Bagaimana Perkongsian Data KPM Membentang Jalan Ke Hadapan Menangani Kemiskinan Pembelajaran Akibat Pandemik

HAMPIR 30 hari setelah sekolah mula dibuka untuk semua murid sekolah rendah pada 1 Mac 2021 yang lalu. Minggu depan, murid sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan mereka.

Terdapat beberapa set data yang boleh membantu kita semua sebagai masyarakat untuk memahami polemik isu ‘lost generation’ dan ‘learning poverty’ akibat pandemik Covid-19 ini.

Data Kehadiran Murid

Pertama saya membayangkan jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudi berkongsi dengan kita semua unjuran data kehadiran ke sekolah. Data kehadiran ini penting untuk diketahui agar kita semua boleh mempunyai satu pandangan kasar, berapa ramaikah murid yang tidak dapat hadir ke sekolah walaupun sekolah telah dibuka.

Ini penting kerana kehadiran ke sekolah adalah petunjuk awal berapa ramaikah generasi tersisih (lost generation’ yang terhasil akibat pandemik Covid-19 ini. Sifirnya mudah, jika hadir ke sekolah sahaja anak-anak ini tidak mampu, apakan lagi pembelajaran dalam dimensi lain seperti pembelajaran dalam talian?

Dalam masa yang sama, ketidakhadiran murid dalam jangka masa waktu ini juga boleh menjadi petunjuk untuk menentukan samada adakah anak-anak ini masih berminat untuk meneruskan persekolahan, mampu menyediakan diri dan mentalnya untuk menyambung pembelajaran atau terus menjadi sebahagian dari statistik generasi tersisih, 1.5 bilion anak-anak di seluruh dunia seperti yang dinyatakan oleh Unicef.

Minggu hadapan data ini akan menjadi lebih menarik kerana umumnya, data kehadiran murid sekolah menengah lebih rendah dari peratusan kehadiran murid sekolah rendah. Pelbagai faktor memungkinkan perkara ini berlaku, termasuk potensi keciciran kerana anak yang lebih besar lebih cenderung untuk membantu keluarga mereka mencari rezeki dan bekerja.

Set-set data ini kemudian boleh dibaca dengan lebih teliti.

Misalnyanya negeri manakah yang mendapat peratusan kehadiran murid yang terendah? Berapakah peratusan kehadiran dari keluarga B40? Bagaimana dengan peratusan kehadiran di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur? Adakah ianya terkait dengan isu jangkitan atau kluster Covid-19 atau adakah ianya kerana beberapa sebab yang lain seperti tekanan ekonomi?

Jika peratusan ketidakhadiran murid ini kebanyakannya tergolong di dalam masalah tekanan ekonomi, ianya akan mewujudkan persoalan yang lebih mendalam iaitu; adakah anak-anak yang tidak hadir ini akan terus tercicir dari sistem pendidikan nasional, atau adakah mereka akan kembali ke sekolah dalam masa terdekat?

Jika mereka akan terus tercicir, saya percaya Kerajaan perlu membina sebuah ‘taskforce’ atau jawatankuasa khas untuk mengkaji, mengenalpasti dan membina sebuah pelan jangka masa pendek & panjang untuk menarik anak-anak ini masuk ke dalam sistem pendidikan nasional semula.

Jika tidak, bilangan anak-anak tercicir ini akan memenuhkan statistik jenayah, dadah & penyalahgunaan bahan serta masalah sosial di masa depan selain memberi kesan kepada produktiviti negara dalam jangka masa 5 ke 10 tahun ke hadapan. Perlu diingatkan, sekolah adalah satu-satunya kawasan selamat untuk anak-anak kita bebas dari pengaruh jenayah & sosial di luar.

Data Sekolah Terlibat Jangkitan Covid-19

Kedua, dalam masa yang sama terdapat juga bunyi-bunyi mengenai beberapa jangkitan yang berlaku di sekolah telah menyebabkan berlakunya beberapa kluster di beberapa kawasan.

Oleh yang demikian, saya membayangkan jika KPM sudi berkongsi dapatan mereka mengenai berapakah sekolah sebenarnya yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 di sekolah serta di kawasan manakah kluster ini merebak? Berapakah jumlah murid & guru yang telah dijangkiti dan apakah perancangan KPM?

Ini akan dapat membantu guru dan ibu bapa bersedia dan membuat persediaan tambahan. Ini penting kerana jalan ke hadapan yang paling realistik dalam kita mendepani pandemik ini adalah dengan bersedia untuk hidup bersama-sama dengan virus Covid-19 ini.

Ini bermakna, apa juga yang berlaku di masa depan, sekolah tidak lagi boleh ditutup dan pembelajaran harus diteruskan. Ini begitu kritikal kerana menurut World Bank, data terbaru menunjukkan 53% daripada semua kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana tidak dapat membaca dan memahami cerpen pada waktu mereka tamat sekolah rendah.

Tahap “kemiskinan pembelajaran” yang tinggi terutama untuk kanak-kanak berusia 10 tahun yang tidak dapat membaca cerita pendek yang sesuai dengan usia mereka merupakan amaran awal bahawa semua sasaran ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) 4 yang bercita-cita tinggi itu sangat tidak realistik.

Bahkan gangguan pada waktu pengajaran di dalam kelas boleh memberi kesan yang sangat teruk kepada kemampuan anak untuk belajar. Semakin lama kanak-kanak terpinggir  dari sekolah, semakin kecil kemungkinan mereka akan kembali ke dalam proses pembelajaran.

Tidak bersekolah juga meningkatkan risiko kehamilan remaja, eksploitasi seksual, perkahwinan di umur remaja, keganasan, jenayah seperti mencuri serta penyalahgunaan bahan seperti dadah. Dalam masa yang sama penutupan sekolah yang berpanjangan juga mengganggu perkhidmatan penting seperti imunisasi dan pemberian makanan di sekolah, serta sokongan untuk kesihatan mental.  Anak-anak boleh mendapat tekanan dan kegelisahan akibat kehilangan interaksi rakan sebaya dan gangguan rutin.

Oleh yang demikian, pembukaan semula sekolah mesti dilaksanakan dengan selamat dan konsisten dengan dengan semua langkah wajar diambil untuk melindungi pelajar, kakitangan, guru dan keluarga mereka.

Data Kesihatan Mental Murid

Ketiga, saya juga membayangkan bahawa KPM akan mengongsikan data-data yang berkaitan dengan isu kesihatan mental murid dan motivasi belajar mereka di sekolah.

Menurut World Health Organization (WHO), kanak-kanak cenderung mengalami kebimbangan, kegelisahan dan ketakutan dan ini boleh merangkumi jenis ketakutan yang sangat mirip dengan yang dialami oleh orang dewasa seperti ketakutan mati, ketakutan saudara-mara mereka mati atau ketakutan yang bermaksud mereka perlu menerima rawatan perubatan.

Ketika sekolah ditutup, anak-anak mungkin tidak lagi memiliki perasaan terhadap struktur dan rangsangan yang diberikan oleh persekitaran persekolah. Ini bermakna ketika mereka kurang berkesempatan untuk bersama rakan mereka, mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan sokongan sosial yang penting untuk kebaikan kesejahteraan mental mereka pada umur tersebut.

Data dari NGO Save The Children pula menunjukkan seiring dengan tempoh penutupan sekolah, 96% kanak-kanak dan 95% penjaga menyatakan peningkatan perasaan negatif ketika sekolah ditutup selama 17-19 minggu, berbanding dengan 62% kanak-kanak dan 83% penjaga ketika sekolah ditutup untuk 1 hingga 4 minggu.

Terdapat kaitan yang jelas menunjukkan bahawa semakin lama sekolah ditutup, semakin tinggi kadar laporan ibu bapa yang melaporkan perubahan tidur, perubahan selera makan, perubahan kemampuan anak-anak untuk menangani emosi mereka bahkan juga tingkah laku yang lebih agresif.

Save The Children juga menegaskan lebih dari separuh kanak-kanak yang tidak berhubung dengan rakan-rakan melaporkan perasaan kurang senang (57%), lebih bimbang (54%) dan kurang selamat (58%). Ini semua menunjukkan penutupan sekolah di seluruh negara sebenarnya memberi kesan yang sangat besar kepada kesejahteraan mental anak-anak.

Oleh yang demikian adalah sangat penting untuk diketahui apakah tahap kesihatan mental anak-anak kita di sekolah hari ini, berdasarkan laporan dan pencerapan yang dilakukan oleh kaunselor dan guru mereka di dalam kelas.

Isu kesihatan mental & motivasi belajar ini penting untuk diperhatikan agar pembuat dasar dan pembina kurikulum boleh membuat penilaian baharu tentang situasi pengajaran dan pembelajaran pasca-penutupan sekolah.

Ketiga-tiga set data yang amat penting ini, iaitu data kehadiran murid ke sekolah & peratusannya, data sekolah, guru & murid yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 di sekolah serta data mengenai kesihatan mental murid akan membantu kita semua untuk meneroka jalan baharu yang sepatutnya kita bina dalam masa terdekat.

Kerana keputusan yang akan kita ambil hari ini akan menentukan berapakah peratusan ‘lost generation’ yang berjaya kita selamatkan, bagaimana ‘learning poverty’ boleh kita atasi serta peratusan produktiviti negara yang berjaya kita tonjolkan dalam masa 10 tahun ke hadapan.

Komen