Sejak Mohammad Najib Abdul Razak gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan lalu terus disumbat masuk ke dalam penjara, pergolakan dalaman UMNO dilihat semakin memuncak.
Seperti budak nakal yang tidak pernah serik, apa yang berlaku kepada si kleptokrat Kemaluan Negara nampaknya masih belum dapat mengubah UMNO dari kelakuan buruknya. Ia sama seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu apabila UMNO nampaknya tidak insaf dan berubah untuk menjadi lebih baik selepas kalah dalam pilihan raya umum buat pertama kalinya dalam sejarah.
Kini yang hangat diperkatakan adalah desakan dari dalam UMNO sendiri agar Perdana Menteri, Ismail Sabri tunduk kepada beberapa tuntutan parti itu. Satu mesyuarat dalaman baru-baru ini dikatakan bertukar menjadi panas apabila Ismail diugut dengan pemecatan dari jawatan Naib Presiden parti sekiranya tidak tunduk kepada tuntutan tersebut.
Walaupun dinafikan oleh beberapa pucuk pimpinan (tentang mesyuarat panas dan ugutan), hal berkaitan tuntutan bagaimanapun sudah diketahui umum. Malah ia kerap diulang-ulang oleh beberapa pemimpin UMNO dan acap kali dilaungkan oleh penyokong mereka ibarat satu ‘peringatan mesra’ buat Ismail Sabri dan pihak kerajaan yang terdiri dari gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tuntutan UMNO
Ismail Sabri kini dilaporkan berdepan empat tuntutan dari UMNO yang perlu ditunaikan jika tidak mahu dirinya disingkirkan dari jawatan Naib Presiden parti.
Empat tuntutan tersebut adalah penyingkiran Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun, pengampunan diraja untuk Najib Razak dan akhir sekali pembubaran parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum dengan segera.
Empat tuntutan ini menunjukkan UMNO kini berada dalam keadaan semakin terdesak. Apa yang berlaku kepada Najib membuktikan ia juga boleh berlaku kepada pemimpin UMNO yang lain, khususnya Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang turut berdepan kes mahkamah. Justeru campur tangan Perdana Menteri adalah perlu bagi menukar Ketua Hakim Negara kepada individu yang boleh dikawal UMNO. Begitu juga dengan penyandang jawatan Peguam Negara yang perlu diisi oleh individu pro-UMNO bagi tujuan melindungi pemimpin UMNO dari sebarang tuduhan dan perbicaraan mahkamah.
Membebaskan Najib juga termasuk dalam agenda UMNO kerana inilah ‘poster boy’ sebenar parti itu, bukannya Ismail Sabri. Persetankan hakikat bahawa Najib seorang kleptokrat yang kini bergelar banduan akibat jenayah songlap beliau. UMNO sebagai sebuah parti yang memang bergelumang dalam rasuah dan salah guna kuasa sememangnya tidak peduli tentang imej buruk Najib kerana di mata penyokong mereka, beliau masih suci dan tidak pernah salah.
Najib diperlukan UMNO kerana ketokohan beliau sahaja yang mampu memimpin parti itu menempuh pilihan raya umum akan datang. Keupayaan Najib menggembleng sokongan akar umbi terbukti jelas dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 dan Pilihan Raya Negeri Johor 2022 dimana UMNO dan BN menang besar.
UMNO juga melihat keperluan mengadakan pilihan raya umum dengan kadar yang segera akan lebih memihak kepada parti itu dan gabungan BN. Ini berikutan kem pembangkang yang masih berpecah dan tidak berupaya mewujudkan konsep ‘khemah besar’ mereka bagi menyaingi BN. Gabungan BERSATU dan PAS dalam PN juga dilihat masih samar dalam usaha mereka mewujudkan ‘electoral pact’ bersama kem pembangkang bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih yang terbukti menguntungkan UMNO dan BN seperti yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.
Pilihan raya dalam tempoh terdekat juga dapat menyelamatkan pemimpin UMNO lain yang kini berdepan perbicaraan mahkamah, selain dari mengambil kesempatan sebelum beberapa isu nasional melibatkan UMNO seperti skandal kapal LCS, menjadi lebih marak dan menggugat peluang UMNO dalam pilihan raya.
Negara Milik Mutlak UMNO?
Tuntutan-tuntuan UMNO ini sebenarnya bukan sekadar tidak masuk akal, tetapi ia juga satu penghinaan kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Tuntutan UMNO bermakna konsep pengasingan kuasa akan digadaikan sekali lagi dan institusi kehakiman akan dicemari bagi memenuhi agenda jahat UMNO.
Bahkan, tuntutan UMNO dalam pengampunan diraja untuk Najib Razak bukan sahaja menghina keputusan mahkamah dan proses undang-undang tetapi merupakan ugutan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Ia kini menjadi satu lagi episod pertembungan antara UMNO dan pihak istana, yang pernah berlaku acap kali sebelum ini dan pernah saya tuliskan dahulu.
Begitu juga dengan tuntutan UMNO agar pilihan raya umum diadakan segera, ketika penggal parlimen masih berbaki lebih setengah tahun lagi serta dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu dan rakyat yang hidupnya makin tertekan. Ia bukanlah untuk mendapatkan mandat baharu rakyat, tetapi lebih kepada strategi UMNO untuk kembali berkuasa seperti zaman dahulu dengan majoriti 2/3 mereka.
Adalah sangat ketara tindak-tanduk UMNO dan tuntutan melampau mereka mencerminkan sifat sebenar parti itu. UMNO berjuang untuk UMNO sendiri. Bukannya untuk bangsa Melayu atau umat Islam dan tentu sekali bukan untuk rakyat Malaysia keseluruhannya.
Kerana jika benar UMNO sebuah parti yang mementingkan masa depan Malaysia, maka langkah seperti membebaskan penjenayah kleptokrat seperti Najib bukanlah satu langkah yang bijak.
Tetapi bagi pemimpin dan penyokong UMNO, mereka merasakan bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa peduli tentang kesannya. Sebagaimana UMNO pernah mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14 melalui Langkah Sheraton, begitulah juga UMNO percaya membebaskan si kleptokrat adalah hak mereka tanpa memikirkan kesannya pada negara.
Adakah negara ini milik mutlak UMNO?
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.