Bagaimana Malaysia Dibentuk? – Bahagian I

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Cadangan Pembentukan Malaysia

Cadangan pembentukan Malaysia sudah diajukan seawal tahun 1887 oleh Pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Lord Brassey, namun menurut James P. Ongkili, cadangan ini tidak diambil perhatian sewajarnya. Malah semasa Perang Dunia Kedua, kerajaan British telah membuat penilaian menyeluruh terhadap semua kepentingannya di bahagian timur, namun hasrat mereka pada ketika itu hanyalah untuk melindungi empayar sendiri berbanding mahu memberikan wilayah jajahan mereka kemerdekaan dan berkerajaan sendiri.

Selain itu, cadangan mewujudkan negara yang menyatukan Tanah Melayu, Singapura dan negeri-negeri di Borneo juga pernah dicadangkan oleh pemimpin Parti Progresif Singapura, Thio Chan Bee.

Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, Malcolm McDonalds pada tahun 1949 pernah mengusulkan apa yang dipanggil sebagai Grand Design dengan menyatukan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah. Idea McDonalds ini tidak lebih daripada satu usaha untuk meneruskan penjajahan British di rantau ini. Namun rancangan ini terhenti apabila Tanah Melayu mengambil keputusan untuk menuntut kemerdekaan sendiri.

Idea asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia ini muncul melalui ucapan Perdana Menteri Britain, Sir Harold Macmillan pada 9 Januari 1960 yang menyentuh tentang gagasan Greater Malaysia dengan matlamat memberikan kemerdekaan penuh kepada Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah dengan syarat ia dicapai di dalam satu persekutuan.

Pada 27 Mei 1961 ketika majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Foreign Correspondents Association of Southeast Asia di Singapura, Tunku Abdul Rahman telah menyatakan hasrat seperti berikut:

“Tanah Melayu mengadakan persefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat di wilayah Singapura, Sabah, Brunei dan Sarawak dan suatu rancangan hendaklah diadakan untuk merapatkan lagi perhubungan wilayah-wilayah ini dalam politik dan kerjasama ekonomi.”

Menurut James Chin, hasrat Tunku Abdul Rahman untuk menyatukan keempat-empat wilayah ini boleh difahami atas empat keadaan. Pertama kerana Tanah Melayu dan Singapura pada ketika itu sangat rapat dari sudut politik, budaya dan ekonomi dan penyatuan kedua-dua wilayah ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Keduanya ia bertujuan membendung pengaruh komunisme di semua wilayah berkenaan. Walaupun darurat telah berakhir dan kegiatan pengganas komunis semakin berkurangan, namun dari segi ideologi ia masih dianggap sebagai ancaman.

Ketiga memasukkan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei dalam rancangan ini dilihat penting sebagai salah satu inisiatif untuk mendapatkan kemerdekaan buat mereka dalam sebuah entiti yang lebih kukuh.

Keempat, Tunku juga memikirkan soal keseimbangan kaum kerana jika percantuman hanya melibatkan Tanah Melayu dan Singapura, maka golongan bukan Melayu bakal menjadi majoriti, memandangkan Singapura merupakan wilayah majoriti kaum Cina. Justeru dengan penggabungan wilayah Borneo Utara, Sarawak dan Brunei ia menyaksikan kaum Melayu dan orang asal membentuk majoriti dalam negara yang baru itu.

Cadangan ini telah mendapat reaksi pantas daripada British dan pada Jun 1961, Gabenor Sarawak, Sir Alexander Waddell, Gabenor Borneo Utara, Sir William Goode dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei, Sir Dennis White telah dipanggil untuk mengadakan perbincangan mengenai cadangan Tunku Abdul Rahman itu dengan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di Asia Tenggara, Lord Selkirk. Mesyuarat berkenaan bersetuju dengan cadangan penggabungan ini dan bertitik tolak daripada itu, pihak British telah menggunakan semua pengaruh yang ada bagi memastikan pembentukan Malaysia dapat direalisasikan.

Bagi wilayah-wilayah terlibat reaksinya dilihat bercampur-campur. Singapura di bawah kepimpinan Lee Kuan Yew mengalu-alukan idea berkenaan atas dua sebab. Pertama, Singapura dilihat sebagai negara yang terlalu kecil untuk bertahan sebagai sebuah negara merdeka. Keduanya beliau bimbang pihak komunis dan golongan kiri di Singapura memperoleh sokongan kerana pada tahun 1961, Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan beliau telah tewas dalam dua pilihan raya kecil kepada parti berhaluan kiri.

Menurut James Chin, di Brunei Sultan Omar Ali Saifuddin menyatakan sokongan terhadap cadangan Tunku Abdul Rahman, namun pemimpin Parti Rakyat Brunei (PRB), AM Azahari tidak berminat dengan cadangan berkenaan. Beliau yang bersifat anti-kolonial mahu Brunei mencapai kemerdekaan sendiri dan jika ia mustahil untuk dicapai, beliau mahu membentuk Persekutuan Borneo Utara yang melibatkan percantuman Brunei, Sabah, Sarawak dan sebahagian Indonesia yang terletak di Kepulauan Borneo.

Di Sarawak keadaannya agak getir kerana berlaku penentangan yang agak kuat di negeri berkenaan. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang merupakan parti berasaskan kaum Cina menolak cadangan Tunku Abdul Rahman dan melihat pembentukan negara komunis sebagai jalan terbaik untuk mencapai kemerdekaan. Namun begitu, tentangan dari parti dominasi Cina ini cuba diredakan apabila Parti Cina Sarawak (SCA) yang melihat penubuhan Malaysia bakal memberikan manfaat ekonomi lebih baik.

Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Negara Sarawak (PANAS) yang mewakili kaum Bumiputera di negeri berkenaan pada asasnya dilihat neutral terhadap cadangan Tunku, namun SNAP berubah pendirian apabila dipimpin Stephen Kalong Ningkan yang menentang cadangan berkenaan. Pemimpin PANAS, Datu Bandar Abang Haji Mustapha menyokong cadangan ini.

Di Sabah, penentangannya tidak sehebat apa yang berlaku di Sarawak kerana di Sabah pada ketika cadangan dibuat Tunku, belum ada mana-mana parti politik tertubuh di wilayah berkenaan. Pada lewat tahun 1961, Donald Stephens menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan diikuti kemudiannya oleh Mustapha Harun yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Pada 9 Julai 1961, Pengerusi SUPP, Ong Kee Hui, Pengerusi PRB, AM Azahari dan Pengerusi UNKO, Donald Stephens berkumpul di Jesselton (Kota Kinabalu) dan mengumumkan penentangan terhadap cadangan Tunku Abdul Rahman untuk menubuhkan sebuah persekutuan baru.

Mendengarkan reaksi yang bercampur-campur di Borneo, Tunku pada Julai 1961 telah mengadakan lawatan ke Sabah, Sarawak dan Brunei dan semasa beberapa pertemuan dengan pemimpin di wilayah berkenaan, Tunku memberi jaminan akan mendengar segala kebimbangan rakyat di negeri berkenaan dan terbuka untuk memberikan autonomi kepada semua wilayah berkenaan bagi mendapatkan sokongan terhadap pembentukan Malaysia.

Komen