Wartawan Muslim Cemar Sakramen Ekaristi?!
Dua orang wartawan bukan Islam, dalam usaha mereka untuk menyiasat jika ceramah-ceramah agama yang disampaikan di masjid ada menghasut umat Islam melakukan keganasan, telah menyamar sebagai Muslim dan masuk ke masjid ketika berlakunya ceramah agama. Mereka duduk di kalangan umat Islam, berpakaian seperti mana lazimnya umat Islam di masjid, berpura-pura melakukan solat dan secara curi-curi mengambil gambar kawasan dalaman masjid ketika berlakunya ceramah dan solat.
Sebulan kemudian, laporan penyiasatan mereka terbit di majalah bersama gambar curi yang diambil. Mereka menulis bahawa tidak ada hasutan atau propaganda yang menyeru kepada keganasan ketika ceramah agama berlangsung, tetapi perbuatan mereka mengakibatkan sebahagian besar umat Islam naik angin dan mahu tindakan undang-undang diambil ke atas wartawan tersebut. Alasannya, kedua wartawan itu telah mencemari tempat suci dan mempermainkan upacara ibadat Islam.
Kita boleh bayangkan sebahagian besar umat Islam berarak selepas solat Jumaat dengan rasa marah, mungkin akan membakar patung-patung yang melambangkan wartawan tersebut atau majalah yang menerbitkan artikel itu.
Tapi bagaimana jika yang sebaliknya berlaku?
Dua wartawan Al Islam, dalam usaha mereka untuk membongkar gejala murtad di kalangan orang Melayu, telah menyamar sebagai Kristian dan masuk ke gereja dalam upacara Perjamuan Kudus atau Sakramen Ekaristi (Holy Communion), mengambil bahagian dalam upacara Katolik ini, memakan roti suci, mengambil gambar di dalam gereja dan juga gambar roti suci yang dimuntahkan kembali oleh mereka.
Dan pada masa yang sama melaporkan bahawa gejala memurtadkan orang Melayu yang berlaku di gereja seperti yang didakwa rupanya tidak berlaku.
Jadi apa matlamat yang dapat dicapai melalui kononnya investigative journalism oleh dua wartawan Al Islam itu?
Tiada apa-apa. Melainkan gambar curi di dalam gereja tentang upacara yang berlangsung dan gambar roti suci yang dimuntahkan.
Bagi yang tidak faham signifikan Perjamuan Kudus dalam agama Kristian, ianya adalah kelangsungan dari peristiwa Perjamuan Terakhir (Last Supper) bila mana Isa memberikan roti dan wain kepada para pengikutnya.
“And he took bread, and when he had given thanks, he brake it, and gave it to them, saying, This is my body which is given for you: this do in remembrance of me.”
Luke 22:19
Simbolik roti itu mewakili jasad Isa manakala wain itu mewakili darahnya. Dan Perjamuan Suci ini dilakukan demi mengingati Isa dan ianya merupakan satu upacara ibadat penting dalam agama Kristian. Malahan para penganut Kristian sendiri tidak dibenarkan membawa pulang roti suci itu tetapi sebaliknya dikehendaki menjamahnya di dalam gereja.
Jadi apakah perasaan penganut agama Kristian bila dua wartawan beragama Islam menyamar sebagai Kristian, mengambil bahagian dalam Perjamuan Suci, memakan roti suci dan kemudian memuntahkannya untuk diambil gambar?
Islam agama rasmi di Malaysia tapi itu tidak bermakna dua wartawan dari sebuah majalah keagamaan Islam mempunyai hak untuk berlaku sewenangnya hingga menghina agama lain.
Hampir 90% pembaca laman ini berbangsa Melayu rasanya. Mungkin semuanya beragama Islam. Bayangkan jika bukan Islam mencuri masuk ke masjid, menyamar sebagai Muslim dan membawa keluar barang-barang di dalam masjid untuk dokumentasi mereka. Apa perasaan kamu?
Jangan Jadi Sensitif Kalau Kita Sendiri Tidak Boleh Sensitif Pada Orang Lain
Kesimpulannya, tidak kira kita penganut agama mana sekalipun adalah satu kemestian untuk kita menghormati agama orang lain.
Dalam erti kata lain, tidak ada siapa yang berhak memijak Al-Quran, merosakkan altar Tua Pek Kong, mencacatkan patung Ganesha atau memuntahkan roti suci pemberian paderi dalam Perjamuan Kudus.
Tidak kisah jika Tuhan yang kamu sembah itu lebih besar atau agung, atau ianya terpaut dalam rangkaian trisakti, atau jelmaan dari haiwan suci atau pun api. Bila menyentuh mengenai agama lain, wajib untuk kamu hormat dan tidak menghina kepercayaan orang lain.
Kita tahu setiap agama menyeru kepada kebaikan. Berbuat baik sesama saudara kamu dan juga manusia yang lain. Tapi dalam ribuan tahun kehidupan manusia, malahan semenjak idea-idea keagamaan muncul dalam minda manusia, kita tidak berhenti-henti berperang atas nama agama.
Tidak perlu bercakap tentang Perang Salib antara Kristian dan Islam. Malahan mereka yang sama kepercayaan atau agama juga pernah berbunuhan satu sama lain. Lama dulu kerajaan Hindu Tamil di India pernah menyerang kerajaan Hindu Melayu di Asia Tenggara kerana berebutkan status pusat penyebaran ajaran Hindu. Di Eropah dulu, Inkuisisi Sepanyol punca ribuan nyawa menjadi korban, kebanyakannya penganut agama Kristian itu sendiri.
Yang bersalah bukan agama tapi manusia itu sendiri. Kita yang sebenarnya memporak-perandakan keadaan.
Di Malaysia ini, kerana Islam diiktiraf agama rasmi dan Melayu itu sudah termaktub dalam perlembagaan mesti beragama Islam, maka kita melihat bagaimana isu Melayu bertukar agama sebagai sesuatu yang sangat sensitif.
Lebih-lebih lagi jika pertukaran itu kepada agama Kristian.
Memang antara Islam dan Kristian ada perseteruan yang tiada penghabisannya. Dua agama Ibrahimiah yang tidak sependapat dan melihat antara satu sama lain sebagai saingan mereka. Dalam konteks Malaysia, ianya terbawa-bawa hingga ke isu perkauman dan kuasa.
Macam apa yang berlaku dalam kes wartawan Al Islam masuk gereja, semuanya kerana khabar angin tentang remaja Melayu dikristiankan secara besar-besaran di gereja.
Akhirnya benda yang dicari tidak kelihatan tetapi mungkin sebab sudah terlanjur membuat siasatan, artikel tetap diterbitkan.
Masalahnya mungkin kerana kurang kefahaman tentang selok-belok Kristian, penyamaran dua wartawan Al Islam tersebut sudah menjadi satu penghinaan ke atas apa yang dianggap upacara suci bagi penganut Kristian.
Sebenarnya kurang kefahaman bukanlah alasan yang sesuai. Sia-sia menjadi wartawan jika kamu tidak selidik terlebih dulu perkara yang kamu sendiri mahu siasat.
Silap besar. Dan lebih besar lagi bila apa yang dilakukan itu sebenarnya menghina kepercayaan orang lain.
Ini bukan soal aku mahu menyalahkan Islam dan membela Kristian, macam yang disyaki sesetengah pembaca. Tapi ianya tentang bagaimana kita harus lebih sensitif tentang kepercayaan orang lain dan menghormatinya.
Di kalangan penganut Islam mereka sangat sensitif bila Islam dihina atau dicaci. Tapi tidak pernah pula mereka cuba untuk sensitif terhadap agama lain, sensitif agar tidak sampai menyinggung atau mempersendakan kepercayaan orang lain.
Bagaimana agaknya kita menjangkakan penganut agama lain untuk menghormati dan sensitif terhadap Islam jika kita sendiri tidak berlaku demikian?
Mungkin makan secubit roti putih dan memuntahkannya bukan perkara besar tapi kita harus sedar simbolik roti putih itu di kalangan penganut Kristian sebagai mewakili jasad Isa.
Seperkara lagi, khabar angin mengenai gejala memurtadkan Melayu oleh pendakyah Kristian dari dulu hingga kini memang tidak pernah basi dihebahkan. Tapi layak dengan namanya khabar angin tidak pernah pula dibuktikan secara sahih.
Kita semua mungkin sudah biasa dengan kisah “1900 orang paderi Melayu dari Singapura sedang aktif di Seremban, memurtadkan Melayu dengan menggunakan sihir”. Emel berantai yang aku dapat semenjak tahun 2005, malah tahun ini pun aku masih dapat. Atau SMS tentang proses pembaptisan anak-anak Melayu secara besar-besaran di Ipoh, Perak satu masa dulu.
Dalam kebanyakan kes semua kisah yang dihebahkan tidak diketahui mana sumbernya. Sahih atau pun tidak? Pernah kecoh di Universiti Malaya ratusan pelajar perempuan Melayu menjadi Kristian, tapi bila dicari si polan mana yang terkena tidak pula diketahui.
Khabar angin, cerita mulut, rumour, hearsay, pokpek pokpek; berdasarkan benda sebegini dua wartawan Al Islam yang terlebih kreatif tapi kurang sensitiviti masuk gereja, ambil bahagian dalam Perjamuan Kudus kononnya untuk mendedahkan laporan paling sensasi dalam karier mereka.
Tapi hasilnya hampas. Dan kerana kurang kefahaman atau tidak sensitif langsung, laporan penyiasatan yang dibuat menjadi isu kontroversi.
Niat aku bukan mahu besar-besarkan isu. Tapi apa yang kita boleh belajar di sini ialah banyak manfaatnya jika kita dapat berusaha untuk memahami satu sama lain dan saling mempercayai. Penganut Islam sekian lama mahukan orang lain untuk melihat Islam sebagai agama perdamaian bukannya keganasan. Kenapa tidak boleh untuk cuba melihat agama orang lain dari sudut pandangan yang serupa dan belajar untuk menghormatinya?
(Artikel ini merupakan gabungan dari dua artikel yang pernah diterbitkan di dalam buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Insiden dua wartawan majalah Al Islam menyelinap masuk ke dalam gereja berlaku pada tahun 2009)

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.