SEBENARNYA, tidak ada apa yang luarbiasa dengan jawapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Parlimen terhadap soalan dari Yang Berhormat Ahli Parlimen Kangar, YB Noor Amin Ahmad yang mahu KPM menyatakan jumlah murid yang berhenti persekolahan sejak Mac 2020 hingga kini seperti yang tular di media sosial hujung minggu lalu.
Jawapan KPM itu, seramai 21,316 atau 0.22% orang murid telah berhenti sekolah adalah jawapan standard yang sudah boleh dijangka. Untuk makluman, setiap tahun KPM akan menerbitkan Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2012-2025.
Di dalam laporan tahunan yang boleh dicapai di laman web PADU ini, data keciciran murid setiap tahun dinyatakan secara jelas di dalam Bab 1, Peningkatan Akses Daripada Prasekolah Hingga Menengah Atas.
Peratusan murid cicir untuk lima tahun kebelakang adalah seperti berikut;
Peratusan murid cicir sekolah rendah pada 2020 (0.10%); 2019 (0.19%); 2018 (0.15%); 2017 (0.29%) dan 2016 (0.36%).
Peratusan murid cicir sekolah menengah pula pada 2020 (1.13%); 2019 (1.14%); 2018 (1.21%); 2017 (1.36%) dan 2016 (1.50%).
Seperti saya nyatakan di atas, peratusan murid cicir seperti yang dijawab oleh KPM di Parlimen adalah selari dengan trend peratusan murid cicir sekolah rendah dan menengah di atas sejak lima tahun yang lalu. Bezanya cuma jawapan tersebut tidak menyatakan dengan jelas peratusan tersebut adalah keciciran murid sekolah rendah atau keciciran murid sekolah menengah, atau peratusan keciciran keseluruhan murid sekolah rendah dan menengah?
‘Tip Of The Iceberg’
Ada perkara yang lebih mustahak untuk kita semua risaukan berbanding keciciran seramai 21,316 murid sejak Mac 2020 yang lalu ini.
Perkara itu adalah, adakah data dan jawapan KPM seperti yang dibentangkan di Parlimen itu boleh dipercayai kesahihan dan ketulenannya?
Berdasarkan trend dan enrolmen kemasukan murid setiap tahun, setiap peratusan kecil 0.10% keciciran adalah bersamaan dengan seramai lebih dari 10,000 murid tercicir setiap tahun.
Adakah ini bermakna, jika kita mengambil purata peratusan keciciran setiap tahun sebanyak 0.10%, kita sedang menghadapi seramai 100,000 murid cicir setiap 10 tahun?
Selain itu jawapan KPM di Parlimen itu juga mengelirukan. Ianya hanya logik dibaca jika kita melihat kepada keciciran murid sekolah rendah iaitu keciciran pada tahun ini meningkat kepada 0.22% daripada 0.10% pada tahun 2020. Peratusan ini logik meningkat kerana ketika pandemik, lebih ramai murid berisiko untuk tercicir. Tetapi dalam masa yang sama peratusan ini tidak logik jika dibaca bersama dengan data peratusan murid cicir sekolah menengah iaitu 1.13% pada tahun 2020 kerana peratusan terkini iaitu 0.22% terlalu rendah dan tidak logik peratusan murid cicir lebih rendah pada ketika pandemik berlaku.
Bahkan selain itu, KPM juga seharusnya mendedahkan peratusan keciciran subjek di sekolah. Misalnya berapa ramai murid tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 yang masih belum boleh membaca akibat kehilangan sesi pembelajaran selama dua tahun? Berapa ramai murid tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 yang masih belum boleh menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) kerana tidak ke sekolah akibat PKP?
Selain dari keciciran subjek akibat jurang miskin kaya yang terlalu lebar, KPM juga harus dengan telus mendedahkan bagaimana murid berkeperluan khas menjalani sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta apakah status pembelajaran mereka sepanjang PKP dilaksanakan? Umum mengetahui murid berkeperluan khas memerlukan sokongan khas untuk membantu mereka menjalani pembelajaran, adakah ibu bapa dan keluarga mereka menerima sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka belajar secara dalam talian?
Realiti Sebenar
Ini bermakna, jika kita mengambilkira aspek keciciran subjek (bukan sekadar 3M, keciciran subjek juga lebih berisiko untuk subjek yang sukar seperti Matematik Tambahan serta subjek Sains yang memerlukan eksperimen di makmal) dan aspek keciciran untuk murid berkeperluan khas yang tidak sesuai menjalani PdPR di rumah; angka 21,316 sebenarnya adalah angka yang terlalu kecil.
Dalam masa yang sama, kita juga tidak mempunyai data mengenai aspek mental dan psikologi anak-anak di sekolah hari ini.
Adakah murid yang hadir ke sekolah hari ini bersedia untuk meneruskan pembelajaran mereka? Berapa ramai murid yang tertekan kerana ketinggalan pelajaran akibat pandemik? Berapa ramai murid yang mengalami depresi kerana terpaksa mengambil peperiksaan besar ketika hampir dua tahun sekolah ditutup?
Dalam konteks yang lebih besar, jawapan KPM tersebut juga sebenarnya hanya menunjukkan satu dari ribuan kelemahan sistem pendidikan di negara ini. Definisi keciciran seperti dalam jawapan tersebut hanyalah merujuk kepada jumlah enrolmen murid yang berdaftar di sekolah Kerajaan sahaja.
Bagaimana dengan anak-anak tanpa dokumen yang begitu ramai di kawasan bandar Semenanjung? Bagaimana dengan anak-anak tanpa negara yang begitu ramai di Sabah dan Sarawak? Ratusan ribu bahkan jutaan jumlah anak-anak ini dinafikan hak untuk masuk ke sekolah di negara ini kerana penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child – CRC) oleh PBB pada 1995 mengandungi beberapa ‘reservations’, termasuk lima lagi yang belum ditandatangani sehingga hari ini iaitu;
Artikel 2 mengenai ‘non-discrimination’; Artikel 7 mengenai ‘nama dan kewarganegaraan’; Artikel 14 mengenai ‘kebebasan berfikir dan agama’; Artikel 28(1)(a) mengenai ‘pendidikan percuma dan wajib di peringkat rendah’ serta; Artikel 37 mengenai ‘penyeksaan dan pengekangan kebebasan’.
‘Political Will’ Yang Jahanam
Semua ini berlaku di tengah-tengah pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) oleh Perdana Menteri semalam. Adalah tidak dapat dipastikan bagaimana enam sasaran utama pembangunan Bumiputera yang akan dicapai menjelang 2030 itu nanti dapat membantu kita membantu lebih dari 100,000 lagi keciciran pada 2030.
Juga tidak dapat dipastikan bagaimana KPM akan menyelesaikan isu ini melalui Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang sedang mereka kerjakan kini. Adakah KPM berani mengemukakan jumlah sebenar keciciran murid sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19 ini termasuk jumlah keciciran anak berkeperluan khas, anak tanpa dokumen serta anak tanpa negara?
Sudah tentu, 21,316 murid cicir sejak Mac 2020 adalah jawapan selamat berdasarkan data rasmi Kementerian.
Malangnya jumlah ini sama sekali bertentangan dengan laporan ‘Learning Poverty’ oleh World Bank pada 2019 terhadap Malaysia.
Menurut World Bank, 13% kanak-kanak di hujung usia persekolahan sekolah rendah mereka tidak mahir dalam membaca di negara ini. Manakala sebanyak 1% dari jumlah kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun pula tidak bersekolah. Bahkan penilaian berskala besar menunjukkan sebanyak 12% kanak-kanak di Malaysia tidak mencapai ‘minimum proficiency level’ (MPL) di hujung sekolah rendah pada 2017.
Apa akan berlaku kepada hampir 13% murid Tahun 6 yang belum mahir membaca itu nanti? Adakah mereka akan naik ke Tingkatan 1 dalam keadaan belum lancar membaca? Atau mereka akan menjadi sebahagian daripada statistik ‘jawapan selamat’ seperti yang tiap tahun mereka karangkan untuk jawapan-jawapan Menteri di Parlimen?
Hanya Tuhan yang tahu kemana menghilangnya semua ratusan ribu anak-anak kita yang cicir dari pembelajaran ini.
Serta hanya Tuhan sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada kejahanaman yang berlaku di depan mata kita ini.