2 Kisah 1 Persoalan: Mampukah Negara Kita Menyediakan Akses Rawatan Menyeluruh Dan Percuma Kepada Semua Kanak-Kanak Bawah 5 Tahun?

Kisah 1:
Kanak-kanak berusia 1 tahun +, bukan warganegara, mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan badan sebanyak 15% apabila air panas tumpah di atasnya. Mereka tinggal di kawasan ladang sawit yang berada sangat jauh di kawasan pedalaman. Kenderaan untuk ke hospital sukar dicari dan ia diburukkan lagi dengan status Total MCO yang berlaku di negara kita. Rawatan yang diberi ibu cuma dengan menyapu bahagian tercedera dengan tepung. Selepas lebih 12 jam, barulah mangsa dibawa ke sebuah klinik kesihatan dan berada dalam keadaan kesakitan dan luka melecur yang ada tanda jangkitan kuman. Setelah rawatan awal, kanak-kanak itu dihantar ke hospital besar dengan ambulan.

Kisah 2:
Kanak-kanak berusia 1 tahun +, bukan warganegara mengalami demam panas dan cirit-birit selama dua hari. Mereka orang susah dan tinggal di perkampungan atas air. Pada hari kedua mengalami masalah tersebut, keadaannya menjadi semakin teruk. Dia tidak boleh makan dan minum dan menjadi semakin lemah. Akhirnya, dia mengalami sawan panjang tetapi tidak segera di bawa ke hospital kerana tiada kenderaan dan hujan ribut. Setelah sejam sawan tidak berhenti, dia akhirnya dibawa ke hospital dan menerima rawatan. Gula dalam badannya rendah, sawan berterusan, tidak sedarkan diri dan pernafasannya tidak teratur. Ubat-ubatan diberi untuk menghentikan sawan. Cecair bergula dimasukkan ke dalam saluran darah untuk menaikkan bacaan gula. Prosedur intubasi dilakukan disebabkan pernafasannya yang menjadi semakin tidak normal. Bapanya merayu-rayu agar anaknya diselamatkan dan tidak putus-putus berdoa di katil sementara menanti anaknya dimasukkan ke dalam wad.

Ironinya, kedua-dua kes tiba serentak ke Jabatan Kecemasan. Dua kes ini sebenarnya bukanlah contoh ekstrim yang berlaku terhadap kanak-kanak. Ramai dari mereka sebenarnya bahkan tidak mendapat akses kesihatan yang sepatutnya.

Mereka tidak mempunyai akses untuk suntikan vaksinasi, pemeriksaan berkala oleh pegawai perubatan atau rawatan kecemasan secara segera di hospital disebabkan banyak faktor. Yang paling banyak saya temui adalah faktor sosial dan kewangan.

Kanak-kanak sepatutnya dilindungi oleh undang-undang. Malah, negara kita turut mempunyai Akta Kanak-Kanak yang diluluskan pada tahun 2001 dan menjamin agar pengabaian terhadap kanak-kanak tidak dilakukan.

Kedua-dua kes di atas sebenarnya boleh dilaporkan kepada pihak polis kerana mempunyai unsur pengabaian apabila dilihat dengan mata kasar. Tetapi apabila kita menggunakan mata hati dan naluri kemanusiaan, maka kita akan sedar bahawa ibu bapa kanak-kanak itu juga sebenarnya mangsa.

Mereka sayangkan anak mereka tapi apa daya-upaya mereka untuk memberikan rawatan terbaik buat anak mereka!
Ada ibu-bapa yang menolak kemasukan anak-anak ke wad kerana tiada orang yang dapat menjaga anak-anak lain di rumah. Ia adalah alasan normal. Kepada siapa penjagaan kanak-kanak di rumah hendak diserahkan? Kepada keluarga, mereka tidak punyai keluarga. Kepada jiran, jiran turut sedang cuba untuk meneruskan kelangsungan hidup, meminta suami tidak turun kerja, maka tiadalah pendapatan harian mereka.

Berkali-kali, kami pernah merujuk kes yang lebih teruk dari itu kepada pihak kebajikan tetapi maklumbalas yang diperolehi sangat mengecewakan. Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana mereka tiada dokumen pengenalan yang sah.

Sebelum ini, ada beberapa orang doktor pakar yang saya kenal (terutamanya pakar kanak-kanak) yang sanggup mengeluarkan duit poket mereka sendiri sebanyak beribu-ribu ringgit demi untuk membayar bil rawatan kanak-kanak. Tapi, ini bukan langkah popular dan berkekalan!

Kita hari ini melaungkan betapa kita mahu melindungi kanak-kanak. Tapi, adakah sistem sokongan kita betul-betul kuat untuk melindungi mereka?

Saya yakin dan percaya bahawa setiap kanak-kanak harus dilindungi hak mereka serta dijaga kebajikan; makan-minum, keselamatan, kesihatan dan tempat tinggal. Soalnya, bagaimana kita mahu menjamin bahawa mereka semua berhak mendapatkan akses ini?

Komen