Belanjawan Madani KPM 2024; Belanja VS Keberhasilan

MINGGU lalu YAB Perdana Menteri telah mengumumkan Belanjawan Madani 2024. Antara belanjawan terbesar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kali ini menerima sehingga RM58.7 bilion dalam Belanjawan Madani 2024.

Tetapi jika diperhatikan daripada RM58.7 bilion, sebanyak RM52.8 bilion adalah perbelanjaan mengurus sedangkan hanya RM5.9 bilion perbelanjaan pembangunan. Ini bermakna 90% belanjawan ini adalah belanja mengurus dan hanya 10% belanja pembangunan.

Daripada 89.9% belanja mengurus ini, sebanyak RM43.5 bilion adalah emolumen. Hampir 82% belanja mengurus ini mengalir sebagai gaji kepada lebih dari 416,743 para guru dan puluhan ribu kakitangan institusi dan pejabat pendidikan yang lainnya di seluruh negara.

Yang Meningkat Dan Terus Naik

Jika diperhatikan di dalam dokumen butiran belanjawan, beberapa anggaran perbelanjaan mengurus yang siginifikan meningkat dalam belanjawan kali ini adalah; i) Bantuan Geran Per Kapita meningkat sebanyak RM89.7 juta (RM798.7 juta pada 2023, RM888.4 juta pada 2024), ii) Elaun Murid Berkeperluan Khas meningkat sebanyak RM17.7 juta (RM181.6 juta pada 2023, RM199.3 juta pada 2024), iii) Rancangan Makanan Tambahan (RMT) meningkat sebanyak RM158.6 juta (RM625.7 juta pada 2023, RM784.3 juta pada 2024), iv) Bantuan Makanan Prasekolah meningkat sebanyak RM42.2 juta (RM89 juta pada 2023, RM131.2 juta pada 2024) dan v) Bantuan Awal Persekolahan meningkat sebanyak RM338.1 juta (RM450 juta pada 2023, RM788.1 juta pada 2024).

Manakala peningkatan anggaran perbelanjaan pembangunan yang signifikan pula adalah seperti i) Pendidikan Prasekolah meningkat sebanyak RM14.8 juta (RM16.1 juta pada 2023, RM30.9 juta pada 2024), ii) Pendidikan Khas meningkat sebanyak RM57.8 juta (RM71 juta pada 2023, RM128.8 juta pada 2024), iii) Program Pembangunan Kurikulum meningkat sebanyak RM120 juta (RM120.2 juta pada 2023,  RM240.2 juta pada 2024), iv) Program Pembangunan Sukan meningkat sebanyak RM19 juta (RM37.9 juta pada 2023, RM56.9 juta pada 2024) serta v) Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak meningkat sebanyak RM215.3 juta (RM581.3 juta pada 2023,  RM796.6 juta pada 2024).

Petunjuk Keberhasilan Kementerian

Selain daripada peningkatan beberapa butiran seperti di atas, petunjuk keberhasilan kementerian seperti i) Pendidikan Berkualiti serta ii) Akses Kepada Pendidikan Berkualiti masih di tahap yang membimbangkan.

Misalnya, tidak dinyatakan dengan jelas peratusan pembangunan semula dan naik taraf bangunan daif di sekolah. Ini menimbulkan persoalan berapa banyak projek-projek bermasalah melibatkan sekolah daif yang belum selesai walaupun beratus juta telah dibelanjakan setiap kali belanjawan dibentangkan?

Selain itu peratusan murid berkeperluan khas yang berada di dalam Program Pendidikan Inklusif hanya mencecah 83.47% pada 2022. Di sebalik peruntukan terbesar setiap tahun ini juga, peratusan kehadiran murid di sekolah Orang Asli hanya berada 77.93% sahaja pada 2022. Ini menjelaskan krisis keciciran di kalangan murid bersekolah, lebih dari 15% murid tidak layak menerima sijil SPM pada tahun 2022.

Krisis Keciciran Dan Data KPM

Pasca pandemik, seluruh dunia membincangkan isu ‘kehilangan pembelajaran’ atau ‘learning loss’ yang akan menyebabkan keciciran. Kaffenberger (2021) menganggarkan bahawa penutupan sekolah selama tiga bulan boleh diterjemahkan kepada kehilangan pembelajaran selama setahun. Azevedo (2020) meramalkan peningkatan global dalam ‘kemiskinan pembelajaran’ atau ‘learning poverty’  (kanak-kanak yang tidak boleh membaca dan memahami perenggan ringkas pada umur sepuluh tahun) meningkat sehingga 10% (dari 53% sebelum pandemik hingga 63% selepas pandemik),  anggaran sama yang kemudiannya meramalkan kehilangan pendapatan yang ketara kepada generasi ini (lost generation) akibat pandemik (Azevedo et al., 2021).

Pelbagai pengkaji dan organisasi meramalkan sesetengah pelajar tidak akan kembali ke sekolah apabila mereka dibuka semula. UNESCO (2020) menganggarkan sehingga 23.8 juta pelajar berisiko tercicir dari sekolah di seluruh dunia. Ini termasuk Laura Moscoviz dan David K. Evans (2022) melalui kertas kerja bertajuk “Learning Loss and Student Dropouts during the COVID-19 Pandemic: A Review of the Evidence Two Years after Schools Shut Down” terbitan Center for Global Development (CDG) menyatakan kadar keciciran global mencecah sehingga 35%.

Malangnya berbeza dengan trend seluruh dunia, data keciciran KPM sepertimana didedahkan di Parlimen pada 11 Oktober 2023 yang lepas; “Kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022. Kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 % pada tahun 2019 kepada 0.07 % pada tahun 2022. Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.14 % pada tahun 2019 kepada 0.99 % pada tahun 2022,”

Belanjawan Saban Meningkat, Kadar Keciciran Kekal Statik

Pasti ada sesuatu yang tidak munasabah dengan data keciciran KPM seperti yang telah didedahkan minggu lalu. Sebagai perbandingan misalnya, peratusan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang tidak hadir adalah statik sejak 2016 hingga 2022. Sejumlah 8% calon SPM tidak hadir pada 2016 (34,713 orang) dan 7.3% calon SPM tidak hadir pada 2022 (29,663 orang).

Sejak 2016 hingga 2022, purata calon gagal SPM (tidak lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah) pula kekal sekitar 11.6% dengan sekitar 33,906 calon di dalam kategori ini pada 2022. Purata calon gagal SPM subjek Matematik pula statik sekitar 21.45% (89,752 calon gagal pada 2022). Manakala purata calon gagal SPM subjek Bahasa Inggeris pula statik pada 17.4% (52,674 calon gagal pada 2022).

Setiap tahun secara purata, sekitar 70,000 hingga 80,000 anak-anak yang bersekolah 11 tahun sejak dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5, mendaftar SPM tetapi gagal mendapatkan sijil. Peratusan mereka mencecah 20% daripada jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan SPM ini. Adakah mereka tidak dikategorikan sebagai ‘cicir’ berdasarkan spesifikasi KPM?

Lebih membingungkan pabila meneliti jumlah belanjawan yang diterima KPM saban tahun ketika belanjawan diumumkan oleh Menteri Kewangan. Siapakah yang mendapat manfaat terbesar daripada bilion-bilion yang diumumkan oleh Menteri Kewangan di dalam Parlimen tersebut? Adakah ianya kontraktor pembinaan? Atau adakah yang paling besar mendapat manfaat sebenarnya kontraktor makanan yang akan mengisi tender bekalan makanan bermasak kelak?

Jika diperhatikan kepada angka-angka keciciran SPM saban tahun, adakah anak-anak kita di sekolah tidak menerima manfaat secara langsung walaupun yang diumumkan dan disorak-sorai oleh ramai orang adalah bilion-bilion saban tahun? Mungkin sudah sampai masanya untuk kita semua bahaskan perihal ‘keberhasilan’; bukannya perincian berapa besarnya ‘belanjawan’ itu pada belanjawan seterusnya.

Komen