Lewat kebelakangan ini, kerap timbul persoalan tentang sejauh manakah hubungan antara kerajaan di bawah Pakatan Harapan dan institusi Raja-raja Melayu. Krisis Menteri Besar di Johor, perseteruan antara Perdana Menteri dan Tunku Mahkota Johor dan yang terkini insiden ‘tidak bersalam’ antara Menteri Besar Kedah dan Sultan Johor membuatkan kita terfikir adakah tidak wujud persefahaman antara kerajaan dan pihak istana.
Namun, jika diteliti kembali perselisihan antara kerajaan dan istana kita akan dapati bahawa bukan hanya di bawah Pakatan Harapan timbulnya isu sebegini. Malahan, perseteruan ini telah wujud sekian lama walaupun dalam lingkungan enam dekad di bawah kerajaan Barisan Nasional.
Walaupun selama ini UMNO selalu menonjolkan diri mereka sebagai pembela bangsa Melayu dan sekaligus benteng kuasa raja-raja Melayu, tetapi sejarah menunjukkan banyak berlaku krisis antara Menteri Besar (MB) dan istana yang melibatkan UMNO.
Salah satu krisis MB dengan istana yang terkenal adalah di negeri Perak. Ini bukan krisis tahun 2008 bila Sultan Azlan memilih ADUN PAS menjadi Menteri Besar sehingga diboikot DAP atau tahun 2009 apabila berlaku rampasan kuasa oleh BN dan krisis perlembagaan yang menyusul kemudian.
Krisis yang dimaksudkan melibatkan MB Perak, Mohamed Ghazali Jawi yang dilantik menjadi MB buat kali kedua setelah pulang dari menjadi duta di Mesir. Sultan Idris, sultan Perak ketika itu memang tidak bersetuju dengan perlantikan Ghazali tetapi telah diperdaya oleh Tun Razak, presiden UMNO ketika itu untuk terima sahaja perlantikan tersebut dengan syarat Ghazali hanya menjadi MB selama 2 tahun. Namun selepas 2 tahun, Ghazali kekal menjadi MB dan Sultan Idris mendapat tahu bahawa seorang sultan tidak mempunyai kuasa untuk memecat MB.
Punyalah sakit hati dan murka Sultan Idris, dikhabarkan semasa di Pulau Pangkor baginda bernazar untuk tidak bercukur dan akan menyimpan jambang selagi Ghazali kekal menjadi MB. Apabila Tun Hussein Onn menggantikan Tun Razak sebagai presiden UMNO, barulah Ghazali akhirnya meletak jawatan MB setelah dipujuk oleh Tun Hussein.
Krisis yang berlaku di Perak bukanlah terpencil. Pahang juga pernah berdepan krisis mereka tersendiri. Abdul Rahim Bakar merupakan MB Pahang yang cuba memperkenalkan sistem tender terbuka untuk mendapatkan kawasan pembalakan di Pahang. Sultan Ahmad Shah yang tidak dapat menerima perubahan yang dibawa oleh Rahim pernah bertindak sehingga tidak membenarkan MB hadir ke majlis keputeraan baginda.
Di Johor pula, Othman Saat selaku antara MB paling lama mentadbir Johor selepas merdeka pernah mempertikaikan perlantikan Sultan Mahmud Iskandar selaku Tunku Mahkota Johor. Sultan Iskandar sebelum ini pernah dilucutkan dari kedudukan sebagai TMJ pada 1961 oleh ayahandanya Sultan Ismail atas masalah disiplin. Tetapi tidak lama sebelum mangkatnya Sultan Ismail, kedudukan sebagai TMJ dikembalikan kepada Sultan Iskandar. Othman Saat mempertikaikan keputusan ini atas dakwaan Sultan Ismail sudah pun koma ketika kedudukan sebagai TMJ dikembalikan kepada Sultan Iskandar.
Sultan Iskandar bagaimanapun diisytiharkan juga sebagai Sultan Johor setelah kemangkatan Sultan Ismail. Baginda kemudian menitahkan agar Othman Saat meletak jawatan MB dalam tempoh 24 jam dengan Sultan Iskandar dikhabarkan bakal memegang jawatan sebagai MB merangkap sultan. Campur tangan UMNO pusat berjaya menjernihkan keadaan dan akhirnya Othman Saat meletak jawatan manakala Sultan Iskandar pula tidak menuntut jawatan MB untuk diri baginda sendiri.
Krisis seakan sama juga pernah berlaku di Terengganu. Nik Hassan Wan Abdul Rahman merupakan MB Terengganu ke-9 dan pernah dimurkai oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Ura-ura mengatakan punca perselisihan antara kerajaan negeri dan istana berpunca dari tindakan Nik Hassan dan parti UMNO yang cuba menjual minyak secara rahsia kepada pihak luar. Pada masa itu Akta Pembangunan Petroleum masih belum diluluskan oleh parlimen dan kerajaan Persekutuan dikatakan cuba merampas hak milik minyak dari Terengganu, dengan bantuan Nik Hassan selaku MB. Kemurkaan Sultan Ismail berkesudahan dengan Nik Hassan dibuang negeri dan tidak dibenarkan kembali selagi masih ada hayat Sultan Ismail. Tetapi tidak sebelum lulusnya akta tersebut tadi mengakibatkan duit hasil minyak Terengganu menjadi milik Petronas dan kerajaan Persekutuan.
Apabila cucunda Sultan Ismail iaitu Sultan Mizan memerintah Terengganu, sekali lagi krisis tercetus pada tahun 2008 apabila ada ahli UMNO tidak bersetuju dengan pemilihan Ahmad Said selaku MB oleh sultan. Ahli UMNO menuntut agar jawatan MB diberikan kepada Idris Jusoh sehingga demonstrasi diadakan dan kain rentang dinaikkan dengan ungkapan popular, “Kami nak Idris, natang”. Isu ini selesai akhirnya dan Ahmad Said sah dilantik sebagai MB walaupun ada unsur tidak puas hati di kalangan ahli UMNO yang lain.
Semua krisis yang berlaku antara kerajaan dan istana ini melibatkan UMNO selaku parti pemerintah. Dalam kes Terengganu dan Perak, krisis tersebut mengakibatkan banyak keputusan atau permohonan kerajaan negeri tidak mendapat perkenan sultan selama berbulan lamanya. Makna kata, apa yang berlaku bukanlah kes kecil dan boleh dipandang remeh. Bagaimanapun semuanya berjaya diselesaikan, sama ada melalui keputusan beralah oleh kerajaan negeri atau pihak istana sendiri.
Jadi apa yang berlaku di Perlis baru-baru ini kalau dilihat adalah tidak lain merupakan satu lagi sifat UMNO yang tidak akan teragak-agak melawan istana bila perlu. Kita sudah melihat insiden yang serupa di negeri-negeri lain. Malahan UMNO sendiri pernah bangkit melawan raja-raja Melayu di peringkat Persekutuan melalui krisis perlembagaan pada tahun 1983 dan sekali lagi pada tahun 1993, keduanya berlaku di bawah era Mahathir Mohamad.
Masih lagi nak yakin bahawa UMNO ini benteng kuasa raja-raja Melayu?
Jadi adakah dengan sifat melawan UMNO ini kita boleh katakan, UMNO ini parti revolusioner?
Itu nanti kita bincangkan di hari yang lain.
Tetapi apa yang jelas jika disorot dari insiden-insiden politik yang telah berlaku, ternyata baik di bawah Barisan Nasional atau pun Pakatan Harapan, kerajaan akan mempunyai pandangan dan kepentingan sendiri yang tidak semestinya selari dengan aspirasi pihak istana.
Apabila berlaku pertembungan, kedua pihak akan saling berusaha untuk mempertahankan kehendak mereka.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.