Yo Soy El Diego

(Artikel ini asalnya diterbitkan dalam buku Cerita Piala Dunia 2010 dan mengulas tentang Diego Maradona usai perlawanan kalah mati pusingan kedua antara Argentina dan Mexico yang berkesudahan dengan kemenangan3-1 untuk Argentina. Ia diterbitkan kembali sempena memperingati pemergian Maradona ke negeri abadi)

Skuad Argentina dan jurulatihnya tidak pernah sunyi dari kontroversi setiap kali Piala Dunia. Daniel Passarella pada tahun 1998 mengharamkan pemain berambut panjang dalam skuad Argentina. Jose Pekerman pada tahun 2006 adalah perokok tegar dan dikatakan kononnya pencetus pergaduhan antara Jerman dan Argentina selesai perlawanan suku akhir.

Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, kontroversi Argentina terbit dari satu susuk yang pada sesetengah individu dianggap seperti Tuhan. Susuk yang bernama Diego Armando Maradona.

I
Apabila Argentina tunduk 0-1 kepada Chile dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia, kali pertama sejak 1973, jurulatih Alfio Basile dipecat oleh AFA. Diego Maradona kemudiannya ke udara di radio, menjelaskan betapa beliau amat bersukacita untuk menjadi jurulatih baru dan berhak kepada jawatan itu. Dua minggu kemudian Maradona ke udara sekali lagi, mendakwa bahawa beliau akan “memilih pemain tetapi akan mendengar kepada pendapat Carlos Bilardo”, tanpa menunggu pengumuman rasmi dari AFA.

II
Ke-4 dalam kumpulan kelayakan CONMEBOL, Argentina bertandang ke Montevideo untuk berhadapan dengan musuh tradisi, Uruguay. Argentina menang 1-0 dan layak ke Piala Dunia 2010. Media Argentina sebelum perlawanan menghentam Maradona habis-habisan dan ‘El Diez’ tidak membuang masa untuk membalas dendam. “Suck it, fuck all of you, come and suck it!” kata Maradona diikuti dengan penggantungan oleh FIFA kemudiannya.

III
Kemenangan bermakna di Montevideo disambut oleh Maradona dan Bilardo, gambar mereka berpelukan terpampang di dada akhbar Argentina, simbol simbiosis seorang pemain lagenda dan seorang pakar taktikal. Dua bulan kemudian ketika penerbangan pulang dari Sepanyol selepas tewas kepada skuad Cataloni 2-4, Maradona enggan duduk di kelas pertama bersebelahan Bilardo.

IV
Keretakan hubungan Maradona dan Bilardo dikatakan berpunca dari pembantu jurulatih yang dipilih oleh Maradona sendiri, Alejandro Mancuso. Mancuso dikatakan tidak sefahaman dengan Bilardo dan Bilardo sendiri pernah membayangkan isu ini kepada media. “Obama was allowed to choose his assistant, so why can’t I?” soal Maradona kemudiannya.

V
Apabila FIFA berkira-kira mahu mengharamkan bolasepak di altitud tinggi, seperti di Bolivia, Maradona antara individu yang keras menentang usaha FIFA itu. Argentina bertandang ke La Paz untuk perlawanan kelayakan mereka dan dibelasah 1-6. Maradona berjaya menyamai rekod kekalahan paling buruk Argentina yang sebelum ini dicatatkan pada Piala Dunia 1958 menentang Czechoslovakia.

VI
Peminat bola sepak kebanyakan terbahagi dua bila diminta menamakan pemain bola sepak terhebat dunia. Ia sama ada Pele atau Maradona. Dan Maradona jelas tidak menggemari hakikat bahawa status yang sepatutnya menjadi milik beliau tergugat oleh kehadiran Pele. Bila Pele mengkritik perlantikan Maradona sebagai jurulatih Argentina, El Diez pantas menjawab “Pele lost his virginity to a boy, so what do you expect?”

VII
Ya untuk Diego Milito, tidak untuk Javier Zanetti. Kedua-duanya bermain untuk Internazionale dalam musim kemenangan ‘treble’ kelab Itali itu. Tetapi Maradona enggan menyenaraikan Zanetti sebaliknya hanya memilih Milito. Pun begitu El Diez menegaskan kepada semua Milito tidaklah sehebat beliau barangkali dengan kenyataan “I’m not surprised about what Milito has done”.

VIII
Ketika pasukan bola sepak lain berlatih 2 sesi sehari, Argentina bawah Maradona hanya melakukan sesi petang. Bila sistem latihan beliau dipertikaikan seorang wartawan, Maradona pantas menjawab, “You yourself didn’t look like you do much exercise, I’d like to see you come Sunday”.

VIIII
“Of course, as long as the women do all the work,” kata Maradona bila disoal jika beliau membenarkan pemainnya melakukan hubungan seks sepanjang Piala Dunia.

X
Memandu keretanya ke sidang akhbar untuk mengumumkan senarai skuad 23 pemain ke Afrika Selatan, Maradona menggelek kaki salah seorang wartawan yang mengerumuninya. “What an asshole you are!” jerit Maradona seperti yang didakwa oleh para saksi kejadian.

XI
Janji Maradona jika menang Piala Dunia 2010, berlari bogel di Buenos Aires. Seluruh dunia tergamam. Mereka menang ke atas Mexico 3-1 dan realiti Maradona berbogel kini semakin hampir.

Komen