Bersama Memutuskan Rantaian Rasuah

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 9 Disember sebagai tarikh keramat untuk masyarakat dunia menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran manusia dalam memerangi virus rasuah. Ironinya, usaha untuk memerangi rasuah perlu membabitkan kerjasama semua pihak kerana ianya tidak dapat dilaksanakan oleh mana-mana individu atau organisasi secara silo atau sendiri. Justeru semua pihak perlu berganding bahu jika memasang impian untuk memutuskan rantaian rasuah secara menyeluruh.

Di negara kita sudah ada beberapa agensi yang ditubuhkan khusus untuk menangani masalah integriti, rasuah, penyelewengan dan salah laku seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM). Semua agensi ini telah dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk memerangi rasuah baik dari aspek penguatkuasaan dan hukuman mahupun dari segi pendidikan dan pencegahan. Kita dapat lihat pada hari ini begitu banyak kes rasuah dan salah guna kuasa didedahkan dengan pesalahnya dibawa ke muka pengadilan. Ini menunjukkan pihak berkuasa amat serius dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Namun pada masa yang sama peningkatan kes rasuah juga membuktikan virus rasuah ini sudah menjadi pandemik dalam masyarakat kita dan virus ini dilihat begitu sukar untuk dikawal. Malah boleh dikatakan gejala rasuah ini semakin menjadi-jadi dalam kalangan anggota masyarakat kita. Misalnya bilangan penjawat awam, pekerja swasta, syarikat korporat mahupun individu seperti ahli perniagaan yang ditahan pihak berkuasa kerana sama ada memberi atau menerima rasuah ini semakin meningkat dan ini amat membimbangkan kita semua.

Justeru setiap seorang daripada kita perlu memikul tanggungjawab untuk membantu memutuskan rantaian penularan virus rasuah ini. Sedarlah, usaha untuk membendung dan memutuskan rantaian rasuah ini perlu bermula dari diri kita sendiri. Sebagai anggota masyarakat yang mahukan negara ini bersih dari rasuah, kita perlu bertindak dengan segera sebelum virus rasuah ini memusnahkan rakyat dan negara kita. Antara tindakan yang boleh kita lakukan ialah, jujurlah pada diri sendiri. Maksud di sini ialah jangan sesekali memberi rasuah kepada mana-mana pihak. Berurusanlah dengan semua pihak terutamanya penjawat awam dan jabatan kerajaan secara jujur dengan nilai integriti yang tinggi. Begitu juga, jika ada yang meminta habuan jangan bersetuju dengan permintaan tersebut. Ingat, tidak akan ada penawaran jika tiada permintaan dan begitu juga sebaliknya.

Kita juga perlu menjadi warganegara yang berani dan bertanggungjawab kepada rakyat dan negara dengan cara melaporkan salah laku rasuah. Kita perlu berani tampil untuk membuat aduan demi memutuskan rantaian rasuah ini. Jika semua penjawat awam misalnya berani melaporkan segala bentuk habuan dan sogokan yang ditawarkan kepada mereka oleh mana-mana individu mahupun sindiket, pasti kita dapat memutuskan rantaian penularan rasuah.

Hal ini sangat signifikan kerana, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing. Ianya membabitkan 343 penjawat awam yang berani tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas. Jelas sekali angka ini terlalu rendah dan tidak sepatutnya berlaku.

Jadi baik orang awam mahupun penjawat awam perlu lebih berani untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa. Jangan sesekali kita terus menutup mata, mulut dan telinga atau berdiam diri kerana perbuatan tersebut boleh ditafsir sebagai bersubahat. Dalam konteks ini, penjawat awam misalnya perlu sedar adalah menjadi satu kesalahan jika tidak melaporkan kes rasuah dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SRPM 2009 yang berdepan dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Pada masa yang sama, kerajaan juga menyediakan insentif kepada penjawat awam yang berani melaporkan rasuah seperti yang terkandung dalam ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’.

Ironiya, kita tidak perlu takut untuk mendedahkan dan membuat laporan kerana kerana maklumat yang diberikan tidak akan didedahkan, malah keselamatan pemberi maklumat juga terjamin di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Tuntasnya, memerangi rasuah dan memutuskan rantaian penularan rasuah adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan biarkan rasuah menghancurkan kehidupan kita dan negara secara keseluruhannya. Ingat, vaksin terbaik untuk mengubati virus rasuah adalah sikap dan tingkah laku diri kita sendiri. Selamat menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa.

Komen