Saudaraku,
Syukur kepada Tuhan, hari ini 23 Februari telah genap setahun Langkah Sheraton. Langkah yang dibuat oleh pemimpin politik Melayu Islam demi menyelamatkan umat dari pemerintahan rejim PH-DAP. Cukuplah 22 bulan kita orang Melayu dan umat Islam merana di bawah pemerintahan rejim PH-DAP tersebut yang cuba membawa agenda reformasi institusi, hak asasi manusia, kebebasan demokrasi dan hak samarata. Bagaimana mungkin kita boleh menerima ini semua dan melihat kedudukan istimewa Melayu dan Islam tergugat?
Bertitik tolak dari kesedaran inilah maka pemimpin politik Melayu Islam dari tiga parti besar duduk semeja berbincang dan merangka penubuhan kerajaan baharu. Kerajaan yang akan mengangkat martabat Melayu dan Islam agar ia tidak lagi diinjak dan diperlekehkan. Bukan senang untuk tiga parti besar ini; UMNO, PAS dan BERSATU mencapai kata sepakat tetapi demi agama, bangsa dan kuasa mereka akhirnya mengenepikan perbezaan demi berhadapan musuh yang sama, rejim PH-DAP.
Bersempena setahun Langkah Sheraton, tidak dapat tidak kita wajib soroti kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebuah kerajaan pimpinan Melayu Islam. Menyorot kembali ini penting agar kita insaf dan rasa bersyukur bagaimana negara ini berjaya diselamatkan dari rejim PH-DAP.
Seharusnya kita bermula dengan situasi pandemik Covid-19 yang mewarnai setahun Langkah Sheraton ini. Pada hari pemimpin politik Melayu Islam berhimpun di Hotel Sheraton untuk memperjuangkan nasib rakyat, ada sejumlah 22 kes Covid-19 yang telah dikesan. Hari ini, berkat pemerintahan kerajaan PN negara ini sekadar mencatatkan sejumlah 285,761 kes Covid-19 dengan 1,062 kes kematian, jauh lebih baik dari situasi Covid-19 di Itali, Amerika Syarikat dan banyak negara lain.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika rejim PH-DAP masih kekal berkuasa? Seperti kata Menteri Terpaling Kanan, Azmin Ali, mungkin lebih ramai rakyat Malaysia yang mati. Hanya dengan adanya kerajaan PN kes Covid-19 berjaya dikekang dari 22 kes meningkat ke hanya 285,761 kes. Jauh dari mencecah angka sejuta.
Ketegasan kerajaan PN dalam melindungi rakyat Malaysia dapat dilihat jelas dengan usaha membendung penularan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat, dua perkara yang sudah pasti tidak pernah berlaku ketika rejim PH-DAP berkuasa. Kadar kompaun bagi mereka yang didapati tidak patuh SOP atau melanggar PKP dinaikkan ke angka RM1,000. Penguatkuasaan ini dibuat secara adil dan saksama tanpa mengira pangkat atau darjat. Ada menteri yang sudah dikompaun RM1,000 dan ada anak dan menantu pemimpin politik didenda RM800 kerana ingkar PKP. Mereka ini dikompaun sama seperti rakyat biasa yang menurunkan pelitup muka untuk ambil nafas di stesen KTM Komuter atau tidak memakai langsung pelitup muka ketika keluar dari kereta untuk mengambil anak di kerusi penumpang. Bukti jelas bahawa pemerintahan Melayu Islam itu adil dan tidak menindas sesiapa.
Dalam tempoh setahun sejak Langkah Sheraton dilaksanakan, ktia dapat melihat betapa prihatinnya kerajaan PN dalam membela nasib rakyat terutamanya orang Melayu dan umat Islam. Contoh yang paling jelas boleh dilihat dalam penciptaan peluang pekerjaan untuk 24 orang pemimpin politik PN, melalui lantikan politik dalam GLC atau pentauliahan sebagai duta atau wakil khas kerajaan. Dari 24 peluang pekerjaan yang dicipta ini, 83% telah diberikan kepada pemimpin politik berbangsa Melayu dan beragama Islam. Yang terkini, Peja Azumu mendapat kerja di KTM Berhad. Ini yang ke-25 jika tidak silap.
Keprihatinan kerajaan PN tidak terhad kepada pucuk pimpinan sahaja, malahan turut terlihat kepada rakyat jelata. Hanya dengan keprihatinan PN sajalah rakyat diberi peluang mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk menebus emas di pajak gadai atau sekadar membeli beras untuk anak makan dengan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar. Pekara seperti ini tidak pernah berlaku baik ketika era BN atau rejim PH-DAP. Pada masa sama, rakyat juga terus diberi pelbagai bantuan lain seperti pembinaan tiga dewan berharga RM puluhan juta dan janji komputer sebanyak 150,000 unit untuk dipinjam.
Pencapaian jemaah menteri kabinet kerajaan PN juga adalah bukti berkat pemerintahan diredhai Tuhan ini. Menteri Wanita, Rina Harun membuktikan wanita boleh kurus dan cantik walaupun sibuk bekerja dan pada masa sama boleh mengumpul wang sehingga jutaan ringgit untuk membayar hutang. Yang penting usaha dan tawakal. Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba mencetuskan revolusi dalam dunia perubatan apabila menemui kaedah ampuh melawan virus Covid-19 dengan amalan minum air suam. Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin pula membuktikan kebenaran ungkapan ‘study sentimental score heavy metal’ adalah sangat bersesuaian dengan pendidikan norma baharu yang diurus secara sentimental disulami pengumuman penuh mental. Menteri Pendidikan Tinggi pula merasakan pertandingan Tiktok adalah perlu sebagai hiburan buat siswa yang tertekan dengan pandemik. Ini hanya sebahagian dari menteri PN yang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang membuktikan kehandalan mereka memimpin berbanding menteri rejim PH-DAP yang tidak kompeten, seperti Dr. Maszlee Malik dan polisi kasut hitam contohnya.
Tetapi pastilah, yang terpaling hebat dan disayangi ramai adalah Abah Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri pertama yang membaca doa dalam perutusan khas yang sebenarnya dirakam serta menjadi perintis sebagai pemimpin dunia pertama tidak perlu menjawab soalan wartawan. Kebijaksanaan kerajaan PN tiada bandingnya.
Kesemua ini saudaraku, dicapai dalam keadaan Malaysia berdepan krisis pandemik. Dan paling luar biasa, di saat yang sama juga kerajaan PN membuktikan pelbagai isu yang timbul ketika rejim PH-DAP memerintah telah mereka selesaikan dengan baik dalam tempoh setahun Langkah Sheraton.
Kes pembunuhan arwah Adib kini dalam siasatan yang setahun lamanya. Isu pemandu mabuk telah diselesaikan dengan meluluskan undang-undang dengan hukuman lebih berat yang tidak berjaya disiapkan oleh Menteri PH-DAP dahulu, pada masa yang sama kerajaan PN telah memutuskan bahawa arak adalah hak bukan Islam. Persoalan sekolah vernakular telah ditangani baik melalui perjumpaan PM dan Dong Zong serta dianggap selesai dengan kerajaan menghormati sistem sekolah vernakular. Menteri Agama dengan baik menyantuni LGBT serta isu Melayu murtad bukan lagi isu sehingga perkahwinan di Gurdwara kini tidak menjadi masalah. RUU355 atau Hudud kini sedang dikaji semula untuk dibentangkan di kemudian hari mengikut mimpi petanda ulama nanti. Semua ini dilakukan dengan cermat seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tidak berserakan agar keharmonian kaum di Malaysia terus terjaga. Dan tidak lupa, cabutan khas nombor ekor ditambah buat rakyat berjudi dan kantung pemerintah bertambah.
Syukur.
Setahun Langkah Sheraton kerajaan kita telah diganti dengan kerajaan prihatin yang tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang. Dan hari demi hari mereka membuktikan mereka bukanlah kerajaan yang diundi rakyat, tetapi kerajaan yang rakyat perlukan.
Takbir!

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.