Anak-Anak Pandemik Dan Masa Depan Yang Menakutkan

JIKA anak-anak kita masih bersekolah hari ini, hidup mereka akan dikelilingi dengan rutin bermasyarakat.

Bayangkan, sebuah kelas ada sekitar 30 ke 40 orang. Untuk anak sekecil 7 tahun atau Darjah 1, memiliki kawan seramai 30 orang adalah sebuah pengalaman baharu.

Jika sekolah tersebut terletak di kawasan yang padat pula kemungkinan satu aliran tersebut memiliki sehinga 4 ke 5 kelas. Ini bermakna untuk satu aliran sahaja, anak kita mungkin memiliki sehingga 120 orang kawan.

Untuk sekolah yang agak besar, jumlah muridnya boleh mencapai dari 1,500 orang sehingga 3,000 orang. Begitulah gambaran bagaimana anak-anak kita bermasyarakat di sekolah. Ianya ibarat seperti sebuah kampung kecil.

Pengalaman Bermasyarakat

Pengalaman bermasyarakat seperti ini sangat penting untuk anak-anak kita. Ada beberapa aspek pembelajaran tidak formal yang mereka bakal perolehi. Antaranya di dalam kelas, mereka belajar untuk berkawan dan bekerjasama.

Ada jadual kelas yang perlu dipatuhi. Ada yang hadir ke sekolah awal setiap hari dan mengemas kelas, menyusun kerusi dan menyapu lantai. Ada yang membersihkan tingkap, ada yang bersedia memadam papan setiap kali guru bertukar. Ada yang perlu membuang sampah ke tempatnya. Mereka dilatih untuk bekerja sebagai sebuah pasukan.

Ada Ketua Kelas dan Ahli Jawatankuasa Kelas yang lain yang perlu dihormati. Ada yang belajar untuk memimpin dan yang paling penting, ramai yang akan belajar bagaimana untuk dipimpin. Pelajaran untuk mereka yang akan dipimpin ini juga adalah sebuah disiplin.

Dalam masa yang sama, aspek sosialisasi mudah yang lain juga dipelajari dalam masa yang panjang sepanjang sesi persekolahan berjalan. Anak-anak ini belajar bagaimana untuk bercakap kepada teman-teman. Mereka belajar untuk berkongsi perasaan dan saling bertukar-tukar cerita. Semua pengalaman baru ini sangat penting untuk anak-anak sekolah rendah.

Mereka juga belajar untuk menangani perasaan sendiri. Bagaimana reaksi ketika dibuli oleh kawan sekelas? Bagaimana rasanya membantu rakan-rakan yang sedang dalam kesusahan? Bagaimana berinteraksi dengan murid yang lebih besar?

Kebiasaan Yang Hilang

Bahkan untuk anak yang lebih kecil dari 1 hingga 5 tahun, proses sosial ini begitu penting kerana mereka mempunyai daya serapan yang begitu kuat.

Inilah usia dimana mereka mencerap semua sistem sosial di sekeliling mereka. Terdapat beberapa lingkungan yang amat penting untuk mereka fahami seperti lingkungan keluarga kecil, lingkungan keluarga besar serta lingkungan rakan-rakan di luar rumah ataupun di taska dan tadika.

Semua lingkungan ini begitu penting kerana ianya akan membentuk imej mental awal untuk anak kecil ini memahami bagaimana manusia berinteraksi. Bagaimana seharusnya interaksi sesama keluarga? Bagaimana pula interaksi mereka bersama rakan-rakan di luar rumah?

Dalam masa yang sama, mereka juga mencerap bagaimana sistem sosial yang lain berfungsi. Semua ini dilakukan dengan melihat bagaimana ibu dan bapa mereka berinteraksi bersama jiran dan ahli kariah surau taman mereka. Mereka juga mencerap bagaimana komunikasi dijalankan ketika membeli barangan di kedai. Semuanya membina pengalaman yang penting untuk mereka memahami sistem bermasyarakat yang sedang kita jalani ini.

Dengan lockdown dilaksanakan sejak awal tahun 2021, semua ini tidak berlaku dan anak-anak ini tidak dapat mencerap apa yang sepatutnya mereka perhatikan. Anak-anak dipaksa duduk di rumah sahaja, ibu bapa juga tidak keluar bekerja. Hanya seorang ketua keluarga yang akan keluar ke kedai untuk membeli barang dan anak-anak ini tidak dapat membina imej mental mereka mengenai proses tersebut.

Kebiasaan yang menyihatkan ini seperti pergi ke taska untuk belajar dan bermain, berinteraksi dengan keluarga yang lebih besar di kampung, bersosial seperti bersukan di taman permainan setiap hujung minggu dan banyak lagi akhirnya hilang dari kehidupan anak-anak kita.

Pengalaman Menjadi Pemimpin

Selain itu, sekolah juga sebenarnya menjadi medium penting untuk mengasah bakat kepimpinan anak-anak.

Terdapat banyak lapisan kepimpinan yang sangat penting untuk diperhatikan. Pasti yang paling penting adalah organisasi pembantu guru yang dipanggil Pengawas. Terdapat Ketua Pengawas, Penolong Ketua Pengawas serta Exco-exco yang berkaitan.

Anak-anak yang dipilih sebagai Pengawas ini selalunya disaring daripada anak-anak yang mempunyai kemahiran di bidang akademik serta kelebihan karakter yang mungkin lebih bersinar daripada murid yang lain.

Kemudian di sekolah juga terdapat organisasi sukan yang berfungsi untuk melatih bukan sahaja bakat sukan anak-anak, tetapi juga ketrampilan kepimpinan di dalam bidang ini. Ada jawatan Ketua Rumah Sukan dan jawatankuasa kecil untuk setiap rumah. Juga di bidang ko-kurikulum, terdapat jawatan Pengerusi Kelab serta ahli jawatankuasa yang perlu dipenuhkan.

Proses kepimpinan ini adalah sebuah proses yang panjang. Latihannya tidak boleh dilaksanakan dalam masa sehari dua atau seminggu dua. Latihannya memakan masa kadangkala hingga setahun. Kerana itu masa-masa yang hilang akibat pandemik Covid-19 ini sebenarnya sangat memberi kesan kepada anak-anak.

Oleh kerana pandemik ini telah menyebabkan sekolah hanya dibuka tidak lebih dari 130 hari pada 2020 dan hanya dibuka selama 60 hari pada 2021, ada Ketua Pengawas dan Pengawas yang tidak dapat menjiwai peranannya kerana terpaksa menjalani PdPR di rumah sahaja.

Begitu juga dengan semua jawatan lain seperti Ketua Rumah Sukan dan Pengerusi Kelab atau Persatuan. Aspek kepimpinan ini bahkan sangat kritikal kerana ia bukan sahaja melatih anak-anak ini untuk memimpin dan melaksanakan tugas dengan efisien, dalam dinamik yang lain ianya juga melatih anak-anak yang lain untuk menjadi ahli kumpulan yang saling bekerjasama.

Menjadi ahli kumpulan yang aktif dan kesanggupan untuk bekerjasama adalah antara kriteria penting pembelajaran untuk anak-anak kita memahami cara kerja bermasyarakat di luar sekolah.

Siapakah Yang Paling Terjejas?

Hari ini (2 Ogos 2021), tepat 87 hari anak-anak kita bercuti sejak kali terakhir anak-anak bersekolah sebelum memulakan cuti Hari Raya Aidilfitri pada 7 Mei yang lalu.

Ini bermakna anak-anak kita telah terkurung di rumah dalam jangka waktu yang begitu panjang tanpa kebolehan untuk keluar termasuk ke kedai (kerana kebanyakan kedai tidak membenarkan kanak-kanak masuk ke dalam premis ketika Perintah Kawalan Pergerakan-PKP).

Mengurung anak terlalu lama di rumah akan mendedahkan anak-anak ini dengan pelbagai kesan negatif. Situasi ini akan menyebabkan anak-anak hilang hak mereka untuk menjalani kehidupan yang bebas dalam erti kata bebas bermain, bebas bergaul serta bebas untuk meneroka dunia yang luas ini.

Anak-anak juga terdedah kepada penganiayaan kerana terkurung di dalam satu tempat dengan begitu lama. Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dalam sebuah makalah bertajuk ‘Combatting COVID-19’s effect on children’ membayangkan kemungkinan anak-anak kita terdedah kepada ‘pressure cooker situation’ apabila berada di dalam rumah terlalu lama kerana tekanan ekonomi yang dihadapi oleh pihak keluarga mencapai tahap toksik.

Manakala kajian Families On The Edge Part 4 oleh Unicef Malaysia mendedahkan hampir 82.5% keluarga mahukan anak-anak mereka untuk ke sekolah semula kerana 49% anak-anak tidak dapat fokus belajar di rumah kerana ketiadaan tempat yang sesuai untuk belajar di rumah.

Ini dapat difahami dengan mudah kerana ketika PKP berlangsung, anak-anak yang paling terjejas adalah anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah yang memiliki isi rumah yang sesak. Mereka ini umumnya mendiami rumah flat 2 bilik walaupun kadangkala mempunyai anak sehingga 6 ke 8 orang. Bahkan ada di kalangan keluarga berpendapatan rendah ini yang mendiami rumah sehingga 3 generasi (bersama-sama datuk dan neneknya).

Pressure cooker situation’ seperti yang dibayangkan oleh OECD di atas akan memberi kesan negatif yang berkekalan kepada kesihatan mental anak-anak. Sebelum pandemik, anak-anak ini mempunyai saluran untuk mengurangkan keresahan samada melalui perjumpaan bersama rakan-rakan atau berada di luar rumah. Namun kini mereka terpaksa menyerap semua tekanan tersebut ketika terpaksa berada di rumah akibat PKP.

Masuk tahun kedua pandemik, bermakna dua generasi anak-anak pandemik yang akan menjadi mangsa serta dua tahun pembelajaran yang telah disia-siakan. Tidak kelihatan tanda-tanda sistem pendidikan nasional akan menjadi lebih baik kerana lebih dari separuh anak-anak kita tidak dapat menyesuaikan diri berdepan dengan pembelajaran dalam talian atau PdPR akibat masalah internet serta ketiadaan gajet. Inilah realiti suramnya masa depan anak-anak pandemik akibat krisis pendidikan yang kita hadapi kini.

Komen