2019-nCoV: Apa Yang Sebenarnya Perlu Kita Fahami

Saja nak bagi tahu, hari ini ada banyak penerbangan dari China yang mendarat di Filipina.

Ada penerbangan Air China dari Beijing, China Eastern Airlines dari Shanghai, Xiamen Air dari Jinjiang dan China Southern Airlines dari Guangzhou.

Tak pasti pula aku jika semua penerbangan tadi kosong dalam tu atau tak ada pelancong dari China langsung.

Yang tak boleh terbang masuk Filipina adalah penerbangan dari Wuhan. Benda yang sama sebenarnya Malaysia sudah buat sejak Khamis lalu.

Juga, belum ada mana-mana negara di dunia yang halang 100% rakyat dari China masuk ke negara mereka.

Jadi yang duk banding konon Filipina lagi handal urus hal 2019-nCoV berbanding Malaysia ini, korang guna apa? Keratan dari tajuk media sahaja kah?

HABIS TU YANG FILIPINA HANTAR 500 PELANCONG CHINA BALIK TU APA DIA?

Ada baca berita tak? Yang hampir 500 dihantar pulang itu adalah mereka yang naik penerbangan dari Wuhan hanya beberapa jam sebelum kerajaan China isytihar ‘lockdown’. Sebab mereka terlepas dari Wuhan, mereka dihantar pulang. Kita di Malaysia memang sudah sekat penerbangan dari Wuhan, tak kisahlah keputusan dari kerajaan atau syarikat penerbangan sendiri.

Tetapi, penerbangan dan pelancong China dari bandar lain boleh saja terbang masuk ke Filipina, tertakluk pada saringan kesihatan di lapangan terbang. Benda yang sama sahaja kita buat di Malaysia juga.

MANA KAU TAHU ADA KAPAL TERBANG CHINA MASIH BOLEH MASUK FILIPINA?

Main Facebook je pandai kau ni. Google lah. Zaman sekarang semua lapangan terbang antarabangsa ada sediakan informasi ‘arrival’ dan ‘departure’ mereka. Dari situ saja boleh nampak bersepah penerbangan dari China mendarat di Filipina dan banyak lagi negara lain.

AKU TAK PEDULI, AKU MASIH NAK CAKAP CARA FILIPINA URUS LEBIH BAIK DARI MALAYSIA!

Okey, meminjam kata menteri zaman dulu, pergilah pindah Filipina. Baru kau tahu langit tinggi rendah duduk sana. Sukan SEA 2019 diorang buat pun banding dengan SUKMA kita, hebat lagilah SUKMA.

TAPI AKU MASIH NAK KERAJAAN SEKAT SEMUA PELANCONG CHINA!

Malaysia ini negara ahli World Health Organisation (WHO). Di bawah WHO, ada International Health Regulations (IHR), undang-undang antarabangsa yang ‘legally binding’ dan bermatlamat untuk:

a) membantu negara-negara untuk bekerjasama menyelamatkan nyawa yang terancam akibat penyebaran penyakit dan risiko kesihatan di peringkat antarabangsa.

b) mengelakkan gangguan tidak sepatutnya dalam perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Guna IHR ini untuk mencegah, melindungi, mengawal dan menyediakan tindak balas kesihatan awam terhadap penyebaran penyakit antarabangsa dengan kaedah yang bersesuaian dan tertakluk pada risiko kesihatan awam. Tapi pada masa sama mengelakkan gangguan tidak sepatutnya terhadap perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Senang cerita, apa yang negara kita buat tertakluk pada WHO dan IHR ini, sama macam negara lain. Cuma pada masa yang sama Malaysia bertanggungjawab untuk laksanakan apa yang perlu mengikut garis panduan kesihatan awam kita sendiri, seperti ujian saringan di point of entry.

HABIS TU KITA NAK BIAR SAJA PESAKIT CORONAVIRUS NI DUDUK DALAM MALAYSIA?

Dukacita dimaklumkan ya. Sebab kalau ikut IHR tadi, state party (yakni kerajaan) perlu menyediakan penjagaan kesihatan yang sewajarnya kepada mereka yang dijangkiti penyakit dan ini termasuklah dengan menempatkan mereka di hospital milik kerajaan untuk dipantau dan dirawat selaras dengan hak-hak asasi manusia yang ditetapkan WHO dan PBB.

Juga kita tak boleh nak hantar mereka pulang sebab pesakit ini dalam fasa ‘isolation’ (separation of ill or contaminated persons from others in such a manner as to prevent the spread of infection or contamination). Kita tak boleh nak tempatkan mereka dalam mana-mana penerbangan pulang kerana risiko jangkitan pada penumpang lain. Hell, kalau kita nak sediakan penerbangan khas pun untuk bawa mereka sahaja, perlu ingat orang sakit adalah “unfit to fly” dan ini sudah boleh jatuh kepada pelanggaran hak asasi manusia tadi. Lagi pun, siapalah yang sanggup jadi ‘pilot’ penerbangan khas ini?

Ada orang kata, Korea Utara rilek je sekat semua orang China. Ya tapi sumber berita itu pun tak pasti benar atau tidak. Korea Utara ni ‘pariah state’, bukannya nak ikut cakap PBB atau WHO. Takkanlah kita nak jadi paria macam dia juga?

Dan setahu aku, Korea Utara ni hampir 100% bergantung nyawa pada China. Matilah dia kalau beriya nak sekat.

TAPI YANG PERGI BAWA PESAKIT CHINA DARI JOHOR BAHRU SAMPAI SUNGAI BULOH APA JADAHNYA?

Kementerian Kesihatan Malaysia dah jelaskan, Hospital Sungai Buloh adalah hospital khusus untuk penyakit berjangkit. Kita ada pakar di sana yang tahu apa perlu mereka buat.

Kita tak boleh nak sekadar rawat di sempadan atau lapangan terbang. Maaf, benda ni berbalik pada IHR yang digunakan oleh WHO tadi. Ada ‘obligation of state parties’ yang kita kena ikut.

Cakap-cakap konon kerajaan membahayakan nyawa penjawat awam seperti doktor dan jururawat, aku rasa tak sesuai. Mereka sendiri sedar dalam bidang kerja mereka bersumpah untuk menyelamatkan nyawa. Itu risiko kerja mereka. Lagi pun, alatan perlindungan peribadi secukupnya telah dibekalkan pada kakitangan kesihatan kita.

KERAJAAN SAYANG SANGAT KAT CHINA, TU LAH PASAL!

Kerajaan sekarang atau kerajaan dulu sama sahaja. Bila berdepan dengan krisis seperti ini kita adalah negara yang akan sentiasa ikut garis panduan ditetapkan, itulah hebatnya Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam hubungan antarabangsa.

Semasa Middle East Respiratory Syndrome (MERS) menular sebagai contoh, tidak ada sekatan dikenakan untuk pelancong Arab Saudi dan rakyat Malaysia juga bebas menunaikan umrah atau haji di sana. Ini kerana kita mengikut pada garis panduan IHR yang dikeluarkan oleh WHO, yang juga merangkumi himpunan massa antarabangsa seperti Olimpik dan Haji.

TAPI DULU MASA SARS DAN MERS AHLI POLITIK PEMBANGKANG PUN BISING JUGA KONDEM KERAJAAN!

Betul. Itulah sebabnya jangan suka sangat main sentimen dan emosi. Dulu PH buat pada BN, sekarang BN buat pada PH balik. Padanlah muka.

Padahal aku berani katalah kalau Najib yang satu lagi jadi PM sekarang dia pun keluar Buletin Utama beritahu keadaan terkawal dan tiada sekatan perlu dikenakan ke atas pelancong China. Tapi sebab sekarang dia bukan pegang jawatan dan tak ada tanggungjawab, bolehlah cakap melulu.

Sepatutnyalah, selepas ini janganlah kedua pihak suka bermain sentimen dan emosi. Ikut fakta, bukan auta.

Sebab itu juga aku tulis benda ini berdasarkan fakta yang aku baca sendiri. Kerana perlu perjelaskan benda yang bukan-bukan.

Macam contoh, orang buat perbandingan Malaysia dan Filipina tapi perbandingan tersebut tak sama. Kemudian ramai yang berhujah Rusia, Indonesia atau Filipina sekat pelancong China dari masuk ke negara mereka tapi tiada sumber sahih.

Kita ni kena hentikanlah amalan berkongsi benda tidak pasti atau membaca sekadar tajuk sahaja.

AH! KAU NI BANYAK SLURPP SEBENARNYA, PEKAT SANGAT, BANYAK MINUM KENCING PH, ANAK PENAKAN LIM KIT SIANG!

Okey, lantak kaulah.

Komen