Salah satu langkah mesra rakyat berkaitan pendidikan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 adalah pelaksanaan had yuran universiti awam.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 telah menetapkan had yuran kemasukan ke universiti awam hendaklah tidak melebihi had RM1,500.
Had ini adalah selari dengan nilai Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN sebanyak RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
PMX dalam ucapan Belanjawan 2024 menyebut bahawa “saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian”.
Insiden sesetengah pelajar dari keluarga dhaif tidak mampu melanjutkan pengajian tinggi akibat yuran yang mahal adalah isu yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Justeru langkah Kerajaan Perpaduan menetapkan had yuran tidak melebihi RM1,500 adalah suatu keputusan yang pertama seumpamanya dalam menjamin pendidikan tinggi untuk semua.
Kerajaan juga mahukan pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek setiap semester sebaliknya bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan PTPTN juga hendaklah berperanan sebagai pemudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran.
Had yuran pengajian tidak lebih RM1,500 ini akan bermula pada Januari 2024 dan setiap universiti awam diingatkan agar patuh kepada had yuran yang dikenakan ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Seri Khaled Nordin memberi peringatan mana-mana universiti awam yang melanggar had yuran pengajian akan berdepan tindakan dari Kementerian Pendidikan Tinggi.