kristian. Kes ini kemudian dianggap selesai tanpa sebarang pendakwaan dibuat ke atas pihak majalah Al-Islam.
Kita tidak boleh membayangkan jika perkara yang sebaliknya berlaku. Bayangkan jika dua orang wartawan bukan Islam menyusup masuk ke masjid pada hari Jumaat dan menyamar sebagai Muslim kononnya untuk mendedahkan adanya remaja bukan Islam didakwah masuk Islam? Implikasinya mungkin jauh lebih teruk seperti yang pernah dinukilkan dalam artikel di laman Solidaritas.
Kesimpulannya, insiden yang berlaku pada tahun 2009 itu adalah akibat timbulnya rasa curiga yang membunuh di kalangan kita rakyat Malaysia. Membunuh apa? Membunuh perpaduan antara kaum dan agama.
Tindakan dua wartawan Al-Islam itu adalah kerana percayakan tahyul yang saya sebutkan tadi. Kononnya ada usaha terancang oleh pihak gereja untuk murtadkan seramai mungkin orang Melayu Islam, adanya usaha tersembunyi memberikan minum Holy Water supaya anak Melayu tidak boleh mengaji Al-Quran dan pelbagai lagi. Semuanya kerana kita berasa curiga kepada mereka yang berlainan agama.
Jom Ziarah
Walaupun tidak dinyatakan dengan terperinci, saya kira program ‘Jom Ziarah’ yang diusahakan oleh NGO Impact Malaysia tercetus kesan dari insiden lalu seperti kontroversi wartawan Al-Islam masuk ke dalam gereja. Malahan tujuan program tersebut dinyatakan dengan jelas untuk mendedahkan golongan belia tentang pelbagai agama di Malaysia menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawanan. Ianya adalah sebahagian dari Projek Artikel 11, merujuk kepada artikel yang ke-11 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberi semua warganegara jaminan kebebasan beragama.
Program Jom Ziarah bermula dengan lawatan ziarah ke Masjid Wilayah Persekutuan pada 4 Mac 2023 diikuti ziarah ke Gurdwara Sahib pada 11 Mac. Kedua-dua ziarah ini tidak mencetuskan sebarang kontroversi dan berjalan seperti biasa. Kekecohan tercetus apabila program ziarah yang ketiga iaitu ziarah ke Church of Our Lady Lourdes, sebuah gereja di Klang, Selangor.
Jelas sekali, rasa curiga dan ketakutan kelompok Melayu Islam kepada agama Kristian dan institusi gereja masih lagi menebal.
Susulan kekecohan yang berlaku, program Jom Ziarah dihentikan sepenuhnya. Lawatan ziarah ke gereja, dan kuil serta tokong yang dijadualkan selepas itu terpaksa dibatalkan. Malahan, Menteri Belia dan Sukan memberitahu di dalam Dewan Rakyat bahawa NGO di bawah kementerian telah dimaklumkan untuk memberhentikan program berkaitan perpaduan kerana ianya tidak terletak di bawah skop kementerian tersebut. Segala gambar, poster atau perkongsian berkenaan program ini di media sosial telah dipadam selamanya.
Kekecohan yang berlaku ini ditimbulkan oleh puak pelampau kanan. Bermula dengan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang membuat laporan polis, seterusnya dipermainkan oleh blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) serta segelintir dari pemimpin UMNO yang mahu kekal relevan. Dalam hal ini, mereka menang mudah kerana program tersebut bukan sahaja dibatalkan malah dipadam terus dari ingatan buat selamanya bahkan diberikan jaminan tidak akan berlaku pada masa akan datang oleh menteri sendiri.
Ralat saya tentu sekali adalah, dalam satu lagi isu yang dimainkan oleh pelampau fasis sayap kanan, kita yang berada dalam golongan moderat atau sayap kiri mudah sekali tunduk dan akur tanpa sedikit pun cuba melawan.
Jika kita berfikiran tunduk dan akur ini boleh menagih sokongan, maka kita silap besar.
Simpati saya adalah pada penggerak dan sukarelawan di Impact Malaysia. Program yang bercambah dari buah fikiran mereka ini sudah cukup bagus dalam usaha mengajak belia Malaysia mengenali agama satu sama lain dan memupuk perpaduan rentas kaum dan agama. Tetapi ianya telah dikuburkan begitu sahaja akibat mainan api perkauman dan keagamaan golongan fasis.
Apa salahnya untuk belia Muslim masuk ke gereja selagi tidak terlibat dalam upacara keagamaan, jika hanya untuk kenal dan faham tentang agama lain atas nama memupuk perpaduan sejagat?
Bukankah Yang di-Pertuan Agong sendiri pernah hadir ke gereja menyertai upcara pengebumian mendiang Ratu Elizabeth, sebagai contoh? Bukankah ramai anak golongan T20 yang berpeluang ke luar negara, melawat gereja dan katedral indah di Eropah untuk memori Instagram mereka? Kenapa kita mahu nafikan peluang yang sama kepada anak marhaen mempelajari kepelbagaian agama di tanah air mereka sendiri?
Jika kepimpinan ABIM boleh terbang ke India untuk menziarahi Dalai Lama dan memakaikannya songkok, aapa salahnya belia Melayu Islam berkunjung ke gereja rakan sebaya mereka?
Kita sudah kehilangan satu peluang untuk mengajarkan erti perpaduan kepada generasi baharu, serta memadamkan kecurigaan yang wujud hingga pernah mencetuskan kontroversi seperti tindakan wartawan Al-Islam masuk ke gereja 14 tahun lalu. Semuanya kerana kita tunduk pada desakan pelampau fasis.
Kata Usman Awang, bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?
Mustahil untuk kita bunuh kecurigaan itu, jika bersapa pun langsung tidak dibenarkan.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.