Warga Emas Mengenang Masa

Warga emas dan masa silam adalah dua perkara yang begitu rapat. Apabila kita mula membicarakan isu ini, apa yang terlintas dalam bayangan kita ialah seorang warga emas yang sering kali dilihat sedang berdiam diri termenung di atas kerusi malas, atau ketika mereka mudah menitiskan air mata bercerita perihal masa lampau. Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya. Era dan zaman manakah yang mereka pilih untuk dikenang? Apa yang membuatkan mereka mengenang waktu-waktu tersebut? Dan bagaimana mereka cenderung untuk mengenang masa lampau?

Pada umumnya, usia tua adalah satu fasa dalam kehidupan seorang manusia. Kemungkinan ada yang tidak sampai ke fasa tersebut, namun buat yang merasainya, pasti mereka akan cenderung untuk mengingat dan mengenang kembali masa muda mereka. Hal ini telah disebut oleh Erik Erikson, seorang pakar psikologi dalam teorinya, Perkembangan Psikososial. Beliau meletakkan warga emas sebagai golongan yang akan mengenang semula masa silam. Ketika berada di dalam fasa terakhir kehidupan, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas akan melalui tahap pemantapan ego atau kesedihan (ego integrity vs. despair). Apa yang akan berlaku dalam tahap ini adalah mereka akan mengingat dan menilai kembali keputusan-keputusan yang telah dibuat di masa lampau.

Ada antara keputusan yang telah dibuat dahulu, kini berakhir dengan penyesalan dan kegagalan. Ada juga yang membawa kegembiraan dan kejayaan. Segalanya berkait dengan masa lampau mereka, sama ada mereka berjaya atau tidak dalam menjalani jam kehidupan terdahulu. Perihal waktu silam dan warga emas ini adalah suatu topik yang memerlukan perbahasan panjang dan amat penting untuk diambil cakna. Hal ini kerana kejayaan mereka di masa silamlah yang akan menentukan sama ada mereka akan mempunyai keinginan untuk meneruskan kehidupan mendatang ataupun sebaliknya.

Apabila seorang warga emas telah berjaya mengarah jalan hidupnya dengan baik iaitu telah meraih banyak kejayaan seperti membina profesion yang stabil, berjaya memenuhi keperluan dan kehendak yang diingini dan membuat keputusan tanpa campur tangan orang lain. Ia semestinya akan mempengaruhi emosi warga emas dalam mengharungi detik-detik mendatang. Oleh sebab itu, masa silam adalah suatu hal yang amat penting untuk dikenang kembali oleh orang tua kerana ianya akan menentukan kestabilan emosi mereka. Mereka akan merasa gembira dan puas jika mereka telah menggunakan masa muda mereka dengan baik.

Sebaliknya, jika mereka tidak berpeluang atau dengan sengaja tidak memilih untuk menggunakan masa muda dengan baik, mereka akan berada di dalam kesedihan dan akan mempunyai jiwa yang resah. Hal ini kerana detik-detik waktu yang telah ditinggalkan tidak akan dapat diulang kembali. Jika diberi lebih masa kepada warga emas untuk meraih kembali kejayaan mereka yang tertunggak, peluang untuk mereka berjaya itu amat tipis. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor seperti kekurangan wang ringgit, kekurangan kudrat dan juga kekurangan sokongan.

Akhir kata, seyogia diingatkan bahawa masa lampau mempunyai satu tempat yang istimewa dalam kehidupan seseorang. Walaupun ramai orang berkata bahawa masa lampau itu tidak penting dan tidak perlu dikenang. Malahan ada yang mengatakan masa lampau sepatutnya dilupakan terus dan perhatian perlu ditumpukan kepada masa sekarang juga masa hadapan sahaja. Namun begitu, kita tidak dapat menafikan betapa besarnya impak masa silam terhadap usia senja manusia sehingga ia mempunyai kuasa dalam meletakkan kita di dalam kesedihan ataupun kegembiraan. Oleh itu, gunakan peluang masa yang kita ada untuk meraih sebanyak mana pengalaman hidup, yang seterusnya akan menjadikan kita seorang tua yang memandang masa silam dengan pandangan yang manis.

Komen